31 Aug 2010

Bekukan Perumahan Yahudi

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran keras bahawa rundingan damai secara bersemuka antara Israel dan Palestin yang dijadualkan di Washington, Amerika Syarikat pada 2 September 2010 akan gagal jika rejim Zionis itu tidak terus membekukan pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
.

Pembekuan yang dikenakan sekarang akan berakhir pada 26 September 2010 dan Abbas melahirkan kebimbangan bahawa kerja-kerja pembinaan perumahan bagi penduduk Yahudi akan dimulakan dengan segera jika tidak ada tindakan tegas daripada kerajaan Israel bagi menghalangnya.

.

Abbas menyatakan perkara itu dalam surat yang dikirim kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama; Presiden Rusia, Dmitry Medvedev dan wakil Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton,

.

“Adalah mustahil untuk meneruskan rundingan damai sekiranya Israel masih menceroboh wilayah Palestin dan membangunkan kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” kata Abbas dalam surat itu.

.

Keputusan berhubung pembekuan pembinaan perumahan Yahudi di Tebing Barat dijangka menjadi isu utama yang perlu diberi perhatian serius oleh Amerika Syarikat dan Israel jika mahu meneruskan rundingan damai pada 2 September 2010.

.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pada 22 Ogos 2010 tidak membuat sebarang keputusan berhubung isu itu.

.

Timbalan Perdana Menteri Israel, Dan Meridor pula mempromosi usaha memulakan kerja-kerja pembinaan perumahan Yahudi sejak minggu lalu.

.

“Pembekuan di Itzhar dan Itamar boleh diteruskan selepas 26 September 2010 tetapi kerja-kerja pembinaan tambahan perlu dilakukan di kawasan penempatan sedia ada,” katanya.

.

Pandangan dan gesaan Meridor mendapat sokongan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak walaupun kurang disenangi beberapa menteri lain.

.

Amerika Syarikat belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung cadangan Meridor tetapi Washington dijangka tidak membantah cadangan itu.

.

Wakil perunding Palestin, Saeb Erekat menjelaskan bahawa walaupun Amerika Syarikat tidak memberi sebarang jaminan akan mendesak pembekuan pembinaan perumahan Yahudi itu diteruskan selepas 26 September 2010, Palestin mengharapkan pembekuan kerja-kerja pembinaan itu diteruskan.

.

“Amerika Syarikat telah memberi gambaran awal kepada Palestin bahawa jika rundingan secara bersemuka diadakan, maka lebih mudah untuk mendesak Israel mengekalkan pembekuan itu,” kata Erekat pada 22 Ogos 2010.

.

Perangkaan yang dikeluarkan Pusat Macro Bagi Ekonomi Politik pada Mac 2010 menunjukkan kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat meliputi daripada kawasan seluas 12 juta meter persegi, termasuk jalan raya, perumahan dan kilang.

.

Terdapat juga 32,711 pangsapuri di atas tanah seluas 3.27 juta meter persegi dan 22,997 rumah milik peribadi di atas tahan seluas 5.74 juta meter persegi.

.

Mengenai rundingan damai yang dijadualkan di Washington pada 2 September 2010, Netanyahu memberitahu Mesyuarat Kabinet pada 22 Ogos 2010 bahawa hasil daripada rundingan itu pasti sukar dijangkakan tetapi dia bersedia duduk di meja rundingan dengan fikiran positif.

.

"Perjanjian Oslo ditandatangani 17 tahun lalu dan tentulah tempoh yang lama melahirkan pelbagai keraguan apabila Israel dan Palestin kembali bersemuka di meja rundingan," katanya.

.

Natanyahu juga menekankan isu berkaitan keselamatan, pengiktirafan Israel sebagai negara Yahudi, pelarian di Palestin dan kesediaan Palestin mengakhiri konflik.

.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton akan menjadi orang tengah semasa rundingan damai secara bersemuka antara Israel dan Palestin di Washington.

.

Rundingan damai pada 2 September 2010 diusahakan oleh Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Rusia.

.

Rundingan damai secara bersemuka antara Netanyahu dan Abbas adalah yang pertama sejak 20 bulan lalu.

..

Skrip ini ditulis berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman Global akhbar Sinar Harian pada 25 Ogos 2010.

30 Aug 2010

In The Tamil Rombe Easy

MAKLUMAN AWAL
Panduan yang saya berikan di sini 100% bukan Bahasa Tamil yang sebenar dan 100% tidak boleh digunakan apabila/jika anda berpeluang ke udara menerusi MinnalFM. Catatan dan panduan ini juga tidak bertujuan mempersenda mana-mana bahasa atau penutur asli mana-mana bahasa.
.

JAMINAN AWAL

Panduan yang saya berikan di sini dijamin 100% akan membantu anda kedengaran seolah-olah penutur asli Bahasa Tamil, walaupun bahasa yang anda bakal kuasai hampir 99% bukan Bahasa Tamil. Panduan ini tentu lebih berjaya sekiranya anda menggunakannya dalam perbualan bersama penutur asli Bahasa Tamil di/dari Tamil Nadu, India. Majoriti penutur Bahasa Tamil di Malaysia juga tidak akan menghadapi masalah untuk memahami perbualan anda.
.

ISTILAH

Istilah “penutur Bahasa Tamil” tidak hanya terhad kepada keturunan Tamil; sebaliknya kepada sesiapa yang boleh bertutur Bahasa Tamil.
.

PANDUAN LALU

Anda juga boleh KLIK DI SINI untuk belajar Tenglish yang menjadi semacam bahasa rasmi dalam kalangan penutur Bahasa Tamil apabila pergi ke kuil.
.

PANDUAN 1

Kita mulakan dengan “in the box”. Maaf, saya bukan bertujuan mengajar penggunaan Bahasa Inggeris. Bagaimanapun, frasa “in the box” adalah langkah awal yang saya sarankan untuk membolehkan anda tampil seolah-olah penutur asli Bahasa Tamil.
.

Frasa “in the box” ini tidak merujuk kepada “di dalam kotak”. Sebaliknya boleh difahami sebagai “kotak ini” (this box) dalam kalangan penutur Bahasa Tamil.

.

Sebutan bagi “in the” sama seperti dalam Bahasa Inggeris; dengan andaian bahawa anda bukan golongan yang suka menunjuk-nunjuk dengan menyebut “the” sebagai “thi” yang digunakan apabila perkataan seterusnya bermula dengan vokal (a, e, i, o, u).

.

Maka, jika anda menyebut “in the box” sebagai “in thi box”, anda sudah gagal dalam tahap pertama pertuturan bahasa yang kedengaran seolah-olah Bahasa Tamil!

.

“In the” adalah sebutan bagi perkataan Bahasa Tamil yang membawa makna “ini” (this). Ya, sekurang-kurangnya saya sudah mengajar anda sepatah perkataan Bahasa Tamil!

.

Apabila anda sudah tahu menyedut “in the” dengan betul, segala yang lain akan menjadi amat mudah dalah usaha anda untuk kedengaran seolah-olah anda penutur asli Bahasa Tamil.

.

Frasa “in the box” akan difahami oleh mana-mana penutur Bahasa Tamil di Malaysia sebagai membawa makna “kotak ini” (this box). Jangan risau bahawa “box” bukan istilah Bahasa Tamil. Saya percaya tidak wujud walau seorang penutur Bahasa Tamil di Malaysia (apatah lagi di Tamil Nadu, India) yang tidak pernah menggunakan “box” apabila merujuk pada “kotak” semasa bercakap Bahasa Tamil.

.

Dalam konteks Malaysia, memanglah penutur Bahasa Tamil sudah biasa menggunakan perkataan “kotak” berbanding “petti”.

.

NOTA TAMBAHAN

Perkataan “peti” dalam Bahasa Malaysia berasal daripada “petti” dalam Bahasa Tamil. Malah, jika anda tahu Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, secara automatik anda sebenarnya sudah tahu Bahasa Malaysia.
.

AMARAN

Perkataan “in the” membawa makna “ini” (this) tetapi anda jangan cuba memandai-mandai menggunakan “box in the” apabila cuba berkata “Ini kotak” (This is a box). Ingat: anda mahu belajar untuk bertutur seolah-olah anda penutur asli Bahasa Tamil, bukan mahu belajar untuk menjadi Badut Bahasa Tamil.
.

PANDUAN 2

Memanglah “in the box” bukan ayat yang lengkap kerana “in the box” (kotak ini) hanya subjek. Anda perlukan predikat untuk melengkap sebuah ayat.
.

Maaf! Jangan mengharapkan saya mengajar predikat dalam Bahasa Tamil. Hal ini kerana saya sedang membimbing anda bercakap seolah-olah anda penutur Bahasa Tamil. Rujuk “Makluman Awal” dan “Jaminan Awal” di atas jika timbul keraguan.

.

Anda hanya perlu mengetahui predikat dalam Bahasa Inggeris dalam konteks ini. Misalnya: “In the box heavy” yang menjadikan anda tampil sebagai penutur Bahasa Tamil yang berkata “Kotak ini berat”.

.

AMARAN

Tentulah anda tidak boleh hidup selama-lamanya dengan hanya berkata “Kotak ini berat” jika mahu kelihatan seolah-olah anda pandai bercakap Bahasa Tamil. Teruskan membaca in the article.
.

PANDUAN 3

Anda bolehlah mula menggantikan objek “box” (kotak) dengan pelbagai objek lain. Pada masa sama, ubah suai predikat yang digunakan. Misalnya:
.

In the bag heavy – Beg ini berat

In the car expensive – Kereta ini mahal
In the baby cute – Bayi ini comel
In the shirt dirty – Baju ini kotor
In the style nice – Gaya/stail ini menarik/cantik
.

Nah! Tiada lagi had kepada jumlah ayat mudah yang boleh anda hasilkan untuk menampilkan diri anda seolah-olah pandai bercakap Bahasa Tamil.

.

AMARAN

Jangan terlalu teruja menghasilkan ayat kompleks atau ayat yang panjang kerana anda mungkin tampil sebagai Badut Bahasa Tamil.
.

PANDUAN 4

Umum selalu berpendapat bahawa penutur Bahasa Tamil suka menggerak-gerakkan kepala. Perbuatan itu tidak wajib untuk tampil seolah-olah anda penutur asli Bahasa Tamil.
.

Bagaimanapun, kemampuan melakukan komunikasi tanpa lisan (non-verbal communication) dan intonasi yang sesuai boleh membantu anda tampil lebih bersahaja.

.

Misalnya, andaikan anda berada di kedai mamak dan meja tempat anda duduk kotor. Katakan “In the table dirty” sambil jari telunjuk kanan digerakkan mengikut gaya yang akan anda biasa gunakan apabila mengadu “Meja ini kotor”. Maka, pelayan pasti akan segera membersihkan meja itu.

.

AMARAN

Jangan pula terlalu bersemangat untuk bercakap seolah-olah anda pandai bercakap Bahasa Tamil hingga anda menggunakan frasa “In the table dirty” kepada pelayan warga Bangladesh; walaupun saya percaya semua pelayan kedai makan faham “table dirty” dan aksi non-verbal anda.
.

PANDUAN 5

Anda sudah pun mempelajari sepatah perkataan Bahasa Tamil iaitu “in the” (ini). Sekarang, saya perkenalkan satu lagi perkataan Bahasa Tamil iaitu “romba” yang membawa makna “banyak/sangat/amat” (very).
.

Untuk panduan menyebut yang betul, sila berlatih menyebut perkataan “ronda” dalam Bahasa Malaysia. Seorang penutur lazim Bahasa Malaysia akan menyebutnya sebagai “ronde”. Begitulah juga “romba” perlu disebut “rombe” supaya lebih meyakinkan.

.

Contoh ayat:

.

In the table rombe heavy – Meja ini sangat berat

In the girl rombe action – Perempuan ini sangat sombong
In the bas rombe late – Bas ini sangat lambat
In the novel rombe interesting – Novel ini sangat menarik
In the man rombe handsome – Lelaki ini sangat kacak
In the movie rombe boring – Filem ini sangat membosankan
In the world rombe, rombe cruel – Dunia ini sangat zalim
.

BONUS

Kalau anda mahu tampil lebih meyakinkan sebagai penutur Bahasa Tamil, tekankan perkataan “rombe” menjadi “roooommmbe” dengan penuh penghayatan mengikut konteks ayat.
.

Kalau anda menghadapi masalah memberi penekanan yang betul pada sebutan “roooommbe”, jangan risau. Anda pilihan kedua iaitu menggandakan “rombe” menjadi “rombe, rombe” yang sama makna dengan “sangat, sangat” atau “very,very”.

.

Contohnya: In the tips rombe rombe useful – Tip ini sangat, sangat berguna.

.

PANDUAN 6

Gunakan perkataan-perkataan Bahasa Tamil yang anda sedia tahu untuk memantapkan ayat-ayat anda. Misalnya:
.

In the tose rombe soft – Tose ini sangat lembut

In the capati rombe sedap – Capati ini sangat sedap
In the tambi rombe clever – Adik (brother) ini sangat bijak
In the roti canai rombe garing – Roti canai ini sangat garing
In the kampung rombe far – Kampung ini sangat jauh
.

CATATAN

Perkataan-perkataan Bahasa Malaysia juga boleh digunakan jika sesuai dengan konteks; seperti di atas. Perhatikan perbualan penutur Bahasa Tamil untuk mengetahui istilah-istilah Bahasa Malaysia yang lazim digunakan.
.

PANDUAN 7

Gunakan kreativiti untuk memantapkan perbualan anda supaya tampil lebih bersahaja dan lebih meyakinkan sebagai penutur Bahasa Tamil. Contoh:
.

Vanakam, anne. In the table rombe dirty – Helo, abang. Meja ini sangat kotor.

.

Apabila pelayan kedai mamak selesai membersihkan meja, sebutlah “nandri, nandri” (terima kasih, terima kasih).

.

TIP SEBUTAN

Sebutan “nandri” adalah “nan ri” kerana “d” tidak dibunyikan. Kalau anda menyebut “nan dri” maka hilanglah peluang anda untuk tampil seolah-olah fasih bercakap Bahasa Tamil.
.

AMARAN

Sebaik-baiknya, jangan panggil pelayan kedai sebagai “machan” (brother-in-law) kecuali anda ada niat mahu mengahwini kakaknya atau bercadang membenarkannya mengahwini adik perempuan anda.
.

Elakkan juga memanggilnya sebagai “maplei” (bridegroom) kerana agak pelik jika seorang pengantin bekerja di kedai makan pada hari perkahwinannya. Kecuali jika anda memang bercadang menjadikannya menantu anda atau dia memang menantu baru anda.

.

KOMEN

Saya mengalu-alukan anda mengemukakan komen. Walau bagaimanapun, sila maklum bahawa anda tidak dibenarkan menulis komen seperti “In the tips rombe useful” atau “In the article rombe boring” kerana komen seperti itu pasti tidak akan saya luluskan.
.

Sebaliknya, anda boleh memberi komen seperti “Panduan yang diberikan ini amat berguna” atau “Apa yang anda tulis amat membosankan”.

.

Atau, klik sahaja pada butang “reaksi spontan” di bawah.

.

PENUTUP

Sekali lagi ditegaskan bahawa panduan ini 100% bukan panduan sebenar bertutur Bahasa Tamil. Sebaliknya hanya untuk membantu anda tampil seolah-olah bertutur Bahasa Tamil. Untuk belajar sebutan Bahasa Tamil yang sebenar, sila dengar MinnalFM. Saya juga tabik kepada Pon Kogilam yang mengendalikan rancangan “Tamil Osai” menerusi MinnalFM pada Ahad, sekitar 11:45 pagi.

29 Aug 2010

Memoir Tony Blair

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, sudah menghasilkan buku kenangan berbentuk memoir dan akan dilancarkan pada September 2010.
.

Hasil jualan buku berjudul Tony Blair: A Journey akan disalurkan kepada Battle Back Challenge Center, sebuah pusat kebajikan yang akan dibuka pada 2012 bagi tentera Britain yang cedera parah dalam peperangan.

.

Penerbit Random House dilaporkan membayar hampir AS$7.8 juta (RM24.5 juta) kepada Blair bagi memoir itu yang memuatkan pengalaman peribadinya sepanjang menjadi Perdana Menteri dari 2 Mei 1997 hingga 27 Jun 2007.

.

Jurucakap kepada bekas Perdana Menteri itu, Matthew Doyle mengesahkan bahawa bayaran pendahuluan yang diterima oleh Blair akan turut didermakan kepada Battle Back Challenge Center.

.

Walaupun belum mula dijual, buku berkenaan kini menduduki tangga ketujuh buku paling banyak ditempah melalui Amazon.com.

.

Pada 2007, sebaik sahaja Blair melepaskan jawatan, Robert Harris, seorang bekas wartawan dan penganalisis politik, menulis novel berjudul The Ghost (2007) yang mengisahkan mengenai seorang bekas Perdana Menteri Britain bernama Adam Lang.

.

Novel berkenaan turut dijadikan filem berjudul The Ghost Writer (2010) yang menampilkan gandingan mantap Ewan McGregor dan Pierce Brosnan.

.

Skrip ini disiarkan di halaman Global akhbar Sinar Harian pada 23 Ogos 2010.

27 Aug 2010

Parasit Kawal Minda

Fenomena parasit yang mengawal minda perumah mungkin kedengaran seperti kisah dalam fiksyen sains tetapi sebenarnya sudah berlaku sejak jutaan tahun dahulu.
.

Perbuatan parasit yang bukan sahaja membunuh perumah secara senyap, malah mampu menguasai minda dan pergerakannya, dikesan berlaku dalam kalangan beberapa spesies binatang.

.

Penemuan fosil sehelai daun berusia 48 juta tahun dilihat sebagai bukti berlakunya pengawalan minda oleh parasit terhadap satu spesies semut.

.

David Hughes dari Universiti Harvard, Conrad Labandeira dari Institusi Smithsonian di Washington dan Torsten Wappler dari Institut Steinmann di Bonn menganggap penemuan itu sangat penting.

.

Hasil kajian mereka disiarkan dalam jurnal dalam talian, Biology Letters, pada 18 Ogos 2010.

.

“Memang ada parasit yang mampu menguasai minda perumah. Misalnya, protozoa Toxoplasma gondii didapati mampu menguasai minda tikus supaya menyukai kencing kucing agar parasit itu dapat pula mencari perumah baru.

.

“Kulat Ophiocordyceps unilateralis pula mempunyai kemampuan menguasai minda perumahnya, iaitu semut kayu (carpenter ant), supaya menggigit bahagian bawah daun sejurus sebelum parasit itu membunuh semua berkenaan.

.

“Kulat itu pula akan tumbuh keluar dari bahagian kepala semut itu dan menyebarkan spora kepada semut-semut lain,” kata mereka dalam hasil kajian berkenaan.

.

Fosil daun berusia hampir 48 juta tahun dan mempunyai kesan gigitan yang hampir sama ditemui di bekas kawasan hutan separa tropika di Jerman.

.

“Kami yakin bahawa fenomena parasit yang menguasai minda perumah berlaku sejak jutaan tahun dahulu.

.

“Malah, hampir separuh daripada keseluruhan hidupan di muka Bumi adalah parasit walaupun tidak semua parasit itu menggunakan kemampuan menguasai minda perumahnya,” kata Hughes.

.

Skrip ini disiarkan di halaman “Sains Global” akhbar Sinar Harian pada 22 Ogos 2010.

26 Aug 2010

Haiwan Muncul 650 Juta Tahun Lalu

Penemuan fosil binatang di Australia baru-baru ini membuatkan saintis percaya hidupan mula wujud di Bumi sekurang-kurangnya 70 juta tahun lebih awal daripada tarikh yang dijadikan panduan oleh para saintis selama ini.
.

Hidupan primitif menyerupai span itu dipercayai hidup di kawasan batu karang sekitar 650 juta tahun dahulu.

.

Imej digital hidupan itu menunjukkan saiznya hanya satu sentimeter panjang, tidak mempunyai rupa fizikal yang jitu dan mempunyai saluran di dalam tubuh yang berkulit.

.

Sebelum ini, fosil tertua yang ditemui adalah organisma di kawasan batu karang yang dipercayai berusia 550 juta tahun.

.

Pengkaji juga menemui fosil haiwan bertubuh lembik yang dikatakan hidup antara 577 juta dan 542 juta tahun dahulu.

.

Fosil terbaru ini pula ditemui oleh pakar geologi dari Universiti Princeton, Adam Maloof (foto) dan Catherine Rose semasa mereka membuat kajian berhubung Zaman Ais di Australia.

.

Maloof mengakui bahawa mereka tidak dapat memberi kepastian 100 peratus bahawa fosil itu milik haiwan.

.

“Organisma itu agak besar dan tentu bukan bakteria. Bentuknya tidak simetri dan tentu bukan ulat. Organisma itu mempunyai saluran di dalam tubuh, sama seperti span yang hidup di laut sekarang,” kata Maloof.

.

Kajian mengenai penemuan terbaru ini disiarkan dalam jurnal Nature Geoscience keluaran 17 Ogos 2010.

.

Skrip ini disiarkan di halaman “Sains Global” akhbar Sinar Harian pada 22 Ogos 2010.

25 Aug 2010

Misi Mariam Ditunda

Misi bantuan kemanusiaan dari Lubnan yang sepatutnya berlayar ke Gaza pada 22 Ogos 2010 terpaksa ditunda apabila kerajaan Cyprus tidak membenarkan kapal Mariam menggunakan perairan negara itu atau berlabuh di mana-mana pelabuhannya.
.

Kapal berkenaan yang menggunakan bendera Bolivia sepatutnya telah berlayar dari Pelabuhan Tripoli menuju ke Cyprus sebagai permulaan misi menuju ke Gaza.

.

Penganjur misi bantuan kemanusiaan itu sedang mengadakan rundingan dengan Turki dan Greece bagi memastikan Mariam dapat meneruskan pelayaran menggunakan perairan negara-negara berkenaan.

.

Jurucakap pihak penganjur, Samar al-Hajj berkata, keputusan positif dijangka dapat dicapai dalam masa terdekat.

.

“Kami dimaklumkan pada Khamis lalu bahawa Cyprus tidak membenarkan kapal Mariam menggunakan perairannya selepas rejim Israel mengugut akan menggunakan sebarang bentuk kekerasan untuk menghalang misi kemanusiaan ini,” katanya di Tripoli.

.

Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Gabriela Shalev mengirim surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan menuduh Lubnan sengaja mahu melanggar sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.

.

Penganjur misi kemanusiaan ini pada mulanya tetap bercadang meneruskan pelayaran dari Tripoli, tetapi pada 21 Ogos 2010, Menteri Pengangkutan Lubnan, Ghazi Aridi mengeluarkan arahan menghalang kapal Mariam meninggalkan Lubnan kerana Cyprus tidak bersedia menerima kapal itu di perairannya.

.

Misi bantuan kemanusiaan yang dirancang ini melibatkan 50 aktivis wanita yang mahu membawa bekalan makanan dan perubatan kepada penduduk Palestin di Gaza.

.

Sebuah lagi kapal, Naji al-Ali, bercadang berlayar melalui Cyprus menuju ke Gaza, tetapi turut dihalang meninggalkan Lubnan atas alasan sama.

.

Pada 31 Mei 2010, sembilan aktivis kemanusiaan dibunuh tentera Israel semasa menyertai flotila enam kapal yang membawa 10,000 tan makanan kepada penduduk di Gaza.

.

Serangan ke atas kapal Mavi Marmara dilakukan tentera Zionis di perairan antarabangsa dan siasatan masih dijalankan berhubung keganasan itu.

.

Kapal Rachel Corrie pula ditahan di perairan antarabangsa pada 5 Jun 2010 dan dipaksa berlabuh di Pelabuhan Ashdod, Israel.

.

Pada 14 Julai 2010, kapal Amalthea yang membawa 2,000 tan bantuan kemanusiaan dari Libya terpaksa berlabuh di Pelabuhan El Arish, Mesir selepas diberi amaran oleh tentera Israel.

.

Skrip ini disiarkan di halaman Global akhbar Sinar Harian pada 23 Ogos 2010. Sila KLIK DI SINI untuk kronologi krisis di Gaza.

24 Aug 2010

Semangat Merdeka

Benar. Saya tidak memasang Jalur Gemilang – kecil mahu pun besar – pada kereta saya.
.

Dahulu, semasa di Radio Televisyen Malaysia (RTM), selalu juga diadakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang mini pada kereta. Tentulah akan ada pegawai tertentu – saya tidak ingat rupa, nama dan jawatan – yang dikerumuni jurukamera semasa berjalan sekitar tempat letak kereta sambil melekatkan bendera kecil (yang ada pemegang plastik) pada cermin hadapan kereta.

.

Saya segera mengelak dengan memindahkan kereta saya ke tempat lain sebelum gerombolan manusia itu sempat menghampiri kawasan saya meletakkan kereta.

.

Bagi saya, semangat cinta akan negara dan penghayatan kemerdekaan bukan hanya dilakukan dengan cara memasang Jalur Gemilang mini pada kereta sepanjang Sambutan Bulan Kemerdekaan. Cara itu selalunya hanyalah lakonan sementara bagi golongan yang pandai berpura-pura.

.

Kalau tidak percaya: 1) Lihat sekeliling. 2) Tanya diri sendiri.

.

Saya amat sakit hati apabila melihat Jalur Gemilang mini yang dipasang pada cermin hadapan kereta menjadi lusuh, kotor, koyak dan tidak terpelihara. Mungkin itulah tanda “penghormatan” si pemilik kereta terhadap Jalur Gemilang dan kemerdekaan negara.

.

Lebih parah apabila bendera kecil itu bertaburan di atas jalan raya. Tidak perlulah diceritakan tahap kebersihan jalan-jalan raya di negara bertuah ini. Entah sudah berapa puluh kali hati saya pilu apabila tidak berpeluang untuk mengelak lalu terpaksa “memenyekkan” Jalur Gemilang mini yang bertaburan di atas jalan.

.

Saya lebih suka memasang Jalur Gemilang mini di dalam kereta; pada bahagian dashboard. Walaupun ia tidak berpeluang untuk “berkibar megah” semasa saya memandu, sekurang-kurangnya ia kekal terpelihara dan bermaruah.

.

Namun, bagi saya, pemasangan Jalur Gemilang mini bukan syarat untuk membuktikan cinta terhadap negara; seperti sering dikatakan Badut Paul Lathic yang tidak tahu makna patriotisme.

.

Ada dua Jalur Gemilang bersaiz biasa dipasang pada cermin pintu dan tingkap di rumah saya. Bukan gimik Bulan Kemerdekaan tetapi dipasang secara kekal sejak 2003.

.

Bagi saya, tidak perlulah “menunjuk-nunjuk” semangat patriotisme dan penghayatan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada Bulan Kemerdekaan.

.

Semua basikal dan motosikal yang pernah saya miliki adalah buatan Malaysia. Kereta pertama saya buatan Malaysia. Kereta kedua saya buatan Malaysia. Begitu juga kereta ketiga dan keempat. Tidak timbul keperluan untuk saya “menempel” Jalur Gemilang padanya untuk membuktikan semangat cinta pada negara.

.

Saya memperjuangkan penggunaan Bahasa Malaysia yang betul dalam urusan seharian.

.

Saya tidak perlu mengibarkan Jalur Gemilang mini pada cermin hadapan kereta untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa.

22 Aug 2010

Mencari Epal Kuning

Ternyata bukan mudah untuk “menjamah” epal kuning yang dihasilkan Roslan Jomel (Abang Lan). Kisah awal mengenai kumpulan cerpen sulung beliau pernah saya ceritakan sebelum ini [DI SINI].
.

Melalui catatan pada ruangan status di Facebook, Abang Lan sendiri mengakui betapa sukar mendapatkan buku itu; termasuk di Koperasi Buku DBP yang terletak di Tingkat Bawah Menara DBP, Kuala Lumpur.

.

Abang Lan cuba mendapatkannya di kedai buku berkenaan tetapi tiada. Saya memutuskan untuk mengatur pertemuan dengan Abang Lan untuk membeli terus daripada beliau, sekali gus mendapatkan tanda tangan beliau pada naskhah berkenaan.

.

Pada tengah hari 18 Ogos 2010, saya menelefon Saudara Isa yang dahulu bersama Dawama Sdn Bhd tetapi kini bersama Koperasi Buku DBP. Saya turut mengirim e-mel kepada Saudara Zulhilmi di Dawama, Ulu Kelang untuk bertanya jika ada stok di sana. Saya memutuskan: jika ada stok buku Namaku Epal Kuning di Dawama, maka elok saya membeli beberapa naskhah untuk dijual kepada sesiapa yang berminat.

.

Dalam reaksi kepada catatan Abang Lan di Facebook, Nisah Haron mengatakan bahawa beliau ada melihat sejumlah buku itu tersusun kemas di rak Koperasi Buku DBP baru-baru ini. Maka, saya memutuskan untuk mencuba nasib pada 19 Ogos 2010.

.

Saya dan Devishi Prabha Sankari ke Bangsar pada pagi 19 Ogos 2010 untuk bertemu Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Devishi mengenali Pak Samad sejak lahir dan memanggil beliau sebagai “Samad Taata” (Datuk Samad). Kali terakhir mereka berdua bertemu adalah pada 6 Februari 2010 di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya.

.

Kami berbincang secara ringkas hal-hal berkaitan Kavyan. Pak Samad memaklumkan bahawa beliau mengikuti perkembangan saya (dan Kavyan) menerusi paparan minda di blog saya dari semasa ke semasa.

.

Selepas pertemuan singkat itu, saya dan Devishi ke Koperasi Buku DBP. Akhirnya kami menemui Namaku Epal Kuning (2010) yang diletakkan di rak berlabel “Novel Dewasa”.

.

Apabila melihat buku dengan kulit warna kuning dan ilustrasi (foto) sebiji epal warna kuning, reaksi spontan Devishi: “Sangat kreatiflah orang ini.” Dalam kesesakan jalan raya (lebuh raya) untuk pulang ke Shah Alam, saya dan Devishi sempat merakam foto menggunakan telefon bimbit: aksi “menggigit” buku sebagai simbol mahu “menjamah” karya yang disajikan.

.

Harga pasaran bagi buku yang diusahakan DBP Cawangan Sarawak dan setebal 328 halaman ini adalah RM30.00. Seperti yang sudah saya duga, Abang Lan bersikap amat merendah diri pada bahagian biodata buku berkenaan. Saya telah mengharapkan bahagian prakata yang memuatkan proses kreatif penulis bebas ini, tetapi tiada.

.

Apa pun, penulis yang lahir di Kuching, Sarawak (catatan kepada politikus dan Badut Paul Lathic: Ya, Sarawak dan Sabah adalah sebahagian Malaysia sejak Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963) ini mula terlibat dalam bidang penulisan pada 1990 dan antara penulis muda (angkatan baru) yang menjanjikan karya yang layak diangkat sebagai “sastera”.

.

Dalam kumpulan cerpen Namaku Epal Kuning, kesemua 18 cerpen memiliki judul yang unik dan mampu memancing minat pelbagai peringkat pembaca. Perenggan pertama setiap cerpen juga memiliki narrative hook yang unik dan pasti “memaksa” pembaca meneruskan pembacaan.

.

Berikut judul beberapa cerpen serta sedikit petikan awal:

.

Namaku Epal Kuning

Namaku Epal Kuning. Sebelum itu aku merupakan manusia seperti saudara juga. Berfikiran. Sudah tentu saudara tertawa berhadapan imej hodohku ini berbanding ciptaan sempurna Tuhan.

.

Cerita Tentang Penulis Cerita

Saya hendak berkongsi sebuah cerita dengan saudara. Cerita ini telah menjadi hak milik saya sekian lama. Maka, tidak menyalahi undang-undang sama ada saya ingin menyimpannya buat selama-lamanya di dalam hati atau mengajak saudara turut berkongsi menerima cerita ini.

.

99 Hari Emak Saya Dinaikkan ke Angkasa

Saya mati kelmarin dicucuk sebatang lidi. Paha kanan saya jadi lembik bagai sayur rebus. Apabila terbangun dari tilam kekabu keesokan pagi, saya menangis kerana masih hidup seperti sedia kala.

.

Belilah Sebuah Rumah Baharu

Emak saya bernama Ketam Suri. Seorang wanita berdikari dan tidak kelihatan di skrin televisyen. Tinggal secara solo di dalam sebuah khemah plastik yang didirikan olehnya sendiri pada sembilan puluh lima tahun sudah.

.

Pencari Syurga

Sudah seminggu dia hidup di tepi gaung. Lelaki separuh urban. Entah mengapa dia terdorong naik ke puncak gunung berbatu keras itu.

.

Lelaki Ahli Sihir Tua

Sudah seminggu dia mengasingkan diri dilindungi sebatang pohon kemboja yang paling rimbun di dunia, tempat teduhan keramat para wali seperti yang diceritakan beberapa insan kamil untuk melepaskan penat lelah dari kilometer ekspedisi ...

.

Tuan Presiden Belayar dengan Kapal Hantunya

Saya tidak memiliki sebuah bilik peribadi untuk menyimpan naskhah asal manuskrip arahan pentas bertulisan tangan yang membentuk cerita perjalanan separuh komedi bekas seorang Tuan Presiden pada penghujung tempoh kekuasaannya, ...

.

Sambungkan Saya ke Langit

Ayah saya bukan spesies moluska. Kaki dia sepasang dan dada bidangnya tidak berbulu seperti aktor Erick Estrada. Dia membelah dunia dengan gigi taringnya pada pukul lima petang setiap hari.

.

Jurusalem Baharu

Saya diberi tempat tinggal di dalam tandas oleh Tuan Rumah yang baik hati. Hampir sebulan saya diperam tanpa pedoman dan sejalur cahaya.

.

Lelaki dengan Sebelah Kepala

Soalan: Bolehkah Bapa Besar meneruskan kehidupan biologi dan kelangsungan politiknya dengan memiliki hanya sebelah kepala?

..

Mustahil ada peminat karya bermutu yang tidak tertarik untuk menjamah cerpen-cerpen di dalam buku ini. Saya akan menjadikan Namaku Epal Kuning antara santapan minda sepanjang Ramadan 1431 sambil mengharapkan peluang bertemu Abang Lan untuk mendapatkan tandatangannya, sebelum beliau “naik belon” ke Kuching pada 1 September 2010.

.

Catatan Nakal: Saya mengenali Roslan Jomel sejak 1991 apabila kami sama-sama menyertai Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan sejak itu teringin memanggilnya “Abang Comel” tetapi bimbang dianggap mempersendakan nama ayah beliau.
.
Cadangan Nakal: Bacalah cerpen pertama dalam buku ini sebagai "Prakata" atau "Proses Kreatif" dan bacalah cerpen kedua dalam buku ini sebagai "autobiografi" yang sengaja ditulis menggunakan sudut pandangan orang ketiga. Untuk mengetahui apa yang dilakukan watak "Encik Berus Kapur" dalam cerpen kedua, bacalah kisah watak "saya" dalam cerpen "Puan Magnolia".
.
Bacaan Lanjut: Catatan Roslan Jomel sendiri boleh dibaca DI SINI.