Biasanya, saya menggunakan intuisi – daya atau kebolehan memahami, mengetahui, merasai sesuatu tanpa berfikir atau mempertimbangkan secara sedar; gerak hati – dalam memilih filem yang sesuai dengan cita rasa saya sebagai santapan minda.
Selalu juga saya cuba mencatatkan reaksi spontan saya mengenai filem-filem yang ditonton di blog ini. [DI SINI]
Pada 2 Mei 2010, saya berpeluang menonton filem Peacock (2010) yang belum pernah saya dengar sebelum ini. Saya memilihnya berdasarkan gerak hati kerana yakin ia sebuah filem bermutu, mencabar minda dan serasi dengan cita rasa saya.
Ternyata saya – sekali lagi – tidak tersilap membuat pilihan. Kisah yang menarik dari mula hingga akhir ini mengenai John Skillpa (Cillian Murphy) yang kurang bergaul dengan orang ramai; termasuk di tempat kerja.
Malah, jiran-tangga di kawasan Peacock, Nebraska hanya tahu mengenai kewujudan isterinya, Emma, selepas wanita (yang juga pemalu) itu hampir dilanggar koc kereta api yang terbabas dari landasan berhampiran rumah.
Kejadian itu membawa pelbagai perubahan dalam hidup John. Kisah diadunkan dengan persoalan siapa yang lebih berhak/berkuasa membuat keputusan: John atau Emma.
Watak John dan Emma mempunyai begitu banyak persamaan; sekali gus perbezaan. John mula merasakan bahawa Emma mula meliberasi diri dengan membuat keputusan tanpa kebenaran si suami. Misalnya, dalam soal membenarkan perkarangan rumah mereka bagi tujuan kempen Datuk Bandar.
Juga dalam soal menentukan hala tuju hidup Maggie (Ellen Page), seorang ibu tunggal yang ada kaitan dengan masa lalu John. Emma ternyata tertarik dengan kempen “kebebasan wanita” yang diperjuangkan oleh Fanny Crill (Susan Sarandon), isteri Datuk Bandar.