Saturday, 24 July 2010

Kopi Musang Halal

Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa bahawa kopi musang (civet coffee) adalah halal dan boleh diminum umat Islam.
.

Keputusan itu diumumkan pada 20 Julai 2010 selepas MUI mengadakan perbincangan dengan wakil Nahdlatul Ulama (NU) di Jakarta berhubung isu kopi itu yang menimbulkan percanggahan pendapat antara pakar agama di negara berkenaan.

.

Wakil NU, Arwani Faishal berpendapat bahawa minuman yang dikenali “kopi luwak” di Indonesia adalah najis dan haram diminum.

.

Pengerusi MUI, Ma’aruf Amin pula mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa kopi itu boleh diminum dengan syarat biji kopi yang ‘terkena najis’ perlu dicuci bersih sebelum diproses.

.

“Kopi luwak tidak haram asalkan pengusaha terbabit membasuh biji kopi dengan air untuk membersihkannya daripada najis luwak,” katanya dalam sidang media di Jakarta.

.

MUI diasaskan pada 26 Julai 1975 di Jakarta semasa pemerintahan Presiden Suharto dan sering mengeluarkan fatwa berhubung pelbagai isu melibatkan penganut Islam di republik berkenaan. Majlis berkenaan dianggotai 53 ulama dari seluruh negara.

.

Lima tugas MUI adalah sebagai pewaris tugas para Nabi (Warasatul Anbiya), pemberi fatwa (mufti), pembimbing dan pelayan umat (riwayat wa khadim al ummah), gerakan Islah wa al Tajdid, dan penegak amar ma’ruf dan nahi munkar.

.

Kopi musang dihasilkan daripada biji kopi yang dimakan musang dan hampir satu setengah hari kemudian keluar dari tubuh binatang itu melalui proses pembuangan tahi. Biji kopi berkenaan lebih keras, lebih rapuh dan warnanya lebih gelap. Ia dibersihkan dan dipanggang bagi menghasilkan serbuk kopi yang dianggap kopi paling mahal di dunia.

.

Kopi itu dihasilkan di Pulau Jawa, Sumatera dan Sulawesi serta terkenal di beberapa negara Asia kerana aroma yang dikatakan unik dan istimewa. Musang luwak terdapat di Asia Tenggara (khasnya Indonesia, Filipina dan Malaysia), India dan China.

.

Musang bersaiz kecil ini biasanya makan buah-buahan dan serangga; serta hanya memilih buah yang benar-benar masak dan manis. Dengan itu, buah kopi yang biasanya dimakan musang itu adalah daripada kualiti terbaik.

.

Pada mulanya, tahi musang berisi biji kopi dikumpulkan dari hutan tetapi kemudian petani di Indonesia mula membela musang berkenaan khusus untuk menghasilkan kopi luwak.

.

Massimo Marcone dari Jabatan Sains Makanan, Universiti Guelph, Ontario, Kanada mengumpul biji kopi musang di Ethiopia dan Indonesia pada 2003 untuk membuat kajian keunikan kopi berkenaan.

.

“Biji kopi yang masuk dan keluar dari sistem penghadaman musang mempunyai kandungan protein lebih rendah. Protein inilah yang memberi rasa pahit pada kopi semasa dipanggang. Maka, kopi musang kurang protein dan kurang rasa pahit,” katanya dalam laporan yang disiarkan dalam Food Research International (Jilid 37, Isu 9, 2004).

.

Menurut laporan media antarabangsa, hanya 450 kilogram kopi musang dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, sekali gus harganya lebih AS$440 (RM1,414) sekilogram.

.

Bagaimanapun, jangan terkeliru dengan Lengende, kopi musang sintetik keluaran Syarikat Kopi Trung Nguyen di Vietnam. Kopi berkenaan dihasilkan secara sintetik selepas seorang saintis Jerman membuat kajian pada 1996.

.

Sementara itu, “kopi muncak” pula diambil daripada sisa buangan (tahi) rusa muntjak (barking deer) yang terdapat di Asia Tenggara (khasnya Malaysia dan Indonesia), India, Sri Lanka, China, Taiwan, Jepun dan Myanmar.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!