23 Jul 2010

Dulu Diktator, Kini Presiden

Bekas pemimpin diktator, Desi Bouterse, dilantik sebagai presiden kesembilan Surinam oleh Parlimen negara itu pada 19 Julai 2010.
.

Bouterse mendapat 36 undi selepas sebuah parti kecil menyokongnya setelah dijanjikan tiga kerusi dalam kabinet.

.

Presiden bagi negara di bahagian utara Amerika Selatan itu tidak dipilih menerusi pilihan raya umum; sebaliknya dilantik dengan sokongan dua per tiga daripada 51 Ahli Parlimen. Setiap penggal adalah selama lima tahun.

.

Dalam pilihan raya umum Mei 2010, De Mega Combinatie (Mega Combination) pimpinan Bouterse menang 23 kerusi Parlimen.

.

Bouterse, 65, masih menghadapi tuduhan terlibat dalam pembunuhan 15 musuh politiknya di Fort Zeelandia, Paramaribo pada 8 Disember 1982 dan ramai yang berpendapat Bouterse mahu menjadi presiden supaya perbicaraan kes itu boleh ditangguhkan atau dia terlepas terus daripada dibicarakan.

.

Pada 2007, bekas pemimpin diktator itu memohon maaf secara terbuka berhubung pembunuhan yang berlaku pada 8 Disember 1982, tetapi dia tidak mengaku terlibat kerana keputusan membunuh dibuat oleh komander tentera, Paul Bhagwandas dan Bouterse tidak ada di tempat kejadian semasa pembunuhan berlaku.

.

Bouterse lahir pada 13 Oktober 1945 di daerah Paramaribo, Surinam dan mendapat latihan ketenteraan di Belanda.

.

Bouterse merampas kuasa pada 25 Februari 1980, iaitu lima tahun selepas Surinam merdeka daripada penjajahan Belanda, lalu menjadi pemerintah diktator sehingga 1988.

.

Dia merampas kuasa sekali lagi pada 1990, tetapi hanya mampu bertahan selama setahun.

.

Pada Julai 1999, mahkamah di Belanda membicarakan Bouterse atas tuduhan menyeludup kokain ke negara itu, tetapi bekas diktator itu berjaya mengelakkan diri daripada dipenjarakan sebelas tahun kerana kedua-dua negara berkenaan tidak ada perjanjian ekstradisi.

.

Bouterse yang juga presiden Parti Demokratik Nasional (Nationale Democratische Partij, NDP) dijadualkan mengangkat sumpah jawatan pada 3 Ogos 2010 bagi menggantikan tempat Presiden Ronald Venetiaan.

.

Venetiaan yang lahir pada 18 Jun 1936 menjadi Presiden Surinam selama tiga penggal; iaitu 1991-1996, 2000-2005 dan 2005-2010.

..

(Sinar Harian, 21 Julai 2010)