7 Jan 2024

Bicara di Anak Baba – 3 Februari 2024

Pengenalan

Acara “Baca @ Anak Baba” [Siri 1] diadakan buat julung kali pada 5 Ogos 2023 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].

Sambutan semakin bertambah bagai acara “Baca di Anak Baba” [Siri 2] pada 2 September 2023—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].

Acara “Baca di Anak Baba” [Siri 3] pada 7 Oktober 2023 juga mendapat sambutan orang ramai—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].

Acara “Baca di Anak Baba” [Siri 4] pula berlangsung pada 4 November 2023—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].

Acara “Baca di Anak Baba” [Siri 5] menjadi penutup tirai tahun 2023 pada 2 Disember 2023—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].

Acara “Bicara di Anak Baba” [Siri 6] menjadi pembuka tirai tahun 2024 pada 6 Januari 2024—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].

 

Bicara Di Anak Baba Siri Ke-7

Memandangkan acara ini mendapat maklum balas positif, maka diteruskan pada tahun 2024 dengan nama “Bicara di Anak Baba” seperti ketetapan berikut:

Tarikh: 3 Februari 2024 (Sabtu)

Masa: 4.00 – 6.00 petang [Waktu Kavyan]

Tempat: Restoran Anak Baba, Brickfields

Lokasi: Berdekatan YMCA, dan di hadapan Menara Sentral Vista serta Mamak Cafe

Waze: Anak Baba, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields

 

Penulis (Panel)

Penyertaan terbuka kepada maksimum tiga (3) penulis, seniman, aktivis, budayawan, sasterawan, wartawan, artis, penyair, dan seumpamanya yang berminat menjadi panel (panelist). Setiap panel digalakkan membacakan petikan karya sendiri dalam Bahasa Malaysia. Petikan karya dalam bahasa asal dibenarkan. Kriteria umum pemilihan panel seperti berikut:

a) Bangsa Malaysia, iaitu warganegara Malaysia.

b) Penulis, aktivis, seniman, artis, budayawan, karyawan, wartawan, dan sebagainya tanpa mengira bahasa karya.

c) Ada petikan karya sendiri untuk dibacakan. Terjemahan karya sendiri ke dalam Bahasa Malaysia amat dialu-alukan. Bacaan karya dalam bahasa asal dibenarkan. Tidak dibenarkan membaca petikan karya orang lain. Maklumat lanjut di “Bentuk Pembacaan Teks” (di bawah).

d) Mampu berkongsi pandangan menggunakan Bahasa Malaysia. Individu yang tidak tahu – atau tidak mahu atau pura-pura tidak tahu – bercakap Bahasa Malaysia diingatkan supaya tidak menjadi panel.

e) Setiap panel wajib mendaftarkan minimum dua individu sebagai penonton (peserta) bagi acara ini. (Pastikan beri nama penuh dan nombor telefon mereka.) Perlu mendaftarkan nama penonton selewat-lewatnya 31 Januari 2024 (9:00 malam).

Nota: Sudah ada tiga panel untuk sesi 3 Februari 2024. Tiada sesi pada Mac 2024. Individu yang berminat menjadi panel bagi sesi 6 April 2024 (Sabtu) atau 4 Mei 2024 (Sabtu), sila hubungi penyelaras (Uthaya Sankar SB) menerusi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952.

 

Maklumat Panel

Biodata penulis (panel) dipaparkan di sini. Untuk itu, setiap panel diminta mengemukakan foto terkini dan biodata. Rujuk contoh biodata [di sini] dan [di sini] dan [di sini] dan [di sini] dan [di sini] dan [di sini] dan [di sini].

Amier Suhaimi pengarang dan perupa amatur yang lahir di Kuala Lumpur. Beliau pernah menetap di kota suci Kelantan juga Pahang dan kini sedang belajar dalam jurusan perakaunan di Selangor. Nakal-Nakal (2024) adalah buku sulungnya, terbit di bawah penerbitan Bukuliar, mengandungi cerpen-cerpen yang beliau pernah tulis dalam sela masa 2019 hingga 2023. Terpinggir (2023) pula teater sulungnya yang dipentaskan di sebuah universiti awam; memaparkan politikus keji yang menunggang agama dan polis yang korup. Amier giat juga menulis esei. Beberapa penulisannya boleh dibaca di laman sesawang Lestari Hikmah dan Kawah Buku.

M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya Mahendran di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.

Lai Choy @ Lai Yoke Choy lahir di Pudu dan kini menetap di Kepong, Kuala Lumpur. Karya pertama tersiar di akhbar Cina pada Mac 1956, semasa beliau berumur 15 tahun. Karya sulung di Dewan Sastera pada Mac 1971. Buku Lai Choy termasuk Migrasi ke Selatan (1997) dan Kepingan Mozek (2016). Beliau juga mengusahakan beberapa buah kamus eka bahasa, dwibahasa, dan tribahasa. Maklumat beliau boleh dibaca dalam buku Bumi Dipijak (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). [Tonton video]


Penyelaras

Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024).

 

Bentuk Pembacaan Teks

Panel akan membaca petikan karya sendiri sekitar lima (5) minit sahaja dalam Bahasa Malaysia atau dalam bahasa asal. Maksimum enam (6) minit; supaya hadirin tidak tertidur. AMARAN: Jangan mengulas atau menghuraikan atau menceritakan latar belakang atau proses kreatif atau sumber inspirasi atau di mana ia tersiar atau apa-apa tentang karya itu. Hanya baca petikan karya itu! Ini bukan acara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Kalau hadirin mahu tahu lebih lanjut tentang petikan karya itu, mereka akan bertanya kemudian.

 

Peserta (Penonton, Hadirin)

Setiap penulis (panel) wajib memastikan minimum dua individu mendaftar sebagai peserta (penonton, hadirin). Selain daripada itu, sesiapa sahaja yang berminat untuk hadir boleh mendaftar sebagai peserta (penonton) sebelum 31 Januari 2024 (9:00 malam). Untuk mendaftar, sila kirim nama penuh dan nombor telefon — bukan hanya nama ringkas atau nama glamour kerana ini bukan pasar malam atau kelab malam atau parti liar. Harap maklum bahawa peserta bukan hanya datang untuk mendengar tetapi amat digalakkan terlibat secara aktif dalam sesi soal jawab bersama penulis (panel). Harap maklum bahawa hanya peserta berdaftar dibenarkan terlibat dalam sesi soal jawab.

1. Yvonne Chew

2. Muhammad Amir Suffian

3. Koh Yok Hwa

4. Malini Lakshmi Bai

5. Abdullah Hussaini

6. Amir Hamzah Mohd Rizal

 

Foto dan Video (Dokumentasi)

Koleksi foto dan video dipaparkan di sini sebagai dokumentasi. [Video 1] [Video 2] [Video 3] [Video 4] [Video 5] [Video 6] [Video 7] [Koleksi Foto]

 

Cenderamata Buku

Cenderamata berupa buku disediakan untuk tiga kategori berikut:

1. Tiga (3) panel menerima buku Suvarna Bhumi (2022) dan Kavya Sastra (2021) sebagai tanda penghargaan.

2. Lima belas (15) peserta/hadirin/penonton berdaftar (sudah memberi nama penuh dan nombor telefon kepada Uthaya sebelum 31 Januari 2024) menerima sebuah buku Landasan Hidup (2020) sebagai cenderamata jika bertemu Uthaya di lokasi acara sebelum pukul 4:00 petang. Buku tidak diberi kepada peserta yang tiba selepas acara bermula. Dan cenderamata ini hanya bagi peserta berdaftar; bukan untuk peserta walk-in.

3. Enam (6) peserta (penonton, hadirin) yang mengemukakan pertanyaan bernas dalam sesi soal jawab menerima hadiah buku Putaria (2020) [untuk pembaca matang] sebagai cenderamata.

Harap maklum bahawa cenderamata ini hanya bagi peserta berdaftar. Mana-mana individu yang tidak mendaftar sebagai peserta masih boleh hadir (walk-in) sebagai penonton/pendengar tetapi tidak menerima cenderamata buku.

 

Sesi Soal Jawab

Enam (6) peserta/hadirin berdaftar diberi peluang mengemukakan pertanyaan kepada panel. Format bertanya soalan:

1. Wajib menggunakan Bahasa Malaysia. Bahasa-bahasa lain tidak dibenarkan.

2. Sebut nama anda. Contoh: Nama saya Ali bin Ahmad.

3. Nyatakan secara spesifik kepada siapa soalan ditujukan. Contoh: Saya tujukan soalan ini kepada Amier Suhaimi. Ingat: Tidak boleh kata, “Saya tujukan kepada semua panel” atau “Saya ada tiga soalan untuk mana-mana panel”.

4. Terus bertanya satu soalan sahaja dalam satu atau dua ayat. Contoh: Mana satu yang lebih menguntungkan, menjadi penerbit buku atau penerbit filem? Tidak perlu ulas soalan (sebab panel bukan orang bodoh). Ini bukan acara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Amaran: Tidak dibenarkan memberi ceramah atau memberi ulasan atau berkongsi pengalaman sendiri atau memberi kritikan atau berkongsi pandangan atau memberi pandangan balas atau memberi huraian. Jika mahu berbuat demikian, sila bertemu panel terbabit selepas 6:00 petang. Jika mahu bercakap panjang, sila mendaftar dengan Uthaya untuk menjadi panel bagi acara akan datang. Atau pergi ke acara DBP dan GAPENA.

 

Pendaftaran

Sesiapa yang mahu hadir sebagai peserta (penonton) perlu mendaftar nama penuh kepada penyelaras (Uthaya Sankar SB) menerusi WhatsApp 011-11411952 sebelum 31 Januari 2024 (9:00 malam).

 

Penting! Jangan hubungi penyelaras (Uthaya) pada tarikh acara untuk meminta apa-apa panduan perjalanan/lokasi atau untuk bertanya apa-apa soalan berkaitan acara (termasuk soalan yang amat penting) atau bertanya, “Sudah sampai?”. Sebarang mesej WhatsApp pada tarikh acara hanya akan dibaca sehari selepas tarikh acara—dan tidak akan dibalas.