5 Jan 2024

Reaksi Anak Bunian – Razlina Razali

Saya tertarik apabila watak “Saya” dalam cerpen Anak Bunian” mengatakan bahawa dia adalah anak bunian kerana saya menjangkakan akan ada unsur-unsur “misteri nusantara” dalam cerpen ini. Namun begitu, cerita Opah (nenek) tentang Emak yang tiba-tiba hilang apabila didapati mengandung semasa berumur 15 tahun, membuatkan saya ragu-ragu tentang cerita anak bunian ini.

Mungkinkah Opah hanya mereka-reka cerita anak bunian untuk menutup malu bahawa anak perempuannya hamil sebelum bernikah? Atau mungkinkah memang watak “Saya” anak bunian? Jika dia betul-betul anak bunian, apakah kuasa mistik yang dimilikinya dan bolehkah dia ghaib?

Walaupun ada pelbagai maklumat tentang orang bunian dimasukkan dalam cerpen ini, saya sebagai seorang “pembaca beta” masih ragu-ragu tentang kewujudan orang halus atau bunian kerana saya sememangnya tidak percaya mereka wujud. Seeing is believing, kata orang putih.

Saya percaya memang wujud laporan berita di akhbar tentang alam bunian seperti yang dinyatakan oleh penulis (Uthaya Sankar SB) dalam cerpen ini. Cuma, pada andaian saya, akhbar tersebut merupakan akhbar tabloid dan laporan-laporan berkenaan hanyalah cerita-cerita yang tidak disahkan.

Saya berpendapat bahawa watak “Saya” mula mencari maklumat tentang orang bunian selepas mendengar cerita Opah kerana dia berasa terpencil atau keseorangan dalam keluarganya, Apak (bapa) tidak sukakannya dan tidak menaruh harapan tinggi pada masa depannya.

Tidak pula diceritakan bahawa Opah atau Emak sayangkan watak “Saya”. Cuma Opah mahu dia menjadi orang yang lebih baik daripada Apak. Opah, Emak, dan Apak selalu berbeza pendapat mengenai dirinya. Semua itu membuatkan “Saya” berasa terasing.

Dalam situasi mencari-cari jawapan mengapa dia dilayan tidak sama rata oleh keluarganya, watak “Saya” berpendapat bahawa dia berlainan daripada semua orang dan anak bunian merupakan jawapan yang munasabah. Laporan-laporan berita yang ditemuinya mengesahkan jawapan yang “Saya” rasakan munasabah.

Apa yang bakal berlaku seterusnya? Saya rasakan bahawa “Saya” tentunya masih mencari laporan-laporan berita yang membuktikan kewujudan orang bunian dan setelah yakin bahawa orang bunian memang wujud, “Saya” akan mencari orang bunian itu pula; mencari keluarga sebelah bapanya yang merupakan orang bunian, seperti yang Opah cerita.

Perjalanan “Saya” mencari orang bunian bukan sahaja merupakan satu pengembaraan yang menarik tetapi “Saya” akan membongkar sejarah keluarganya juga. Ke manakah Opah dan Emak menghilang selepas dia dilahirkan? Apa sebenarnya cerita adiknya yang tiba-tiba hilang pada tahun 1976? Apakah rahsia Opah dan Emak? Jika “Saya” merupakan orang bunian, apakah kuasa mistiknya? Saya harap cerpen ini akan membongkar persoalan-persoalan ini.

[Razlina Razali lahir di Pasir Mas, Kelantan tetapi membesar di Shah Alam, Selangor. Beliau memiliki ijazah sarjana muda undang-undang dan berpengalaman turun-naik mahkamah sebagai peguam. Razlina pernah juga bekerja sebagai penyunting bahan bacaan undang-undang dan kerjaya dalam bidang korporat. Beliau salah seorang penyunting bersekutu bagi projek buku Kisah Dari Siru Kambam (2013). Komen Razlina bagi cerpen “Scammer” boleh dibaca di sini.]

Baca juga reaksi mereka — [Komen M. Mahendran] – [Komen Anuradha Chelliah] – [Komen Murali Mohan] – [Komen VK Ezhilarasi] – [Komen Rushida Abdul Wahid] – [Komen Rupa Subramaniam] – [Komen Malini Lakshmi Bai

Reaksi pembaca beta bagi “Guruji dari Jaisalmer” – [Komen Malini] – [Komen Sri Vignaraajah] – [Komen Mahendran] – [Komen Ezhilarasi] – [Komen Thivyajayanthi] – [Komen Jeffry] – [Komen Anuradha]