(Bersambung daripada Bahagian 1) Bagi sesetengah individu, proses
ini sangat meletihkan secara emosi. Mereka bukan sahaja perlu mempertahankan
keputusan peribadi, malah terpaksa membuktikan bahawa mereka benar-benar mahu
keluar islam. Rintihan ini juga disuarakan kepada saya oleh sejumlah mualaf
yang mahu meninggalkan islam.
Kesukaran Mendapat
Kelulusan
Secara
realiti, kelulusan untuk keluar Islam sangat sukar diperoleh. “Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023”
juga secara jelas menyebut bahawa mahkamah syariah “seldom grant such
requests”. Dalam bahasa mudah: permohonan jarang diluluskan.
Keadaan
ini lebih rumit bagi individu yang termasuk kategori ini:
* orang melayu yang menurut Perlembagaan
ditakrifkan sebagai muslim.
* individu yang lahir sebagai muslim.
* mereka yang mempunyai pasangan muslim.
* mereka yang mempunyai anak berstatus muslim.
Walaupun
seseorang mualaf berasal daripada agama lain, proses kembali kepada agama asal
tetap tidak mudah. Mahkamah syariah lazimnya akan melihat status semasa
individu itu sebagai seorang muslim, walaupun individu itu pada realiti tidak sedikit
pun mengamalkan ajaran islam.
Dalam beberapa kes yang
dilaporkan media dan kajian akademik, individu terbabit mengambil masa
bertahun-tahun untuk mendapatkan keputusan mahkamah. Ada juga yang gagal
sepenuhnya.
Sekadar contoh, menurut
statistik Jabatan Perdana Menteri, mahkamah syariah di seluruh negara menerima
sejumlah 863 kes permohonan menukar status agama islam dari tahun 2000 hingga
2010. Daripada jumlah itu, hanya 135 permohonan diluluskan. Di negeri Selangor
sendiri, sejumlah 99 permohonan diterima sepanjang tempoh itu dan tidak ada
satu pun diluluskan.
Hukuman dan Risiko
Mengikut Negeri
Malaysia
tidak mempunyai satu undang-undang tunggal berkaitan murtad. Sebaliknya,
undang-undang berkaitan islam berada di bawah bidang kuasa negeri. Maka, hukuman
bagi kesalahan murtad juga berbeza mengikut negeri.
* Di Perak, Melaka, Sabah, dan Pahang, murtad merupakan kesalahan
jenayah yang boleh dihukum denda atau penjara.
* Di Pahang, hukuman boleh termasuk sebatan.
* Di Kelantan dan Terengganu, undang-undang negeri memperuntukkan
hukuman mati bagi murtad, walaupun hukuman itu belum pernah dilaksanakan dan
kesahihannya dari sudut Perlembagaan masih belum diuji.
Maklumat
di atas amat penting bagi individu yang sedang mempertimbangkan tindakan keluar
islam. Ramai orang menyangka Malaysia mempunyai satu sistem undang-undang syariah
yang seragam. Hakikatnya tidak begitu.
Pertukaran Status
Agama di Jabatan Pendaftaran Negara
Sekiranya
mahkamah syariah meluluskan permohonan keluar islam, individu terbabit perlu
membawa perintah mahkamah itu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Di sinilah
proses pentadbiran berlaku:
*
perubahan status agama dalam rekod rasmi.
*
pengemaskinian maklumat pada kad pengenalan.
*
perubahan rekod berkaitan perkahwinan dan keluarga.
Namun,
“Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023”
merekodkan hakikat bahawa “masih melaporkan kesukaran bagi orang islam yang
cuba untuk menukar agama dan bagi orang Bukan Islam yang tersilap mendaftar
sebagai orang islam untuk menukar maklumat agama pada kad pengenalan mereka.”
Maknanya,
walaupun seseorang sudah memperoleh keputusan mahkamah, proses birokrasi masih
boleh menjadi panjang dan rumit. Dan menyeksakan.
Kesan Terhadap
Perkahwinan dan Anak
Bagi
mualaf yang sudah berkahwin dengan pasangan muslim, isu keluar islam sering
menjadi lebih kompleks. Di Malaysia, perkahwinan antara muslim dan Bukan Muslim
tidak diiktiraf. Hakikat ini memang sudah diketahui umum. Ramai individu Bukan
Islam masuk islam semata-mata untuk berkahwin dengan pasangan islam.
Maka,
jika seorang mualaf mahu keluar islam sedangkan pasangannya kekal muslim,
pelbagai implikasi boleh timbul. Misalnya:
*
status perkahwinan boleh dipersoalkan.
*
hak penjagaan anak boleh menjadi isu.
*
status agama anak mungkin dipertikaikan.
*
pembahagian harta dan pusaka boleh menjadi rumit.
Dalam
beberapa kes, mahkamah syariah dan mahkamah sivil mempunyai tafsiran berbeza
dalam menangani isu-isu di atas. Keadaan ini menyebabkan individu terbabit tersepit
antara dua sistem undang-undang.
Bantuan Guaman dan
Sokongan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
Seseorang
yang mahu meninggalkan islam biasanya memerlukan bantuan peguam yang mahir
dalam undang-undang syariah dan perlembagaan. Selain itu, terdapat juga NGO hak
asasi dan kumpulan sokongan yang boleh membantu individu terbabit memahami hak
mereka serta proses undang-undang berkaitan proses pertukaran agama. Namun,
bantuan seperti ini sering dilakukan secara berhati-hati dan secara
senyap-senyap kerana isu murtad sangat sensitif di Malaysia.
Menurut
“Laporan Kebebasan Agama Antarabangsa Malaysia 2023”,
ada sebuah organisasi Kristian menyediakan laman sesawang khas untuk membantu
individu yang mahu menukar status agama pada kad pengenalan. Perkara ini
menunjukkan bahawa keperluan terhadap maklumat dan bantuan memang wujud.
Sesungguhnya, individu yang tersepit dalam isu keluar islam memerlukan panduan
dan maklumat tepat serta menyeluruh.
Antara Hak Individu
dan Kuasa Negara
Perdebatan
mengenai murtad di Malaysia sebenarnya memperlihatkan pertembungan antara dua
gagasan besar. Di satu sisi ialah hak individu untuk memilih agama. Di sisi
lain ialah pendirian negara bahawa islam perlu dipelihara sebagai institusi
awam.
Makalah
oleh Helwa dan Jasri yang dinyatakan tadi menegaskan bahawa dalam perspektif
undang-undang Islam di Malaysia, kebebasan beragama tidak dianggap mutlak. Mereka
menyatakan bahawa seseorang yang memilih islam “dilarang keras untuk keluar
dari agama islam demi untuk menjaga integriti agama islam itu sendiri.”
Namun,
dalam kerangka hak asasi moden, ramai berhujah bahawa kebebasan beragama turut
meliputi hak untuk menukar agama atau tidak menganut sebarang agama.
Sesungguhnya, perdebatan ini belum selesai. Dan mungkin tidak akan selesai
dalam masa terdekat. Tujuan catatan ini pula sekadar memberi panduan kepada
individu mualaf yang “bertaubat” dan mahu keluar islam.
Berat Mata Memandang …
Bagi
seorang mualaf di Malaysia yang mahu meninggalkan islam dan kembali kepada
agama asal, prosesnya bukan sekadar mengisi borang dan menukar status pada kad
pengenalan.
Sebaliknya,
melibatkan mahkamah syariah, sesi kaunseling agama, kemungkinan pemulihan
akidah, tekanan keluarga, stigma masyarakat, serta pertindihan antara
undang-undang sivil dan syariah.
Secara
teori, terdapat ruang undang-undang untuk memohon keluar islam. Namun secara
praktikal, laluan itu sangat sukar dan jarang berjaya. Umpama jalan berliku dan
berduri tanpa penghujung. Di luar konteks, mengingatkan saya kepada cerpen “Jalan Sehala Menuju Svarga”.
Politikus
Malaysia sering bercakap tentang keharmonian antara agama. Tetapi bagi individu
yang berada di sempadan antara iman dan kebebasan peribadi, keharmonian itu
kadangkala terasa seperti pintu yang hanya boleh dibuka dari sebelah luar.
Dan di
situlah ironi terbesar di negara sekular ini. Seseorang boleh memilih untuk
masuk islam dengan satu lafaz (yang mungkin tidak difahami maksud), tetapi
belum tentu dibenarkan keluar walaupun dengan seribu alasan kukuh (termasuk
tidak lagi beriman kepada allah).
Bacaan seterusnya: Dilema melayu-islam yang Mahu Keluar
[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam.
© Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda
meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
