14 Jun 2026

Murtad: Dilema melayu-islam yang Mahu Keluar

Di Malaysia, isu murtad atau keluar islam sering dibincangkan dalam nada marah, takut, atau menghukum. Orang yang memilih untuk meninggalkan islam biasanya digambarkan sebagai pengkhianat, mangsa dakyah agama lain, atau individu bermasalah.

Jarang sekali masyarakat mahu mendengar suara sebenar golongan ini. Padahal, di sebalik setiap keputusan meninggalkan agama, pasti ada sejarah panjang yang melibatkan pengalaman hidup, tekanan sosial, trauma keluarga, pencarian identiti, atau konflik dalaman yang serius.

Sejak saya “selamat tinggal”kan islam pada April 2022, saya berpeluang untuk mendengar sendiri dari semasa ke semasa kisah dikongsi individu yang berjaya meninggalkan islam atau merasakan diri terperangkap tanpa jalan keluar.

Catatan seperti “Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur” dan “Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran – Vijay” adalah contoh tulisan yang bertujuan mendidik umat Bukan Islam.

Antara faktor utama yang sering disebut oleh bekas muslim di Malaysia ialah rasa terasing dalam agama yang diwarisi sejak lahir. Beberapa individu Melayu yang menghubungi saya misalnya mengaku tidak pernah diberi peluang memilih agama.

Untuk rekod, Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan Melayu sebagai orang yang beragama islam. Maknanya, identiti kaum dan agama sudah diikat sejak awal. Dalam keadaan begitu, ada individu yang membesar dengan rasa bahawa islam bukan pilihan peribadi tetapi paksaan negara dan masyarakat.

Apabila meningkat dewasa, mereka mula mempersoalkan perkara yang selama ini dianggap tidak boleh dipersoalkan. Tentulah saya hanya menjadi pendengar yang setiap dan tidak memberi apa-apa komen yang mungkin boleh pula ditafsir sebagai mencabar peruntukan Perlembagaan. (Lihat juga: Buku MAIS Boleh Undang Murtad)

Kes Lina Joy sering menjadi contoh paling terkenal apabila orang melayu-islam menghubungi saya untuk meluahkan kisah murtad. Dilahirkan sebagai Azlina Jailani, Lina Joy memeluk Kristian dan memohon agar perkataan “islam” dibuang daripada kad pengenalan.

Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007 menolak permohonannya. Kes itu bukan sekadar pertikaian dokumen. Ia membuka mata ramai orang tentang betapa sukarnya seseorang keluar daripada islam di Malaysia. Pelbagai analisis undang-undang dan jurnal akademik kemudian membincangkan bagaimana bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil saling bertindih dalam isu murtad. (contoh kajian)

Ada juga individu yang berkongsi cerita dengan saya—sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian—mengatakan mereka memilih untuk meninggalkan islam kerana pengalaman buruk dengan institusi agama. Sebahagian mereka mendakwa pernah dihina kerana tidak cukup “islamik”, dipaksa mematuhi norma tertentu, atau mengalami tekanan moral yang melampau.

Dalam masyarakat Malaysia, agama sering bercampur dengan politik dan kawalan sosial. Cara berpakaian, hubungan cinta, pilihan hiburan, malah cara berfikir pun boleh dijadikan ukuran iman. Bagi sesetengah orang, tekanan berterusan seperti ini menimbulkan rasa lemas.

Mereka bukan sekadar menjauhkan diri daripada institusi agama, malah akhirnya hilang kepercayaan terhadap agama itu sendiri. Demikianlah hasil perkongsian cerita yang disampaikan kepada saya oleh beberapa individu yang mengikuti penulisan saya di blog dan mahu turut menyumbangkan kisah dan pengalaman peribadi.

Faktor pendidikan dan capaian maklumat juga memainkan peranan besar dalam isu murtad. Generasi muda hari ini terdedah kepada pelbagai pandangan melalui internet, buku, forum, dan media sosial. Mereka membaca hujah ateis, humanis, agnostik, atau pengalaman bekas muslim dari seluruh dunia.

Mereka berpeluang membandingkan ajaran agama dengan sains, hak asasi manusia, feminisme, dan kebebasan individu. Ada yang merasakan jawapan yang diberikan oleh ustaz atau institusi agama tidak memadai. Dalam keadaan itu, keraguan berkembang menjadi penolakan. Saya mendengar dengan tenang dan menjadi pencatat yang setia tanpa masuk campur; membiarkan individu terbabit bebas bersuara.

Perkahwinan campur turut menjadi faktor. Di Malaysia, pasangan bukan islam perlu memeluk islam untuk berkahwin dengan orang islam. Beberapa individu mualaf menceritakan kepada saya bahawa mereka memeluk Islam secara formal semata-mata untuk berkahwin, tetapi tidak pernah benar-benar percaya pada agama itu.

Selepas berlaku perceraian atau konflik rumah tangga, mereka cuba kembali kepada agama asal atau memilih untuk tidak beragama langsung. Namun, proses itu sering menjadi mimpi ngeri kerana melibatkan birokrasi agama dan mahkamah syariah. Topik ini sudah diperincikan dalam catatan terdahulu di blog ini.

Satu lagi faktor yang jarang dibincangkan secara terbuka ialah isu seksualiti dan identiti gender. Ada individu LGBT muslim tampil berkongsi cerita. Katanya, golongan LGBT di Malaysia hidup dalam tekanan yang sangat berat. Tambahan pula sejak Anwar Ibrahim mendapat pengampunan diraja pada 2018 dan terus memulakan kempen besar-besaran menghapuskan LGBT di Malaysia.

Mereka bukan sahaja berdepan stigma sosial, malah sering dijadikan sasaran ceramah agama dan kempen moral. Ada yang cuba berubah selama bertahun-tahun tetapi gagal. Akhirnya, mereka merasakan agama hanya membawa rasa bersalah dan kebencian terhadap diri sendiri.

Dalam keadaan begitu, menurut mereka, meninggalkan ajaran islam dilihat sebagai satu-satunya jalan bagi menyelamatkan kesihatan mental dan maruah diri. Saya hanya mendengar tanpa memberi komen; membiarkan mereka meluahkan isi hati tanpa sekatan.

Walau apa pun sebabnya, kehidupan selepas murtad di Malaysia bukan sesuatu yang mudah bagi orang melayu. Risiko pertama ialah penolakan keluarga. Ramai bekas muslim terpaksa menyembunyikan identiti sebenar kerana takut dipulaukan, dihalau dari rumah, dipukul, atau diputuskan hubungan kekeluargaan.

Rata-rata individu yang tampil berkongsi kisah dan pengalaman berkata, mereka terpaksa hidup bertahun-tahun sebagai “muslim pada kad pengenalan” walaupun secara peribadi sudah tidak percaya kepada islam. Dan saya hanya mampu mengangguk sebagai tanda memahami dilema dan trauma dialami.

Selain itu, individu terbabit juga berdepan risiko undang-undang dan tindakan pihak berkuasa agama islam. Beberapa negeri di Malaysia mempunyai peruntukan berkaitan pemulihan akidah, kaunseling wajib, atau hukuman syariah terhadap percubaan keluar islam atau murtad.

Kajian akademik tentang undang-undang murtad di Malaysia menunjukkan bahawa proses meninggalkan islam sangat rumit dan hampir mustahil bagi orang melayu-islam. Dalam beberapa kes, individu terbabit dihantar ke pusat pemulihan akidah untuk “dibimbing” sehingga kembali kepada islam. (contoh kajian)

Perbualan dengan beberapa individu melayu yang sudi berkongsi kisah membantu saya lebih memahami situasi sebenar yang tentu sahaja tidak dipaparkan di media tempatan.

Saya mula memahami bahawa akibat tekanan sosial dan undang-undang sedia ada, ramai bekas muslim memilih untuk hidup secara rahsia. Mereka berpura-pura berpuasa pada ramadan, hadir solat Jumaat, atau memakai imej muslim demi keselamatan diri. Saya terkebil-kebil juga kerana langsung tidak menyedari hal ini sebelum meninggalkan islam pada April 2022.

Khabarnya, topik dan pengalaman orang melayu yang meninggalkan islam emmang tersebar luas di Internet. Di media sosial seperti Reddit, terdapat komuniti bekas muslim Malaysia yang berkongsi pengalaman hidup dalam ketakutan dan keterasingan. Ada yang menganggap diri mereka seperti tahanan identiti di negara sendiri. Saya hanya membaca tanpa sebarang komen.

Hasil perbualan dengan beberapa orang, saya mula sedar bahawa isu murtad di Malaysia bukan sekadar soal agama. Ia berkait rapat dengan kebebasan individu, kuasa negara, identiti kaum, dan hak menentukan hala tuju hidup sendiri.

Orang yang murtad atau meninggalkan agama islam mungkin tidak disukai oleh masyarakat majoriti tetapi bagi saya, mereka tetap manusia yang mempunyai hak untuk berfikir, meragui, dan memilih.

Pada masa sama, sebagai pengamal Interfaith (Bukan Islam), saya sedar bahawa dalam suasana Malaysia hari ini, pilihan seorang melau-islam untuk murtad sering datang bersama harga yang sangat mahal. Misalnya, kehilangan keluarga, kehilangan perlindungan sosial, dan kadangkala kehilangan rasa selamat di tanah air sendiri.

Tentulah saya tidak berhak menghalang—atau menggalakkan—pilihan mereka untuk murtad. Mereka juga sedar hal itu. Malah, mereka sekadar mahu berkongsi kisah dan pengalaman dengan seorang individu yang sudi mendengar tanpa menghukum.

Bacaan seterusnya: Mualaf yang Mahu Kembali kepada Agama Asal

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]