21 Jun 2026

Mualaf yang Mahu Kembali kepada Agama Asal

Di Malaysia, terdapat pelbagai kisah individu Bukan Islam yang memeluk agama islam atas pelbagai sebab: Cinta, perkahwinan, tekanan keluarga, pengaruh rakan, pencarian spiritual, atau keinginan untuk “menyesuaikan diri” dalam masyarakat majoriti melayu-muslim.

Namun, tidak semua perjalanan itu berakhir dengan ketenangan jiwa. Ada individu yang kemudian mendapati diri mereka terperangkap dalam keadaan yang amat rumit apabila mahu meninggalkan islam. Catatan ini berdasarkan kisah-kisah yang diceritakan oleh beberapa individu dan ditambah dengan hasil kajian berkaitan topik sama.

Dalam konteks Malaysia, keputusan memeluk agama islam bukan sekadar perubahan pegangan rohani, malah turut melibatkan identiti undang-undang, hubungan keluarga, hak penjagaan anak, status perkahwinan, dan kedudukan sosial.

Maka, apabila seseorang masuk islam (mualaf) dan mahu keluar daripada Islam (murtad), mereka bukan sahaja berdepan dengan tekanan emosi, malah sering menghadapi halangan birokrasi, stigma masyarakat, dan pertikaian mahkamah.

Sebagai contoh, bacalah catatan bertajuk “Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur” dan “Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran – Vijay” di blog ini.

Kes paling terkenal di Malaysia yang sering dijadikan rujukan dan topik perbincangan ialah kes Lina Joy. Beliau dilahirkan sebagai Azlina Jailani dalam keluarga melayu-muslim tetapi kemudian memeluk agama Kristian. Ini bukan kes individu Bukan Islam masuk islam dan kemudian mahu keluar islam. Namun, kes ini penting kerana membuka mata orang ramai tentang pelbagai perkara teknikal berhubung proses murtad secara sah.

Lina Joy mahu menukar status agamanya dalam kad pengenalan supaya dapat berkahwin secara sah mengikut agama Kristian denagn lelaki pilihan. Namun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menuntut sijil pengesahan keluar Islam (murtad) daripada Mahkamah Syariah.

Kes itu akhirnya sampai ke Mahkamah Persekutuan dan menjadi antara kes kebebasan beragama paling kontroversi dalam sejarah Malaysia. Kajian akademik oleh Joshua Neoh menjelaskan bahawa mahkamah memutuskan Lina Joy tidak boleh meninggalkan islam tanpa pengesahan Mahkamah Syariah.

Kajian akademik oleh R. Sivaperegasam turut menunjukkan bahawa kes Lina Joy membuka perdebatan besar tentang hubungan antara Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan beragama dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah selepas pindaan Artikel 121(1A).

Apa yang berlaku kepada Lina Joy sebenarnya memberi pengajaran penting kepada masyarakat Bukan Islam. Ramai orang menyangka memeluk islam, masuk islam, atau menjadi mualaf hanyalah urusan peribadi antara manusia dengan Tuhan. Namu, hakikatnya di Malaysia, sebaik sahaja seseorang memeluk islam secara rasmi, identiti itu direkodkan dalam sistem negara.

Maka, keputusan untuk keluar daripada islam (murtad) bukan proses mudah seperti menukar keahlian dalam kelab sukan atau parti politik. Di kebanyakan negeri di Malaysia, seseorang perlu memohon di Mahkamah Syariah, menghadiri sesi kaunseling, melalui proses pemulihan akidah, dan kemudian menunggu pula keputusan yang kadangkala memakan masa bertahun-tahun.

Kajian akademik yang diterbitkan dalam Journal of Shariah Law Research menjelaskan bahawa undang-undang berkaitan keluar islam memang berbeza antara negeri-negeri di Malaysia dan sering menimbulkan kekeliruan prosedur serta pertindihan bidang kuasa. Malangnya, ramai mualaf yang tidak ambil tahu perkara ini sebelum masuk islam, sebaliknya terkebil-kebil selepas mengambil keputusan mahu kembali kepada agama asal.

Di Sabah, situasi seperti ini pernah mendapat perhatian secara meluas apabila Mahkamah Syariah menerima ratusan permohonan untuk murtad atau keluar islam. Kajian akademik oleh Pg Ismail Pg Musa dan Siti Zubaidah Ismail mendedahkan bahawa pada tahun 2010 sahaja, terdapat 238 permohonan untuk keluar islam di Sabah dan 67 daripadanya diluluskan.

Kebanyakan kes di atas melibatkan individu yang memeluk islam kerana perkahwinan tetapi kemudian mengalami perceraian, konflik keluarga, atau mendapati mereka sebenarnya tidak pernah memahami agama islam yang dipeluk.

Ada juga individu daripada komuniti pribumi Sabah yang mengaku memeluk islam dalam suasana sosial tertentu tetapi sebenarnya masih mengamalkan budaya serta kepercayaan asal. Kajian akademik itu membuktikan bahawa isu mualaf bukan sekadar soal akidah, malah berkait rapat dengan identiti etnik, ekonomi, pendidikan, dan kedudukan sosial.


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


Ada individu yang berkongsi cerita dengan saya mengaku memeluk islam semata-mata kerana mahu berkahwin dengan pasangan muslim. Ketika cinta sedang memuncak, segala-galanya kelihatan indah. Namun, selepas beberapa tahun, muncul tekanan yang tidak dijangka. Mulalah ada pasangan yang memaksa perubahan gaya hidup secara mendadak.

Ada pula kes keluarga mentua memaksa si mualaf memutuskan hubungan dengan keluarga asal (Bukan Islam). Ada individu mendedahkan cerita kepada saya bahawa mereka kehilangan sokongan komuniti asal (Bukan Islam) tetapi pada masa sama tidak diterima sepenuhnya oleh masyarakat muslim. Individu itu akhirnya hidup dalam keadaan “tergantung” iaitu tidak lagi dekat dengan keluarga asal (Bukan Islam) dan juga tidak benar-benar merasa diterima komuniti baharu (islam).

Keadaan menjadi lebih rumit apabila berlaku perceraian. Seorang mualaf mungkin mahu kembali kepada agama asal selepas rumah tangga musnah tetapi tiba-tiba menyedari dirinya kini tertakluk kepada undang-undang syariah.

Dalam beberapa kes, hak penjagaan anak turut menjadi isu sensitif. Walaupun tidak semua kes mendapat liputan besar di media arus perdana, pelbagai laporan berita dan perbincangan akademik menjadi bukti nyata bahawa konflik agama selepas perceraian sering meninggalkan kesan psikologi mendalam kepada individu terbabit.

Selain cabaran undang-undang, individu yang mahu keluar islam juga sering menghadapi tekanan sosial yang sangat berat. Pengalaman sedih ini juga dikongsi beberapa individu. Ada yang dipulaukan keluarga, kehilangan pekerjaan, menerima ugutan, atau diserang di media sosial. Semuanya kerana mereka mahu kembali kepada agama asal.

Dalam masyarakat Malaysia yang amat sensitif terhadap isu agama, seseorang yang mahu meninggalkan islam dan kembali kepada agama asal mudah dilabel sebagai pengkhianat atau musuh agama. Sebab itu ramai mualaf akhirnya memilih untuk hidup secara diam-diam dan penuh munafik. Secara rasmi—on paper—mereka masih muslim, tetapi secara peribadi, mereka tidak lagi mengamalkan sebarang ajaran islam. Mereka mengaku hidup dengan ketakutan bahawa identiti sebenar (munafik) akan diketahui masyarakat.

Perbincangan awam di media sosial juga menunjukkan betapa panasnya isu mualaf yang mahu kembali kepada agama asal. Dalam beberapa forum Internet dan perbincangan komuniti maya, ramai pengguna menggambarkan proses keluar islam di Malaysia sebagai sangat sukar dan penuh tekanan psikologi. Walaupun komen di media sosial tidak boleh dianggap sumber akademik mutlak, ia tetap memberi gambaran tentang sentimen masyarakat dan ketakutan yang dirasai oleh mangsa terbabit.

Pada tahun 2025, tular kisah seorang wanita mualaf yang menyatakan hasrat mahu meninggalkan islam selepas mendakwa mengalami penderaan dan tidak menerima bantuan sewajarnya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan MAIWP mengesan wanita itu untuk menawarkan bantuan lanjut.

Kes di atas menunjukkan bahawa sebahagian individu mualaf bukan sahaja bergelut dengan persoalan agama, malah ditambah pula dengan masalah rumah tangga, kemiskinan, pengabaian, dan kesunyian sosial.

Semua ini sepatutnya memberi pengajaran besar kepada masyarakat Bukan Islam, khususnya mereka yang mempertimbangkan untuk memeluk islam kerana faktor luaran seperti cinta atau tekanan keadaan.

Agama bukan pakaian yang boleh ditukar mengikut musim. Memeluk islam di Malaysia membawa implikasi undang-undang dan sosial yang sangat mendalam. Seseorang perlu benar-benar memahami ajaran islam, undang-undang syariah, kedudukan perkahwinan, hak anak, prosedur pentadbiran agama, dan kesan jangka panjang sebelum membuat keputusan.

Individu mualaf yang berkongsi pengalaman meminta saya menyampaikan pesanan kepada umat Bukan Islam: “Jangan memeluk agama islam semata-mata kerana mahu berkahwin atau menggembirakan pasangan. Cinta boleh berubah, manusia boleh meninggalkan kita, tetapi kesan perubahan agama mungkin kekal sepanjang hayat.”

Ternyata kisah-kisah yang dikongsi beberapa individu mualaf yang saya temui sama sahaja dengan dapatan daripada hasil kajian akademik. Maka, tidak timbul fitnah kononnya mualaf yang saya temui sengaja mereka-reka cerita untuk memberi imej negatif tentang islam, mualaf, dan murtad.

Pada masa sama, perlu ditekankan bahawa individu yang mahu meninggalkan islam tidak sesekali berniat menghina agama itu. Ada antara mereka yang terperangkap dalam perkahwinan toksik dengan pasangan islam. Ada yang memeluk islam tanpa kefahaman mendalam. Ada pula yang mengalami konflik identiti dan tekanan mental. Demikian antara hasil perbualan bersama beberapa individu mualaf yang sedang bergelut untuk kembali kepada agama asal.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, isu agama memang perlu ditangani dengan ilmu, empati, dan kejujuran. Bagi umat Bukan Islam, keputusan masuk islam mestilah dibuat secara sedar, matang, dan berdasarkan keyakinan tulen—bukan kerana desakan emosi atau nafsu sementara.

Jika tidak, anda mungkin terlewat menyedari hakikat jalan masuk kelihatan amat mudah dan menggoda tetapi jalan keluar amat sukar, malah mustahil.

Bacaan seterusnya: Masuk Senang, Keluar Susah—Realiti Mualaf di Malaysia

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]