9 Sept 2026

Menunggu Tuan Datuk



Pada petang ketika bangunan lama itu akhirnya terbakar, orang kampung hanya bercakap tentang asap hitam yang naik dari celah pokok merbau dan ara. Tiada sesiapa bercakap tentang seorang lelaki bernama Vadivelan yang pernah duduk di situ hampir setiap hari selama bertahun-tahun, memandang dinding reput, mendengar bunyi hutan, memandang langit, dan menunggu sesuatu yang dia sendiri tidak tahu wujud atau tidak.

Bangunan itu dahulu pusat utama pekerja ladang getah berkumpul. Ketika zaman pokok-pokok getah masih menjadi nadi estet di pinggir hutan, bangunan berkenaan dipenuhi suara manusia, bunyi mesin getah lama, bau cuka getah, dan ketawa pekerja yang pulang selepas menoreh.

Kemudian, ladang bertukar tangan, pekerja berkurangan, dan bangunan itu menjadi ruang kosong yang ditinggalkan terus; terbiar di antara estet dan hutan. Velan pula menyukai tempat itu kerana tiada sesiapa bertanya apa yang dia lakukan di sana.

Dia tidak bekerja tetap. Dia pernah menjadi pembantu mekanik motosikal tetapi berhenti selepas dua minggu kerana katanya, pelanggan terlalu banyak bercakap. Dia pernah menjual berhala di luar kuil tetapi orang tidak berminat membeli daripadanya.

Velan pernah berniaga pisang goreng tetapi gagal kerana dia lebih suka makan sendiri daripada menjual. Dia malah pernah menyertai kumpulan muzik di estet sebagai pemain tabla tetapi berhenti kerana dia tidak suka latihan pada waktu malam.

“Bakat ada,” kata rakan lamanya, Maniam, sambil ketawa. “Cuma malas kamu lebih besar daripada bakat.”

Velan hanya tersenyum. Dia menerima gelaran “Pemalas” bukan sebagai penghinaan tetapi dengan bangga seperti seseorang menerima nama keluarga.

Orang kampung sudah lupa nama sebenarnya. Kanak-kanak memanggilnya “Abang Pemalas”. Orang tua memanggilnya “Pemalas”. Malah, beberapa migran Bangladesh dan Indonesia yang baru berpindah ke estet itu juga mengenalinya dengan nama timangan itu.

Anehnya, Velan tidak marah. Baginya, duduk di bangunan terbengkalai sambil menghirup kopi yang sudah sejuk merupakan satu bentuk kebebasan. Seumpama bertapa di dalam gua tanpa perlu membuat apa-apa kerja.

Setiap hari, dia membawa telefon murahnya, sebungkus rokok daun, dan bekas makanan yang disediakan oleh isterinya, Kavitha.

“Attan, sampai bila nak duduk macam ini?” tanya Kavitha pada suatu pagi.

Velan memandang langit yang kelabu.

“Sampai dunia berhenti mengejar sesuatu.”

“Dunia tidak akan berhenti,” Kavitha membidas dengan kecewa.

“Jadi, aku menang. Aku sudah berhenti dahulu.”

Kavitha menggeleng. Dia sayang akan suaminya, tetapi sayang tidak selalu bermaksud memahami.

Di belakang bangunan itu terdapat hutan yang dipercayai lebih tua daripada usia estet. Orang tua mengatakan, ada pokok yang tumbuh sebelum rumah-rumah pertama dibina di estet. Ada cerita tentang bunyi langkah pada waktu malam, cahaya kecil bergerak di celah daun, dan suara seperti manusia memanggil nama seseorang.

Velan tidak percaya cerita itu. Tetapi dia juga tidak pernah masuk terlalu jauh ke dalam hutan. Baginya, ada beberapa perkara yang manusia tidak percaya tetapi masih perlu hormati. Atau, mungkin kerana dia malas.

Pada suatu petang yang panas, ketika hujan baru berhenti dan bau tanah basah memenuhi udara, telefon Velan berbunyi. Satu mesej daripada nombor tidak dikenali.

“Saya tahu siapa kamu.”

Velan membaca mesej itu dua kali. Dia ketawa kecil.

“Scammer,” katanya kepada diri sendiri.

Dia hampir-hampir memadam mesej itu, sebelum satu lagi mesej masuk.

“Saya wakil kepada seorang individu yang sangat kaya. Dia sedang mencari seseorang seperti kamu.”

Velan duduk tegak. Seseorang seperti kamu. Frasa itu mengganggu fikiran, sekali gus menarik minat. … (bersambung) [Rujuk: Projek Buku Cerpen 2027]

Cerpen seterusnya: Dari Stonewall Inn ke Kuala Lumpur

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!