15 Apr 2022

Kisah Uthaya Masuk Lokap Kerana “Hina Nabi”

Catatan ini hanya sebagai rujukan memandangkan saya [Uthaya Sankar SB] seorang yang sangat pelupa. Catatan ini untuk bacaan kaum keluarga kerana saya pasti penat mengulangi cerita sama setiap kali ditanya. Catatan ini tidak bertujuan menyalahkan sesiapa atau menimbulkan sebarang masalah; apatah lagi mengganggu proses penyiasatan yang [sedang] dilakukan oleh pihak berkuasa. Sila maklumkan jika ada sebarang kesalahan fakta supaya boleh dibetulkan segera.

 

11 April 2022 (Isnin)

Sekitar 9:40 pagi – Rumah saya di Taman Sri Muda, Shah Alam didatangi dua pegawai polis yang menaiki sebuah kereta polis (kenderaan rasmi). Inspektor Shateeskumar a/l Murugan memperkenalkan dirinya dan mengatakan mereka datang dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Saya membuka pintu pagar dan mempelawa mereka masuk. Kami duduk berbual. Saya tidak hidangkan minuman kerana seorang lagi (“Bob” kalau tak silap) seorang lelaki Melayu-Islam.

Shateeskumar menunjukkan satu paparan Facebook dan bertanya jika saya yang memuat naik paparan itu pada akaun Facebook saya. Inilah paparan yang dimaksudkan – dipaparkan di sini daripada siaran Isma Web (11 April 2022) untuk tujuan dokumentasi dan rujukan mengikut konteks; bukan untuk provokasi.

Saya memberitahu Shateeskumar bahawa memang saya yang memuat naik paparan itu menggunakan telefon bimbit milik saya. Tidak timbul apa-apa keperluan untuk saya menipu atau menafikan kerana memang paparan itu dibuat dengan penuh sedar.

Shateeskumar memaklumkan bahawa paparan itu sudah menjadi viral (tular) dan ada pihak membuat laporan polis, maka Bukit Aman perlu melakukan siasatan. Saya bertanya, adakah saya ditahan dan dia mengesahkan tidak; hanya mahu mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan kerana paparan itu sudah menjadi viral (tular) dan tersebar luas.

Dia bertanya mengapa saya membuat paparan itu di Facebook. Saya menjelaskan bahawa saya terbaca satu berita bertajuk “Dek serik berpoligami, Iman Zulkarnain pesan lelaki usah cari penyakit” di Malaysiakini (6 April 2022). Saya tidak kenal siapa Iman Zulkarnain tetapi tertarik membaca pandangannya yang mengaku “sudah serik berpoligami” dan “menitipkan pesan kepada lelaki lain agar ‘jangan sengaja mencari penyakit’.”

Setahu saya – hasil pergaulan dengan rakan-rakan Melayu-Islam sejak kanak-kanak serta hasil pembacaan – poligami dibenarkan dalam Islam. Maka, saya hairan mengapa Iman Zulkarnain menjadikan kegagalan peribadinya sebagai alasan untuk menasihati lelaki Melayu-Islam lain agar menjauhi poligami.

Saya menggunakan rujukan Hadis Sahih al-Bukhari untuk menegaskan pandangan saya. Dalam soal poligami, sepatutnya sunah Rasulullah menjadi contoh bagi umat Islam.

[Sekadar contoh - Klik di sini]

Shateeskumar mendengar dan mencatat segala penjelasan yang saya beri. Dianbertanya jika saya ada niat menghina Nabi Muhammad menerusi paparan itu. Saya tegaskan, tidak ada apa-apa niat seumpama itu. Sebaliknya, saya menggunakan sunah Rasulullah daripada sumber Hadis Sahih untuk menguatkan hujah saya berhubung kata-kata Iman Zulkarnain. Saya tidak mengenali artis itu dan saya tidak sesekali berniat mengkritik peribadinya. Sebaliknya, hanya menumpukan kepada nasihatnya supaya lelaki Melayu tidak mengamalkan poligami.

[Contoh]

Shateeskumar mengirim maklumat yang ditaip pada telefon bimbit kepada pegawai atasannya. Kemudian kami berbual-bual sebentar tentang bencana banjir pada 18 Disember 2021.

Sekitar 10:20 pagi – Shateeskumar mengatakan dia mendapat arahan supaya membawa saya ke Balai Polis Taman Sri Muda untuk mengambil keterangan. Dia mengesahkan, saya tidak ditahan. Saya mengirim mesej WhatsApp kepada beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan pada pukul 10:21 pagi untuk memaklumkan hal itu:

 

“Saya sedang dibawa ke Balai Polis (Taman) Sri Muda kerana ada orang lapor ke Bukit Aman tentang posting ini.”

 

Apabila sampai di Balai Polis Taman Sri Muda, kami duduk di ruang menunggu. Shateeskumar bertanya latar belakang diri, keluarga, pendidikan, dan pekerjaan saya. Katanya, untuk ditaip pada telefon dan dihantar kepada pegawai atasan bagi tujuan siasatan yang sedang dilakukan.

Sekitar 11:00 pagi – Shateeskumar memberitahu bahawa dia mendapat arahan supaya membawa saya ke Bukit Aman. Saya bertanya sama ada saya ditahan, lalu dia menegaskan “tidak”. Katanya, di sana nanti akan diputuskan tindakan seterusnya. Dia berkata, boleh juga saya beritahu keluarga dan boleh hubungi peguam sebagai langkah persiapan sahaja.

Segera saya paparkan di Facebook pada pukul 11:01 pagi:

 

“Sedang dibawa ke Bukit Aman. Kerana paparan ini. Mungkin ditahan, mungkin ikat jamin. Ada peguam boleh datang?”


Saya tetap dalam keadaan tenang. Pertama, saya tidak berniat jahat apabila memuat naik paparan berkenaan Iman Zulkarnain. Kedua, Shateeskumar memberi jaminan bahawa saya tidak ditahan.

Sekitar 11:30 pagi – Kami tiba di Bukit Aman. Saya diiringi ke Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Menara 2. Ini kali pertama saya ke Bukit Aman. Saya diminta duduk sementara menunggu pegawai atasan yang akan bertanya beberapa soalan lagi. Sambil menunggu, saya melayari media sosial.

Pukul 11:44 pagi, saya terbaca berita bertajuk “Status berunsur hina Nabi Muhammad: Penulis kena angkut dengan polis” yang disiarkan di Malaysiakini pada pukul 11:32 pagi. 

[Koleksi pelbagai laporan/berita kes ini: klik di sini]

Beberapa rakan, wakil NGO hak asasi, media, dan peguam juga mula menghubungi saya menerusi WhatsApp dan panggilan telefon. Mereka bertanya, benarkah saya ditangkap. Saya bertanya kepada Shateeskumar “Adakah saya ditangkap?” dan dia sekali lagi mengesahkan “tidak”.

[Bukan saya reka hadis! Baca contoh artikel DI SINI]

Kemudian, pukul 12:16 tengah hari, Inspektor Siti Safawati binti Mustafa memperkenalkan diri dan mengatakan bahawa dia akan mengambil keterangan saya. Bagi tujuan pengesahan, saya bertanya “Adakah saya ditahan?” dan diberitahu “Tidak”. 

Siti Safawati mengemukakan pertanyaan mengenai paparan berkenaan. Saya memberi kerjasama dengan menjawab setiap soalan dengan jujur dan tanpa berselindung. Bak kata orang, jika kita bercakap benar, walau ditanya seribu kali pun jawapan masih sama.

Pukul 12:27 tengah hari, sambil menjawab soalan yang dikemukakan, saya terbaca berita bertajuk “Author Uthaya Sankar taken to Bukit Aman for questioning over social media post” di Focus Malaysia. Terus dikongsi di Facebook menggunakan telefon bimbit yang masih ada pada saya.

[Read more news/reports about the arrest: click here]

Saya perlu nyatakan di sini bahawa saya dilayan dengan penuh sopan dan profesional. Tidak dikasari atau dimarahi dalam apa-apa bentuk. Saya menjawab semua soalan dengan tenang. Walaupun ini pengalaman pertama disiasat di bukit Aman, saya tidak takut kerana saya tahu saya tidak membuat apa-apa kesalahan. Polis hanya sedang menjalankan tugas (siasatan) dan saya mahu memberi kerjasama penuh. Tambahan pula, mereka mengesahkan saya tidak ditangkap.

[Contoh Hadis berkaitan - klik di sini]

Siti Safawati meminta saya memberikan kata laluan (password) untuk akaun Facebook. Saya tidak mampu berbuat demikian kerana akaun saya sentiasa terdaftar masuk (logged-in) pada telefon dan saya langsung tidak ingat kata laluan yang dimasukkan lebih dua tahun lalu.

Akibatnya, pada pukul 1:07 tengah hari, Inspektor Zainol [tidak ingat nama penuh] memberitahu saya:

 

“Awak ditangkap. Telefon rampas.”

 

Saya segera mencatatkan perkembangan terbaharu itu di Facebook untuk makluman keluarga dan rakan-rakan. Kemudian, menyerahkan telefon saya kepada Shateeskumar selaku pegawai pemeriksa.

Siti Safawati sudah menamatkan siasatan dan saya menandatangani salinan laporan yang dia sediakan. Shateeskumar meminta saya menandatangani borang pengesahan telefon dan kad SIM dirampas. Kemudian, saya diberi peluang menelefon isteri untuk memaklumkan saya sudah ditahan. Saya masih amat tenang kerana saya tahu saya tidak bersalah. Saya meminta isteri menghubungi Datuk Ambiga Sreenevasan selaku peguam saya.


Pukul 3:17 petang – Saya dibawa menaiki kenderaan rasmi polis dari Bukit Aman ke IPD Dang Wangi. Kedua-dua tangan saya digari, dan saya amat memahami bahawa ini adalah prosedur rasmi. Malah, saya gembira kerana berpeluang merasai sendiri pengalaman digari dan dibawa ke lokap; selalu lihat foto orang lain sahaja kena gari. Untuk rekod: Saya langsung tidak dikasari secara fizikal atau melalui kata-kata.

Apabila tiba di IPD Dang Wangi, saya dibawa masuk dan diminta menunggu untuk didaftar masuk ke lokap. Sementara menunggu, saya tetap tenang. Tidak sedikit pun takut atau risau kerana saya yakin dengan layanan profesional yang diberi setakat ini. Kes saya pula diklasifikasi sebagai “kes berprofil tinggi”. Berita sudah tersiar di Malaysiakini dan Focus Malaysia. Tentu juga di pelbagai media lain; terima kasih kepada rakan-rakan media yang prihatin.

Saya juga yakin isteri sudah berjaya menghubungi peguam dan membuat apa-apa persediaan yang perlu. Saya juga yakin, anak dan isteri akan selamat di rumah abang saya – kami menumpang di sana akibat banjir pada Disember 2021. Anak saudara (Harveen Sankar yang datang menyelamatkan kami semasa banjir) tentu akan bersama anak dan isteri saya.

Saya sudah mula mengantuk kerana memang saya suka tidur sebentar pada waktu petang. Ketiadaan telefon dan bahan bacaan membuatkan saya semakin mengantuk. Saya tidak tahu pukul berapa pada waktu itu.

[Klik untuk besarkan]

Akhirnya, saya diberi pakaian (seluar dan baju) warna ungu bertulis “Lokap Polis DW”. Sekali lagi, saya dilayan dengan baik dan profesional. Tidak ada apa-apa masalah. Ini juga kali pertama saya memakai pakaian rasmi lokap dan masuk ke dalam lokap.

Ada sekitar 10 orang tahanan di dalam lokap yang besar di mana saya ditempatkan. Penjarakan sosial terjaga. Saya tidur nyenyak dan hanya bangun apabila dipanggil untuk makan malam – saya andaikan, waktu buka puasa. Nasi putih bungkus, ikan goreng, dan sayur.

Selepas makan, saya berbaring dan mendengar sahaja hal-hal yang dibualkan tahanan di dalam sel saya dan sel di hadapan. Kisah-kisah menarik tentang pelbagai perkara. Kemudian, saya tidur. Nyenyak. Bangun sekali sekala tetapi nyenyak semula. Tiada masalah. Tiada gangguan.

 

12 April 2022 (Selasa)

Sekitar 5:00 pagi (andaian) – Bangun apabila diberitahu sarapan sudah ada. Makan biskut empat segi (cream cracker) dan kopi O. Sudah lebih daripada mencukupi untuk mengalas perut. Kemudian, saya tidur semula.

Sekitar 9:00 pagi (andaian) – Bangun dan kemudian duduk termenung selepas membasuh muka. Nama dipanggil, lalu keluar diiringi pegawai lokap menuju ke tempat di mana permohonan reman akan berlangsung. Bersebelahan sahaja dengan lokap; bukan dibawa ke mahkamah di luar kerana “kes berprofil tinggi”. Saya duduk dengan tenang sambil cuba mencerna dan mengingat pengalaman baharu (dan berguna sebagai penulis) sejak semalam.

Rajsurian Pillai datang dan memperkenalkan dirinya sebagai peguam yang akan mewakili saya. Datuk Ambiga tidak dapat datang, lalu menyerahkan tugas itu kepadanya. Rajsurian memaklumkan bahawa keluarga saya berada di luar IPD Dang Wangi. Beliau menerangkan apa yang akan berlaku nanti. Beliau juga bertanya jika saya menghadapi apa-apa masalah sejak ditahan. Saya berterus-terang bahawa saya dilayan dengan amat baik dan secara profesional.

[Global Voices  read here]

Sekitar 11:00 pagi – Siti Safawati memohon reman empat hari untuk menjalankan siasatan. Rajsurian mencelah dengan mengingatkan bahawa saya sudah memberi kerjasama penuh sejak semalam dan siasatan sebenarnya sudah selesai. Polis memberi alasan mahu mengambil cap jari saya dan juga mendapatkan kata laluan bagi akaun Facebook. Astro Awani (12 April 2022) kemudian memetik dan melaporkan bahawa Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalid “menolak permohonan reman yang dikemukakan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah”. Saya wajib dibebaskan sebelum pukul 6:00 petang.

Selepas itu, saya, Siti Safawati, Zainol, dan seorang lagi polis wanita (saya tidak ingat nama) duduk di sebuah bilik berdekatan dan cuba mengatasi masalah kata laluan akaun Facebook. Dengan memanfaatkan pilihan “forgot password”, kata laluan diubah oleh Siti Safawati dengan izin saya. 

Saya juga tidak ambil tahu apakah kata laluan baharu kerana saya sudah memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya tugas menyiasat kandungan akaun Facebook itu kepada pihak berkuasa. Berani kerana benar. 

Zainol mengatakan, saya masih boleh menggunakan akaun Facebook itu seperti biasa dengan kata laluan baharu, tetapi saya memilih untuk tidak melakukan apa-apa yang mungkin boleh dianggap sebagai “mengganggu siasatan”. Paling mudah, saya tidak tahu kata laluan baharu.

Seterusnya, saya mengembalikan pakaian seragam lokap. Sedih kerana tidak ada peluang rakam foto berpakaian lokap. Urusan cap jari mengambil masa beberapa minit sahaja. Saya dibebaskan dengan ikat jamin polis. Anak saudara, Harveen Sankar, sudah bersedia apabila diminta menandatangani surat perjanjian dan jaminan. Anak saya juga ada bersama; menunggu selepas dihubungi Rajsurian dan minta datang.

Pukul 1:45 petang – Sebenarnya, saya sudah boleh meninggalkan IPD Dang Wangi. Tetapi ditanya sama ada sedia beri kerjasama kepada pegawai cawangan khas (special branchSB) yang mahu turut menyiasat kes ini. Saya bersetuju kerana memang tidak melakukan kesalahan. Maka, saya ditanya beberapa soalan hampir sama oleh pegawai SB bernama Mustakim. Saya menjawab semuanya dengan jujur dan tanpa perlu menipu atau berselindung. Untuk rekod, saya dilayan dengan amat baik dan profesional. Langsung tidak dikasari secara fizikal atau kata-kata.  

Kalau diminta membuat penilaian tentang bagaimana saya dilayan di Bukit Aman, di lokap Dang Wang, dan oleh SB, saya sedia beri lima bintang (cemerlang).



Pada masa sama, saya juga sudah memutuskan bahawa jodoh saya dengan segala hal berkaitan Islam sudah berakhir. Sudah tidak ada ruang di hati saya untuk apa-apa hal berkaitan Islam. Cukuplah apa yang dilalui; khususnya kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh keluarga sepanjang saya ditahan.


Saya menyatakan hal sama apabila dihubungi wartawan kemudian – “Penulis didakwa ‘hina nabi’ tak mahu tulis apa-apa lagi tentang Islam” (Malaysiakini, 12 April 2022, 6:45 petang). Selepas hidup 50 tahun “bersama Islam”, saya akan teruskan hidup “tanpa Islam” hingga akhir hayat. Jodoh kami sudah berakhir dan tidak ada peluang untuk “cinta kembali bertaut”. Kata bertaubat bermakna berasa serik (Kamus Dewan).


[Iklan Rajinikanth  KLIK DI SINI]

Sejumlah sembilan (9) esei terakhir (terbaik?) tulisan saya tentang Islam, Quran, dan Hadis boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Bacalah sebelum tulisan berbentuk analisis kritikal itu turut diharamkan.

Pukul 3:00 petang, dua pegawai mengiringi saya ke pintu masuk depan dan mengucapkan selamat jalan. Saya melangkah keluar dari IPD Dang Wangi dan bertemu anak, isteri, dan anak saudara yang menunggu sejak pagi. Kami terus pergi makan di Bandar Sunway. Sempat menggunakan telefon isteri dan anak saudara untuk menghubungi beberapa pihak dan mengucapkan terima kasih.

Selepas makan, kami pergi menukar kad SIM baharu dengan mengekalkan nombor sama, sebagaimana dicadangkan Zainol. Kemudian, membeli telefon baharu (iPhone 12) supaya mudah untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan dan kaum keluarga. Saya membaca satu per satu berita sejak semalam. Juga melayan mesej-mesej yang masuk bertali-arus. Mahu hubungi saya? [klik di sini]

[More news/lebih banyak berita: click here - klik di sini]

Apa yang akan saya lakukan kini? Kebetulan memang sudah merancang projek penceritaan semula Skanda Purana (Khanda Puranam) dalam Bahasa Malaysia – [klik di sini] – selain meneruskan jualan buku – [klik di sini].



Kemas kini pada 12 September 2022Sudah lima bulan sejak saya “tinggalkan islam”. Saya sudah lupa sepenuhnya semua yang saya tahu tentang islam sejak 50 tahun lalu. Betapa tenang hidup sekarang! Juga sedang menyiapkan manuskrip buku Katha Sarit Sagara [klik di sini].

Pada 16 Mac 2023, Siti Safawati mengesahkan bahawa "kes masih dalam siasatan". Saya pula sibuk menguruskan projek cetakan semula buku Nari! Nari! untuk sekolah rendah dan projek buku terjemahan cerpen Bahasa Inggeris


Demikianlah sedikit sebanyak catatan pengalaman saya berdasarkan apa yang saya ingat. Catatan ini hanya sebagai rujukan dan dokumentasi peribadi. Catatan ini untuk bacaan kaum keluarga kerana saya pasti penat mengulangi cerita sama setiap kali ditanya. Catatan ini tidak bertujuan menyalahkan sesiapa atau menimbulkan sebarang masalah; apatah lagi mengganggu proses penyiasatan yang [sedang] dilakukan oleh pihak berkuasa. Sila maklumkan jika ada sebarang kesalahan fakta supaya boleh dibetulkan segera.

Sarva MangalamSemoga seluruh alam dilimpahi sejahtera.