22 Dec 2021

Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam


Terima kasih kepada setiap individu yang cuba menghubungi saya semasa banjir melanda Taman Sri Muda, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Terima kasih juga atas doa anda semua.

Berikut sedikit catatan mengenai apa yang berlaku di lorong tempat tinggal saya (Jalan Hikmat Dua 25/82-B). Catatan ini tentu tidak mewakili gambaran keseluruhan di tempat ini; sebaliknya gambaran tentang apa yang saya/keluarga alami dan lihat.

 

17 Disember 2021 (Jumaat)

Hujan pada sebelah petang. Beberapa kawasan mula banjir tetapi tidak terlalu teruk. Hal ini sudah amat lazim di Taman Sri Muda (Seksyen 25, Shah Alam).

 

18 Disember 2021 (Sabtu)

8:00 pagi – Kebanyakan jalan di Taman Sri Muda masih banjir dan jalan sesak. Saya keluar untuk membeli akhbar Utusan Malaysia dan sempat menyaksikan situasi banjir kilat yang lazim setiap kali hujan di sini.

9:00 pagi – “Taman Sri Muda (Seksyen 25) Shah Alam banjir. Elakkan datang ke sini.” Demikian saya paparkan di Facebook.

11:00 pagi – Hujan menyebabkan paras air naik. Ini juga perkara lazim di sini. Lorong saya (Jalan Hikmat Dua 25/82-B) biasanya terselamat. Tetapi nampaknya kali ini air terus naik.

Contoh rak asal

12:30 tengah hari – Air sudah mula memenuhi kaki lima rumah yang juga merupakan Rumah Kavyan. Saya cuba meletak sebahagian buku di atas meja dengan harapan air tidak naik terlalu tinggi. Tambahan pula, banjir tidak pernah melimpah masuk ke dalam rumah sejak saya berpindah ke sini pada tahun 2000. (Banjir besar pernah berlaku di sini pada tahun 1996.)

3:00 petang – Air mula melimpah masuk ke dalam rumah kami (saya, isteri, anak, emak mentua). Bekalan elektrik terputus.

4:30 petang – Air berada pada paras buku lali di dalam rumah. Tentu sahaja air berada para paras melepasi lutut di luar.

5:40 petang – Barisan paling bawah rak buku mula terjejas. Kami tidak mampu mengangkut buku naik ke tingkat atas kerana terlalu banyak buku (lebih 2,000 judul) dan tiada ruang di tingkat atas. Saya hanya berharap paras air tidak naik terlalu tinggi.

6:25 petang – Air naik ke paras betis.

7:30 malam – Air sudah naik paras lutut. Emak mentua dibawa naik ke tingkat dua. Kami membawa komputer riba, ubat-ubatan, dan dokumen penting ke atas. Kemusnahan buku-buku dan majalah dalam koleksi sudah semakin nyata.

11:00 malam – Lebih separuh daripada tingkat bawah sudah ditenggelami air. Kami duduk di tingkat 1 dan 2. Sentiasa turun melihat paras air pada anak-anak tangga.

11:15 malam – Saya menghantar mesej di Facebook untuk memaklumkan bahawa seluruh koleksi buku dan majalah di tingkat bawah sudah musnah terkena air.

11:30 malam – Keseluruhan tingkat bawah sudah ditenggelami air melebihi 2 meter.

12:00 tengah malam – Liputan telefon sudah tiada. Kami tidak dapat menghubungi sesiapa (menerusi telefon atau media sosial) untuk memaklumkan perkembangan. Saya memantau paras air pada anak-anak tangga setiap setengah jam.

 

19 Disember 2021 (Ahad)

7:30 pagi – Paras air sudah sampai ke bumbung tingkat bawah rumah-rumah di lorong kami (rumah teres tiga tingkat). Penduduk kelihatan berdiri di tingkap tingkat 1 dan 2. Ada juga penduduk yang duduk di balkoni atau berjalan keluar ke bumbung tingkat 1. Masing-masing bertanya khabar serta berkongsi cerita tentang pengalaman banjir pada Disember 1995. Ternyata banjir kali ini lebih teruk daripada banjir itu. (Saya berpindah ke sini pada tahun 2000.)

12:00 tengah hari – Kelihatan bot pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang melakukan tinjauan di lorong kami (Jalan Hikmat Dua 25/82-B). Paras air kekal pada tahap maksimum iaitu menenggelamkan tingkat 1.

12:05 tengah hari – Keluarga di rumah depan (ada bayi) dibawa keluar menggunakan bot oleh NGO.

3:00 petang – Bantuan makanan dihantar menggunakan bot oleh NGO. Penduduk terasa amat lega kerana memang memerlukan makanan. Jiran sebelah tolong ambilkan makanan untuk kami. Saya memecah jeriji di tingkat 1 untuk melangkah keluar ke bumbung dan mengambil bantuan makanan. (Geriji asal hanya boleh dibuka di tingkat 2.)

6:00 petang – Jiran sebelah (pasangan warga emas) menaiki bot yang diatur oleh anak mereka. Kami berasa sedikit lega kerana paras air kekal pada kedudukan maksimum (sekitar 2 meter di dalam rumah). Stok buku-buku terbitan saya (seperti Kavya Sastra, Bhagavad Gita, Putaria) berada di tingkat 1. Jika paras air naik, kesemua buku itu juga akan musnah dan saya akan hilang sumber pendapatan (hasil jualan buku).

7:00 malam – Saya terus melakukan pemantauan paras air pada anak-anak tangga. Masih kekal pada paras maksimum. Sedih kerana kesemua buku – lebih 2,000 buah – di perpustakaan mini di tingkat bawah sudah musnah.

9:00 malam – Paras air masih sama. Kami memutuskan untuk tidur dengan tenang; berbanding kerisauan malam tadi, kerana tidak nampak risiko paras air naik lagi.

 

20 Disember 2021 (Isnin)

12:00 tengah malam – Paras air sudah mula turun sedikit demi sedikit; iaitu selepas 24 jam berada pada paras maksimum (sekitar 2 meter di dalam rumah; menenggelamkan tingkat 1 sepenuhnya).

12:15 malam – Ada bot (bukan milik agensi kerajaan) datang untuk membawa penduduk keluar. Kami memutuskan untuk pergi. Akan tetapi, emak mentua (82 tahun) menghadapi masalah untuk memanjat keluar menerusi tingkap di tingkat 1. Maka, kami memutuskan untuk tunggu di dalam rumah (tingkat 2) sehingga waktu pagi dengan harapan air akan turun di bawah paras pinggang. Maka, kami berempat (saya, isteri, anak, emak mentua) akan meredah air banjir dan pergi ke kawasan tinggi sedikit di Petronas (tidak jauh). Dari sana, kami boleh meminjam telefon sesiapa dan menghubungi ahli keluarga abang (Sivasankar) di Bandar NusaRhu.

7:00 pagi – Air berada pada paras dada di dalam rumah. Maka, kami tentu terpaksa menunggu lebih lama. Kereta MyVi yang diletakkan di lorong sebelah rumah sudah tenggelam sepenuhnya dan tentu mengalami kerosakan penuh (total damage).

8:00 pagi – Harveen Sankar (anak buah) tiba di dalam sebuah bot milik NGO bersama dua sukarelawan. Anak (Devishi Prabha Sankari) dan isteri (Prabhawathy Govindarajoo) terasa amat gembira dan bersyukur kerana bantuan sudah tiba. Harveen dan sukarelawan membawa bot ke kaki lima di mana air melebihi paras dada. Seorang sukarelawan mengangkat ibu mentua ke bot. Kami dibawa menaiki bot mengharungi banjir menuju ke kawasan tinggi di depan Petronas. Memang itulah tempat ramai penduduk (mangsa banjir) dibawa.

9:00 pagi – Tiba di depan Petronas. Meninjau keadaan kereta Honda CRV milik isteri. Ternyata kereta itu tenggelam separuh apabila banjir berada pada tahap maksimum semalam. Harveen membawa kami dalam kereta Toyota Hilux. Sempat juga membantu seorang pemuda warga asing yang meminta tumpang hingga Sunway.

11:00 pagi – Tiba di rumah abang di Bandar NusaRhu. Kami terasa amat lega disambut Sivasankar, Lalitha, Krishnu, Harveen dan Kuhan.

5:30 petang – Kami pergi semula ke Taman Sri Muda untuk mengambil beg-beg pakaian yang tidak sempat dibawa pagi tadi. Air berada pada paras pinggang pada waktu ini. Lebih banyak NGO sudah berada di lokasi untuk membantu mangsa banjir. Semangat “Kita Jaga Kita” jelas kelihatan. Soal agama dan kaum tidak timbul sesama masyarakat (sukarelawan dan mangsa banjir). Ada juga penduduk yang memilih untuk terus tinggal di rumah masing-masing kerana tidak ada tempat lain. Bantuan agensi kerajaan mungkin hanya tertumpu di tempat lain (berpusat di kawasan berhampiran KFC Kemuning Utama). [Baca pelbagai berita berkaitan] [Lagi berita berkaitan]

9:00 malam – Star Online menyiarkan berita mengenai perpustakaan yang musnah dalam banjir. Berita itu kemudian tersiar di NewsSpain24. Laman Vanakkam Malaysia turut memetik maklumat yang saya beri menerusi wawancara telefon.

 

21 Disember 2021 (Selasa)

1:30 tengah hari – Saya, Harveen Sankar, Kuhan Sankar, Prabhawathy dan Devishi pergi semula ke Taman Sri Muda. Air berada pada paras lutut. Kami masuk ke dalam rumah untuk meninjau situasi semasa. Sempat merakam foto [lihat di sini] dan video [lihat di sini] keadaan tingkat bawah yang sudah musnah sepenuhnya. Kami turut merakam foto dan video suasana penduduk yang meredah banjir [lihat di sini]. Kemudian, kami menggunakan khidmat tarik kereta untuk membawa kereta isteri ke pusat servis Honda di Rawang. Kemas kini foto dan video di Facebook.

22 Disember 2021 (Rabu)

6:00 petang – Meninjau keadaan di Taman Sri Muda bersama Harveen Sankar dan Kuhan Sankar. Air semakin surut. Tiada lagi air di dalam rumah kami. Memeriksa keadaan kereta MyVi. [Lihat foto] [Nota: Selepas 7 bulan, kereta MyVi VCH4508 diisytihar oleh pihak insurans sebagai musnah sepenuhnya (totally damaged).]

Liputan di Bernama [Klik di sini]. Liputan di Bernama TV Tamil [Video di sini]. Video saya dirakam oleh Kuhan Sankar.


25 Disember 2021 - Kerja-kerja pembersihan dengan bantuan sukarelawan: [Foto 9:00 pagi] - [Foto 10:00 pagi] - [Foto 2:00 petang] - [Foto oleh PADAT]

26 Disember 2021 - Kesemua sampah sudah dibersihkan. [Foto pukul 2:00 petang]


27 Disember 2021 - Selepas seminggu tinggal di rumah abang, kami terpaksa menghantar emak mentua (82 tahun) ke rumah penjagaan (selama minimum sebulan) apabila seorang lagi anak kandungnya di Johor tiba-tiba memutuskan untuk tidak menumpangkan warga emas ini di rumahnya. [Foto di siniKerja-kerja mencuci diteruskan di rumah kami di Taman Sri Muda. [Foto pukul 3:00 petang] NOTA: Emak mentua meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 15 Januari 2022.


1 Januari 2022 - Kerja-kerja mengecat semula. [Foto sebelum] [Foto semasa] [Foto selepas]

Nota: Sebahagian buku terbitan saya masih ada stok untuk dijual