5 Dec 2025

Bagaimana Jika Umat Bukan Islam “Kantoi” Berkhalwat Dengan Orang Islam? – Bahagian 1

Pada 3 Disember 2025, media melaporkan kes seorang duda didenda RM6,000 dan dihukum penjara enam bulan atas dua kesalahan berkhalwat dengan seorang wanita Bukan Islam. [Berita 1] [Berita 2]

Lelaki terbabit, Ibrahim Bacha (49), beragama Islam dan dituduh mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991. Pasangannya tidak didakwa kerana Bukan Islam. Hal ini kerana undang-undang Islam hanya terpakai bagi orang Islam dan tidak boleh digunakan atau dipaksakan ke atas orang Bukan Islam – walaupun jika terlibat dalam khalwat, sekedudukan, atau sekediaman bersama orang Islam.

Dari semasa ke semasa, memang ada usaha licik mendesak individu Bukan Islam turut didakwa dan dihukum. Malah, pernah ada kes di mana seorang lelaki Bukan Islam dijatuhi hukuman atas kesalahan khalwat bersama seorang wanita Melayu-Islam. Teruskan membaca …

Menurut Seksyen 29(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan khalwat, mana-mana orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya, atau seorang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Harus disedari, undang-undang syariah di setiap negeri adalah berbeza. Namun apa yang pasti – dan wajar diketahui umat Bukan Islam – undang-undang syariah hanya terpakai kepada orang Islam dan bagi kes di negeri terbabit sahaja.

Pada Disember 2012, muncul kes empat individu Bukan Islam ditangkap khalwat di Kota Bharu, Kelantan. Dewan Himpunan Penyokong PAS menyifatkannya sebagai “pencabulan hak orang Bukan Islam”.

Media melaporkan, pada September 2018, seorang warga emas (65) berstatus suami mengaku salah atas pertuduhan berkhalwat dengan pasangan Bukan Islam di sebuah hotel murah di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, wanita Bukan Islam tidak boleh dipaksa memberi keterangan – apatah lagi didakwa – jika ditangkap berkhalwat atau berzina dengan lelaki Islam. Hal ini demikian kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, mahkamah syariah tidak ada kuasa ke atas orang Bukan Islam.

Kes khalwat pada Februari 2021 di Alor Setar, Kedah turut menjadi bukti Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah) 2014 tidak terpakai kepada umat Bukan Islam. Seorang lelaki Bukan Islam ditangkap bersama seorang janda beragama Islam; bagaimanapun dia tidak ditahan.

Rencana saya bertajuk “Evolusi Istilah Khalwat Terus Diguna Walau Dipertikai” (Utusan Malaysia, 2 Ogos 2025) membincangkan pelbagai trivia berkaitan istilah dan perbuatan khalwat dalam kalangan orang Melayu-Islam.

Usaha untuk turut menghukum individu Bukan Islam yang berkhalwat dengan individu beragama Islam bukan perkara baharu. Misalnya, dalam ruangan “Pak Belalang” (Berita Harian, 4 Ogos 1962), dijelaskan bahawa hukuman khalwat hanya terpakai bagi orang Islam walaupun ada cadangan supaya orang Bukan Islam yang berkhalwat dengan orang Islam turut dihukum.

“Untuk memaksakan hukum Islam dijalankan ke atas orang Bukan Islam adalah mencabul hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan sudah tentu mendapat tentangan yang keras,” kata Pak Belalang dan kata-kata itu masih terpakai sehingga kini.

Setiausaha Pejabat Agama Islam Selangor, Raja Nong bin Raja Husain turut menjelaskan, pihaknya tidak ada kuasa menghukum orang Bukan Islam yang terlibat dalam kesalahan berkhalwat atau bersekedudukan. Jawapan itu susulan desakan Pemuda UMNO Bahagian Morib pada Oktober 1962 yang mahu individu Bukan Islam turut dihukum.

Perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tetap berlaku pada November 1962. K. Bharatan (31) dari Singapura dibicarakan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan atas tuduhan bersubahat dalam melakukan khalwat.

Lelaki India-Hindu itu dituduh di bawah Fasal 1/53 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Mahkamah Kadi Negeri Kelantan. Pada masa itu, dua lagi negeri yang memperuntukkan hukuman bagi individu Bukan Islam ditangkap khalwat bersama orang Islam ialah Pulau Pinang dan Kedah.

Apa yang berlaku seterusnya? Sambungan dalam [Bahagian Dua].

[Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]