Malaysia bukan sebuah “negara islam” tetapi sebuah negara yang secara Perlembagaan meletakkan islam sebagai agama Persekutuan. Namun pada masa sama, Perlembagaan menjamin kebebasan beragama kepada para penganut Bukan Islam.
Secara lebih khusus, Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa islam, manakala Perkara 11 (1) menjamin hak setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, tertakluk kepada sekatan tertentu, khususnya larangan penyebaran agama lain kepada orang islam.
Struktur undang-undang di Malaysia memang bersifat dualistik iaitu wujud sistem sivil dan syariah yang beroperasi secara selari. Dalam konteks pertukaran agama, khususnya keluar daripada islam, bidang kuasa mahkamah syariah menjadi dominan, dan permohonan murtad lazimnya sukar diluluskan.
Situasi ini menjadikan isu masuk islam dan keluar islam bukan sekadar persoalan spiritual, sebaliknya juga persoalan undang-undang, identiti, dan struktur sosial yang kompleks tetapi wajar diketahui umat Bukan Islam.
Dalam catatan ini, saya membincangkan secara khusus situasi umat Bukan Islam masuk islam, dan kemudian berusaha untuk kembali kepada agama asal. Paparan ini ditujukan khusus kepada komuniti Bukan Islam agar mereka memahami realiti sebelum terlewat.
Bak kata pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna; ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
Dalam realiti masyarakat majmuk di Malaysia, terdapat pelbagai sebab yang mendorong umat Bukan Islam mengambil keputusan memeluk agama islam. Tentulah maklumat yang dikongsikan di sini berdasarkan perbualan dan pergaulan saya secara peribadi dengan kelompok terbabit.
Rujukan silang juga dilakukan dengan dokumen, data, dan fakta sahih bagi memastikan ketepatan maklumat yang didokumentasi di sini. (Saya bukan Raja Rajeswari Seetha Raman yang mampu mewawancara 60 individu yang tidak wujud.)
Sebagaimana dapat dibayangkan, faktor perkahwinan merupakan sebab paling dominan individu Bukan Islam meninggalkan agama asal. Undang-undang Malaysia mensyaratkan bahawa seseorang individu Bukan Islam wajib memeluk islam jika ingin berkahwin dengan seorang muslim.
Situasi ini menjadikan perkahwinan sebagai pintu masuk utama kepada islam, sama ada secara sukarela atau atas tujuan pragmatik kerana akur pada undang-undang demi cinta. [Bandingkan dengan “Agama Baru di Pulau Cinta”]
Ada pula individu yang ditemui memberikan alasan pencarian spiritual dan makna hidup. Sebahagian individu memberitahu saya bahawa mereka pada mulanya tertarik kepada ajaran tauhid, konsep keadilan sosial, serta disiplin ibadah dalam islam. Pada masa sama, mereka kurang didikan dan pengetahuan agama asal.
Faktor sosial dan persekitaran juga menjadi daya penarik yang membuatkan beberapa individu yang saya kenali memilih islam. Sebagaimana diketahui umum, dalam konteks Malaysia, majoriti penduduk adalah muslim—tanpa perlu diperincikan tahap pemahaman, amalan, dan penghayatan sebenar dalam kehidupan seharian.
Tidak dapat dinafikan mungkin terdapat tekanan sosial secara halus atau pengaruh rakan sebaya yang mendorong individu Bukan Islam memilih untuk cuba menyesuaikan diri sehingga akhirnya mengambil keputusan meninggalkan agama asal. Misalnya, jika tinggal di asrama (pelajar/pekerja) yang dihuni 99 peratus orang islam.
Satu lagi faktor penting yang mungkin tidak diperkatakan atau diakui secara terbuka ialah faktor ekonomi dan kebajikan. Dalam beberapa kes, individu daripada komuniti minoriti terpinggir seperti Orang Asli dilaporkan memeluk Islam akibat tekanan atau janji bantuan kebendaan. Sebagai contoh, 137 individu daripada suku Bateq Mayah mendakwa mereka dipaksa memeluk islam pada tahun 1993 dengan ancaman kehilangan rumah dan sumber ekonomi jika membantah.
Ada pula kes di mana individu yang meniggalkan agama Hindu memberitahu saya bahawa institusi agama Hindu, politikus kaum India, serta kuil Hindu tidak memberi bantuan sewaktu amat diperlukan. Institusi agama islam melalui jaringan yang meluas pula tampil membantu dengan syarat individu terbabit sedia memeluk islam untuk layak menerima bantuan zakat.
Tentu sahaja gerakan institusi agama dan dakwah terancang juga antara usaha terang-terangan yang dilakukan pihak terbabit di negara ini. Program dakwah, bantuan zakat, dan sokongan institusi agama ternyata memainkan peranan dalam menarik minat orang Bukan Islam untuk memeluk islam, walaupun keberkesanannya bergantung kepada keikhlasan dan kefahaman individu yang meninggalkan agama asal.
Namun demikian, realiti fenomena mualaf yang ingin keluar daripada islam atau murtad juga tidak boleh dinafikan. Lima sebab utama dapat dikenal pasti berdasarkan dokumen dan kajian akademik yang dijadikan rujukan dalam penulisan esei ini.
Pertama, kegagalan dalam perkahwinan campur. Ramai mualaf memeluk islam kerana perkahwinan tetapi apabila perkahwinan tersebut gagal, mereka kehilangan asas utama yang mengikat mereka kepada islam. Kes Wong Chun Chiak @ Kenny Abdullah boleh dirujuk untuk memahami bagaimana seorang mualaf memohon keluar islam untuk kembali kepada agama asal dan berkahwin dengan wanita Bukan Islam. Malah, dia mengaku “tidak pernah mengamalkan ajaran dan suruhan agama islam atau patuh kepada hukum-hukum syarak”.
Kedua, ketiadaan bimbingan agama selepas memeluk islam. Ramai mualaf tidak mendapat pendidikan agama yang mencukupi, lalu menyebabkan mereka gagal menghayati ajaran islam secara mendalam. Hal ini diakui beberapa individu yang ditemui sebagai faktor utama dalam permohonan murtad. Mereka masuk islam dulu bukan kerana agama tetapi cinta semata-mata atau untuk menikmati peluang khas yang disediakan khusus untuk orang islam.
Ketiga, tekanan sosial dan stigma. Mualaf sering terputus hubungan dengan keluarga asal tetapi pada masa sama tidak sepenuhnya diterima oleh komuniti muslim. Keadaan ini mewujudkan kekosongan identiti dan jati diri, ditambah pula dengan realiti tidak sepenuhnya mendalami apatah lagi mengamalkan islam dalam hidup.
Keempat, faktor ekonomi dan ketidakstabilan hidup. Satu kertas kerja hasil kajian yang sempat dibaca menunjukkan bagaimana kemiskinan dan ketiadaan sokongan sosial menjadi punca penting murtad. Bak kata orang, indah khabar dari rupa. Apabila sudah meninggalkan agama asal, barulah individu terbabit sedar bahawa sokongan dalam bentuk kewangan (material) dan bimbingan (spiritual) hanya bersifat sementara.
Kelima, konflik undang-undang dan identiti, khususnya dalam kes melibatkan anak-anak dan keluarga. Contoh kes yang terkenal ialah kes Indira Gandhi di mana pertukaran agama anak-anak secara unilateral oleh suami mualaf mencetuskan konflik undang-undang yang berpanjangan.
Selain itu, terdapat juga kes individu yang mendakwa dipaksa memeluk islam semasa kecil dan kemudian berusaha membatalkan status tersebut melalui mahkamah selepas berumur 18 tahun. Kes-kes ini menunjukkan bahawa isu murtad bukan semata-mata soal keimanan tetapi juga berkait rapat dengan struktur undang-undang dan hak asasi.
Bagi mengelakkan situasi masuk islam dan kemudian “berperang” untuk murtad, beberapa langkah praktikal perlu diambil secara sistematik. Hal-hal yang akan dihuraikan di sini bukan berniat menghalang usaha dakwah mana-mana pihak, sebaliknya panduan umum kepada umat Bukan Islam kerana mereka berhak membuat informed decision iaitu keputusan selepas mendapat maklumat lengkap dan tepat secara rasional dan menyeluruh. … (bersambung pada 17 Mei 2026)
