10 Nov 2026

Di Sebalik Misi Membunuh Krishna: Seni Makna Berlapis



Cerpen “Misi Membunuh Krishna di Kurukshetra” dalam buku Siapa Bunuh Veer Singh? (2026) memperlihatkan bagaimana sebuah cerita fiksyen sains dapat berfungsi sebagai wahana perbahasan tentang agama, ideologi, kuasa, dan kebebasan berfikir.

Pada lapis permukaan (tersurat), pembaca berhadapan dengan seorang pengembara masa yang dihantar ke medan perang Kurukshetra untuk melaksanakan suatu misi pembunuhan.

Namun, di sebalik premis yang kelihatan seperti sebuah kisah pengembaraan futuristik, tersimpan lapisan persoalan yang jauh lebih luas: Siapakah yang menentukan kebenaran, bagaimana manusia dilatih untuk membenci, dan apakah yang berlaku apabila seseorang mula berfikir di luar kerangka ideologi yang menguasai dirinya?

Keistimewaan cerpen ini terletak pada keupayaan pengarang membina cerita yang boleh dinikmati tanpa memerlukan pembaca menguasai teori kritikan sastera, namun pada masa sama mampu membuka ruang untuk pentafsiran yang lebih mendalam.

Cerita pada lapisan pertama (tersurat) tetap berfungsi sebagai cerita. Lapisan berikutnya (tersirat) pula mengundang pembaca meneliti perkara yang tidak semestinya dinyatakan secara langsung.

Dalam The Art of Fiction (1983), John Gardner menekankan kepentingan “ilusi fiksyen” (fictional dream) iaitu keupayaan pengarang membawa pembaca memasuki dunia rekaan sehingga pengalaman watak dan peristiwa terasa meyakinkan.

Pengarang “Misi Membunuh Krishna di Kurukshetra” memanfaatkan pendekatan ini dengan menggabungkan peperangan purba dalam epik Mahabharata dengan teknologi masa depan, termasuk anomali masa, algoritma, dan sistem persenjataan.

Pertembungan dua zaman atau era bukan sekadar menghasilkan kelainan imaginatif. Malah, ia membolehkan persoalan lama tentang manusia dan kuasa dibicarakan melalui bahasa teknologi yang lebih dekat dengan dunia moden.



Dua Zaman, Satu Persoalan Ideologi

Pada lapisan tersurat, watak utama datang dari masa depan dengan kepercayaan bahawa sejarah boleh diubah melalui penghapusan seorang tokoh tertentu. Dia dilatih untuk melihat Mahabharata sebagai ancaman ideologi dan Bhagavad Gita sebagai alat penyebaran agama.

Cara fikir ini memperlihatkan bagaimana sesuatu tradisi intelektual atau keagamaan boleh ditafsirkan secara sempit apabila seseorang hanya dibenarkan menerima penjelasan yang disediakan oleh kumpulan atau kultusnya.

Di sinilah lapisan tersirat mula terbentuk. Pengarang tidak perlu menyampaikan syarahan panjang tentang indoktrinasi. Sebaliknya, pengarang hanya menunjukkan bagaimana seorang individu dilatih supaya tidak berfikir, tidak mempersoalkan arahan, dan menganggap pemusnahan pihak yang berbeza sebagai suatu kewajipan.

Persoalan yang timbul bukan lagi sekadar sama ada misi pembunuhan itu akan berjaya. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana manusia boleh diyakinkan bahawa keganasan (terrorism) merupakan jalan menuju keamanan.

Nama kumpulan “Pejuang Kultus Keamanan” sendiri mengandungi pertentangan semantik yang ketara. Perkataan “keamanan” membawa konotasi keharmonian, sedangkan “pejuang” dalam konteks organisasi tersebut dikaitkan dengan rancangan pemusnahan.

Percanggahan yang disengajakan ini menghasilkan ironi: Bahasa yang kelihatan mulia boleh digunakan untuk memberikan legitimasi kepada tindakan yang bertentangan dengan makna bahasa itu sendiri.

Dalam A Rhetoric of Irony (1974), Wayne C. Booth menjelaskan bahawa ironi melibatkan hubungan antara makna yang kelihatan dengan makna yang perlu dibina semula oleh pembaca.

Maknanya, pembaca tidak sekadar menerima perkataan pada permukaan; mereka perlu mengenal pasti percanggahan yang menjadikan sesuatu kenyataan lebih bermakna daripada pengertian literal. Dalam cerpen ini, nama organisasi tersebut berfungsi sebagai pintu masuk kepada persoalan tentang propaganda, pembenaran moral, dan penyalahgunaan bahasa.

Watak Sebagai Produk Sistem Pemikiran

Satu lagi teknik yang berkesan ialah penggunaan sudut pandangan orang pertama (“Aku”). Pembaca mengikuti peristiwa melalui kesedaran seorang watak yang pada awalnya menganggap dirinya pelaksana tugas, bukannya individu yang perlu membuat pertimbangan moral. Dunia diterangkan melalui bahasa sasaran, statistik, arahan, dan pengiraan keberkesanan.

Pilihan naratif ini penting kerana pembaca tidak diberikan seorang pengkritik yang berdiri di luar sistem untuk menjelaskan segala keburukan yang wujud. Sebaliknya, pembaca memasuki sistem tersebut melalui fikiran orang (watak “Aku”) yang telah dibentuk olehnya.



Dalam The Rhetoric of Fiction (1961), Wayne C. Booth membincangkan hubungan antara pengarang, pencerita, dan pembaca, termasuk persoalan tentang jarak antara suara yang menyampaikan cerita dengan nilai yang mungkin terkandung dalam keseluruhan karya.

Oleh itu, kata-kata watak utama (“Aku”)  tidak semestinya mewakili pendirian pengarang. Malah, keyakinan awal watak itu boleh dibaca secara ironis apabila pembaca menyedari percanggahan antara cara dia berfikir dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya.

Teknik ini membolehkan kritikan terhadap pemikiran ekstremis berlangsung tanpa pengarang perlu mengisytiharkan secara langsung bahawa watak tersebut bersalah.

Pembaca sendiri berpeluang mengenal pasti bagaimana bahasa yang bersifat teknikal dan objektif boleh menyembunyikan kegagalan moral. Misalnya, apabila manusia diturunkan taraf menjadi sekadar angka korban atau sasaran operasi, persoalan tentang nilai kehidupan dan nilai kemanusiaan mudah diketepikan.

Kitab, Kuasa, dan Penguasaan Tafsiran

Lapisan yang lebih sensitif muncul melalui pertentangan antara ajaran Krishna dengan doktrin kumpulan yang dianggotai watak utama. Cerpen ini menggunakan beberapa gagasan daripada Bhagavad Gita, termasuk tindakan tanpa keterikatan terhadap hasil, konsep karma, dharma, dan gambaran kosmik Krishna.

Gagasan tersebut bukan sekadar unsur keagamaan yang menghiasi latar cerita. Semuanya berperanan mengganggu kerangka pemikiran watak “Aku” yang selama ini menerima ajaran kultusnya sebagai kebenaran mutlak.

Perhatian perlu diberikan kepada perbezaan antara ajaran yang sedang didengari di medan perang Kurukshetra dengan tafsiran yang telah ditanam oleh kultuss dalam fikiran watak “Aku”. Kedua-duanya tidak semestinya sama.

Watak “Aku” pada mulanya mengenali ajaran Hinduisme sebagai maklumat dalam arkib sejarah. Namun, apabila berhadapan dengan sumber ajaran dalam dunia cerita, pengetahuan yang selama ini bersifat abstrak mula menimbulkan persoalan yang tidak dapat diselesaikan melalui arahan semata-mata.

Di sini, cerpen “Misi Membunuh Krishna di Kurukshetra” mengemukakan persoalan tentang monopoli tafsiran. Siapakah yang berhak menentukan makna sesuatu kitab?



Adakah seseorang benar-benar memahami teks apabila dia hanya menghafaz penjelasan yang diberikan oleh pemimpin kumpulan atau kultusnya? Bolehkah sesuatu ajaran dinilai secara adil apabila pembacanya terlebih dahulu dilatih untuk membencinya?

Persoalan ini mempunyai kepentingan yang melampaui konteks agama Hindu. Namun, pembacaan yang cermat tidak seharusnya menyamakan semua tradisi agama atau membuat kesimpulan bahawa setiap kelompok atau kultus mempunyai sifat yang sama. Sasaran analisis yang lebih tepat ialah mekanisme pemikiran yang menuntut kepatuhan mutlak, mengawal tafsiran, dan menganggap pertanyaan sebagai ancaman.

Alegori dan Ruang Pentafsiran

M. H. Abrams dan Geoffrey Galt Harpham dalam A Glossary of Literary Terms (1957), menghuraikan “alegori” sebagai bentuk representasi yang membolehkan watak, tindakan, atau peristiwa membawa makna selain makna literal. Berdasarkan kerangka ini, misi dalam cerpen ini boleh dibaca sebagai gambaran perjuangan untuk menghapuskan sesuatu gagasan dengan memusnahkan sumber yang dianggap melahirkannya.

Pada tahap literal, watak utama (“Aku”) berusaha mengubah sejarah melalui tindakan fizikal. Pada tahap alegori, usaha itu menimbulkan persoalan sama ada kepercayaan, tradisi pemikiran, atau warisan intelektual boleh dihapuskan hanya melalui keganasan. Perbezaan antara kedua-dua lapisan inilah yang memberikan cerpen ini daya tafsir yang lebih mendalam.

Unsur perjalanan masa (time travel) turut memperluas kemungkinan pembacaan. Masa depan menghantar seorang manusia (“Aku”) untuk mengubah masa lampau, tetapi manusia itu sendiri membawa prasangka yang dibentuk oleh sejarah masa depann.

Dengan demikian, masa depan tidak semestinya lambang kemajuan moral. Teknologi boleh menjadi semakin canggih sedangkan pemikiran manusia kekal terperangkap dalam kebencian lama.

Cerpen “Misi Membunuh Krishna di Kurukshetra” juga memperlihatkan bagaimana simbol keagamaan boleh diletakkan dalam hubungan yang tidak dijangka dengan bahasa teknologi. Algoritma yang kononnya rasional berhadapan dengan pengalaman yang tidak dapat diterangkannya.

Pertentangan tersebut tidak semestinya membuktikan bahawa teknologi dan agama tidak boleh berdampingan. Sebaliknya, ia mencabar anggapan bahawa segala persoalan tentang kewujudan, nilai, dan kesedaran dapat diselesaikan melalui pengiraan semata-mata.



Pembaca Sebagai Penafsir Aktif

Kekuatan makna berlapis bergantung pada pembaca yang sanggup bergerak daripada pengertian literal (tersurat) kepada kemungkinan makna lain (tersirat).

James Phelan dalam Reading People, Reading Plots (1989) menekankan kepentingan perkembangan watak dan plot dalam pembentukan tafsiran naratif. Perubahan dalam cara pembaca memahami sesuatu watak boleh berlaku apabila maklumat baharu mengubah penilaian terhadap motivasi dan tindakan watak berkenaan.

Prinsip ini amat relevan di sini kerana pembaca perlu menilai semula watak utama (“Aku”) berdasarkan pertentangan antara doktrin yang diterimanya dalam kultus dengan pengalaman yang dihadapinya di medan perang.

Pengarang tidak perlu mendedahkan semua kemungkinan makna melalui penerangan langsung. Sebaliknya, susunan adegan, pilihan istilah, dan perubahan nada pemikiran dalam cerita sudah menyediakan bahan untuk pembaca membina tafsiran sendiri.

Walau bagaimanapun, makna berlapis tidak bermaksud setiap tafsiran semestinya tepat atau bahawa sesebuah karya kebal daripada kritikan. Tafsiran tetap perlu disokong oleh bukti tekstual. Kebijaksanaan pembaca bukan terletak pada kebolehan mereka-reka makna yang tidak terbatas, sebaliknya pada keupayaan menghubungkan petunjuk dalam teks dengan konteks dan struktur cerita secara munasabah.

Cerita yang Melampaui Cerita

Cerpen “Misi Membunuh Krishna di Kurukshetra” menunjukkan bagaimana fiksyen sains, alegori, dan ironi boleh digabungkan untuk membincangkan persoalan agama, ideologi, dan kebebasan manusia tanpa menjadikan cerpen sebagai esei yang disamarkan.

Cerita pada lapisan pertama kekal menarik melalui misi berbahaya dan latar epik, sementara lapisan-lapisan berikutnya mengundang pembaca meneliti hubungan antara kepercayaan, kepatuhan, dan tanggungjawab moral.

Kekuatan pengarang bukan kerana mampu menghasilkan makna tersirat yang mustahil dipersoalkan, sebaliknya kerana berjaya membina ruang tafsiran yang tidak habis diterokai melalui satu kali pembacaan.

Pembaca yang sekadar mengikuti peristiwa akan memperoleh sebuah kisah pengembaraan merentas masa. Pembaca yang meneliti ironi, simbol, sudut pandangan, dan pertentangan ideologi pula akan menemukan persoalan tentang manusia yang sanggup melakukan keganasan atas nama kebenaran.



Cerpen ini juga mengingatkan kita bahawa ancaman terhadap pemikiran tidak semestinya datang dalam bentuk larangan yang terang-terangan. Kadangkala, ancaman hadir sebagai arahan yang tidak boleh dipersoalkan, kebenaran yang tidak boleh ditafsir semula, dan keamanan yang menuntut pemusnahan pihak lain.

Di sinilah makna tersirat cerpen ini memperoleh kekuatannya; bukan dengan memaksa pembaca menerima satu kesimpulan, sebaliknya dengan mendorong pembaca mempersoalkan cara sesuatu kesimpulan dibentuk dan dipaksakan.

(Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!