Lelaki
pertama menyedari sesuatu tidak kena apabila namanya hilang dahulu sebelum
wajah berubah. Pada mulanya, hanya huruf-huruf yang tanggal dari lidah seperti
daun kering gugur pada musim kemarau.
Kemudian,
kulitnya mengeras menjadi kelabu keperangan. Hidung memanjang. Bumi
mengeluarkan bunyi seperti tanah gersang sedang rakus mengunyah hujan.
Dalam tempoh
yang mustahil diukur, dia terjaga di tengah lumpur yang berkilau kehijauan. Lumpur
itu berbau najis, besi berkarat, bunga melur yang sudah kering, dan sesuatu
yang mengingatkannya kepada dakwat lama.
Apabila dia
cuba berdiri, empat kaki menyentuh permukaan lembut. Tubuhnya bukan lagi tubuh
manusia! Tubuh itu berat, bulat, dan dipenuhi bulu halus yang memerangkap embun
hitam.
“Ini mimpi,
bukan?”
Suara yang
keluar hanya dengusan. Namun, anehnya, semua dengusan itu dapat difahami.
Seekor lagi
makhluk sedang memandang dari seberang lopak. Babi itu memiliki sepasang mata
yang terlalu menyerupai deria penglihatan manusia. Di belakang badan, tumbuh
helaian manuskrip yang berkibar seperti sayap kupu-kupu. Setiap kali angin
bertiup, perkataan-perkataan terlerai dari helaian itu, lalu bertukar menjadi
lalat putih.
“Kau pun baru
tiba?” tanya babi bersayap manuskrip.
Lelaki
pertama mengangguk.
Seekor demi
seekor muncul dari dalam kabus. Ada yang bertubuh besar dengan tanduk diperbuat
daripada buluh muzik. Ada yang mempunyai ekor sepanjang akar pokok beringin.
Seekor lagi memiliki kulit dipenuhi huruf-huruf Sanskrit yang bergerak seperti
semut.
Kesemuanya
sepuluh ekor makhluk manusia berekor pendek.
Di atas pintu
pagar besi yang condong, terdapat papan kayu reput tertulis “Ladang Biologi
Kuantum 7” dan di bawahnya pula “Program Pelupusan Spesis Gagal”.
Tiada sesiapa
dalam kalangan sepuluh makhluk itu tahu bagaimana mereka sampai ke situ.
Matahari
tidak bergerak. Langit pula dipenuhi awan berbentuk telinga. Dari kejauhan
kedengaran bunyi loceng seolah-olah bergema dari dalam tanah. Seekor merak jantan
berkepala ikan melintas tanpa mengepakkan sayap.
“Nama aku
dahulu ...,” kata seekor babi yang bertubuh tinggi.
Dia berhenti.
Aneh. Namanya sudah tidak dapat diingat. Apa yang tinggal hanyalah kenangan
bahawa pada suatu ketika dahulu, dia pernah berdiri di hadapan ribuan orang.
Mereka menghentak kaki dan menepuk tangan. Mereka memanggilnya “guru”. Mereka
meminta tandatangan pada buku-buku.
Kini, dia
tiada nama. Hanya tinggal bau.
Seekor lagi
babi ketawa kecil.
“Di dunia
ini, nama tidak penting. Yang tinggal cuma bau ingatan.”
Mereka mula saling
berpandangan. Babi bersayap manuskrip sentiasa membetulkan helaian yang tumbuh
di belakang badan. Babi bertanduk buluh muzik mengetuk tanah mengikut rentak
yang hanya dia dengar.
Seekor lagi babi
berjalan sambil mengangkat kepala tinggi; seolah-olah masih berada di pentas
dan dipuji. Seekor babi tua tidak berhenti melafazkan petikan dari sebuah kitab
agama, namun pada setiap kali diucapkan, petikan itu berubah menjadi pasir.
Seekor lagi
asyik mengelilingi lopak air, memeriksa bayang sendiri. Namun, anehnya, tiada
seekor pun babi mempunyai bayang. Langit tidak menghasilkan bayang. Masa tidak
menghasilkan bayang.
Tiba-tiba,
tanah bergetar. Dari dalam lumpur, muncul puluhan bunga teratai hitam. Kelopak
terbuka perlahan. Di tengah setiap bunga terdapat sebiji mata. Mata-mata itu
memandang kesemua sepuluh manusia-babi tanpa berkelip.
“Mahkamah
sudah mula bersidang,” bisik babi paling tua.
“Mahkamah apa?
Mahkamah siapa?”
“Mahkamah
yang tidak memerlukan hakim lantikan perdana menteri.”
Angin gila membawa
bau kunyit, daun kari, dan asap kemenyan. Di kaki langit, muncul sebuah kuil
yang terapung terbalik. Tangga menuju kuil menjulur ke bawah seperti akar pohon
ara.
Tidak seorang
pun manusia-babi berani bergerak. Kemudian, kedengaran suara perempuan. Bukan
satu. Bukan sepuluh. Puluhan. Mungkin ratusan. Mungkin lebih. Suara-suara itu
tidak datang dari udara tetapi dari dalam tulang puak manusia-babi sendiri.
“Kamu masih ingat
suara kami?”
Kesemua babi
menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada sesiapa kelihatan. Hanya suara.
[Petikan
cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda
meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!