20 Oct 2026

Prashamsaneeji: Antara Penipu, Mitos, dan Kuasa Kultus



Maharishi Prashamsaneeji antara watak paling menarik dalam dunia fiksyen Uthaya Sankar SB kerana watak itu tidak perlu sentiasa hadir secara fizikal untuk terus berkuasa.

Tubuhnya sudah tiada tetapi namanya hidup dalam biografi, amanat, upacara, batu keramat, pesta, ceramah, dan ingatan para pengikut kultus yang diasaskannya.

Di sinilah paradoks watak ini bermula: Adakah Prashamsaneeji benar-benar seorang guru spiritual yang luar biasa atau seorang manusia biasa yang berjaya meyakinkan manusia lain bahawa dirinya luar biasa?

Dalam cerpen “Guruji dari Jaisalmer”, Prashamsaneeji dilaporkan lahir pada tahun 1870 di Jaisalmer, Rajasthan, India. Dia membesar dalam lingkungan masyarakat beragama Hindu dan Jain, sebelum mengasaskan ajaran baharu pada 1910 ketika berusia 40 tahun.

Dia dikatakan datang ke Malaya pada 1930 dan meninggal dunia pada 1932. Namun, sejarah hidupnya sendiri sudah penuh dengan percanggahan. Ada versi mengatakan dia diracun seorang wanita pengikut Jain; teks yang dikumpulkan pengikut di Malaysia pada 1982 pula menyatakan dia meninggal kerana demam panas dan sakit kepala.

Kemudian, bahan dari India yang dikumpulkan pada 1992 dikatakan telah disunting, ditokok tambah, dan diubah suai. Maka, sebelum pembaca sempat bertanya sama ada Prashamsaneeji seorang guru sejati, teks sudah terlebih dahulu mempersoalkan kesahihan sejarah tentang dirinya.

Di sinilah kemungkinan paling sinis boleh dikemukakan: Prashamsaneeji mungkin seorang penipu yang sangat berjaya. Tentulah ini bukan kesimpulan muktamad tentang watak itu, sebaliknya kemungkinan yang sengaja dibuka oleh dunia fiksyen ciptaan pengarang.

Max Weber dalam Economy and Society (1921) menjelaskan bahawa kuasa karismatik bergantung bukan semata-mata pada sifat luar biasa seseorang, sebaliknya pada pengiktirafan para pengikut terhadap sifat luar biasa itu. Dengan kata lain, karisma tidak perlu dibuktikan secara objektif; cukup apabila manusia percaya bahawa seseorang mempunyai kuasa istimewa.



Dengan demikian, Prashamsaneeji tidak perlu benar-benar memiliki kesaktian atau mukjizat. Dia hanya perlu mempunyai pengikut yang percaya secara membabi buta. Jika dakwaan tentangnya diulang cukup lama, disalin dalam buku, diajarkan kepada generasi baharu, dan dirayakan melalui upacara, dakwaan itu akhirnya akan berubah menjadi “sejarah”.

Inilah bahagian paling pedas dalam kritik halus oleh pengarang: Manusia bukan sahaja boleh ditipu oleh pembohong, malah manusia sendiri boleh membantu menghasilkan bukti palsu untuk mempertahankan penipuan itu.

Deborah A. Swallow dalam kajian bertajuk “Ashes and Powers: Myth, Rite and Miracle in an Indian God-Man’s Cult” (Modern Asian Studies, 1982) menunjukkan bagaimana kultus guru di India boleh berkembang melalui kepercayaan terhadap kuasa ajaib, unsur pemujaan, dan penglibatan pengikut daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Watak Prashamsaneeji boleh dibaca dalam kerangka yang sama, malah pengarang berjaya memperluaskannya sehingga tidak lagi sekadar menjadi masalah “agama Hindu” semata-mata. Mekanisme yang diketengahkan bersifat manusiawi dan sejagat.

Hakikat ini semakin jelas dalam fiksyen “Penyembah (Berhala) Batu Hitam”. Batu itu dikatakan memiliki kuasa tertentu kerana Prashamsaneeji pernah menyembah dan menciumnya. Watak Guruji sendiri mengakui batu itu mungkin batu biasa, tetapi kesetiaan kepada Prashamsaneeji menyebabkan batu tersebut dianggap luar biasa kerana segala perbuatan maharishi itu menjadi adat dan peraturan dalam kultus.

Logik yang diketengahkan adalah terbalik: Bukti tidak menghasilkan kepercayaan; sebaliknya kepercayaan menghasilkan “bukti”. Apabila watak Kavin Raj mempersoalkan perkara itu, rasionaliti moden segera bertembung dengan mitos yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Robert Jay Lifton melalui Thought Reform and the Psychology of Totalism (1961) memperincikan bagaimana kawalan ideologi boleh membentuk realiti tertutup (closed reality) sehingga pemikiran kritis menjadi ancaman.

Margaret Thaler Singer dan Janja Lalich pula dalam Cults in Our Midst (1995) menekankan pengaruh unsur paksaan, kawalan tingkah laku, pengasingan, dan serangan terhadap identiti individu.

Dunia Prashamsaneeji memperlihatkan versi fiksyen kepada mekanisme yang sama di mana pengikut bukan sekadar mempercayai guru; malah mereka belajar bagaimana untuk terus percaya tanpa berfikir atau bertanya soalan.



Cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” menjadikan perkara itu lebih mengerikan. Sebelas amanat yang menggalakkan intimidasi, penghapusan pihak yang tidak setuju, penolakan ajaran lain, dan mentaliti “kita melawan mereka” memperlihatkan bagaimana bahasa kerohanian boleh berubah menjadi bahasa kuasa. (Rujuk: Amanat Kultus yang Mengancam Negara)

Namun, Uthaya sengaja tidak mengehadkan kritikan kepada satu agama atau kaum. Prashamsaneeji menjadi topeng sastera untuk membicarakan semua manusia yang menyerahkan akal kepada autoriti. (Baca juga: Membongkar Amanat Prashamsaneeji)

Lebih menarik ialah persoalan tentang apa yang berlaku selepas Prashamsaneeji meninggal dunia. Kematian sepatutnya mengakhiri kuasa seorang manusia. Sebaliknya, dalam dunia kultus, kematian boleh menjadi permulaan kuasa yang lebih besar.

Niklas K. Steffens, Kim Peters, S. Alexander Haslam, dan Rolf van Dick menerusi kajian “Dying for Charisma: Leaders’ Inspirational Appeal Increases Post-Mortem” dalam The Leadership Quarterly (Ogos 2017) mendapati persepsi terhadap karisma pemimpin boleh meningkat selepas kematian. Pemimpin yang sudah tidak boleh bercakap, menjawab, atau menyangkal sebenarnya menjadi lebih mudah untuk dipuja kerana orang hidup boleh bercakap bagi pihaknya.

Itulah kemungkinan paling tajam terhadap Prashamsaneeji. Selepas dia mati, pengikut mula mencipta Prashamsaneeji yang baharu. Setiap percanggahan cuba diperbetulkan. Setiap kegagalan mula ditafsirkan sebagai misteri. Setiap ucapan kini dianggap kata-kata suci. Setiap benda yang pernah disentuhnya diangkat menjadi objek relik (relic). Setiap kisah lisan menjadi mukjizat (miracle) yang wajib dipercayai.

Setiap generasi pula ada kepentingan untuk menambahkan lapisan baharu kepada mitos tersebut. Dan mitos itu tidak semestinya dicipta kerana pengikut semuanya bodoh. Kadangkala mitos dicipta kerana kultus memerlukan mitos untuk terus hidup. (Baca juga: The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy)

Dan Lainer-Vos dan Paolo Parigi dalam “Miracle Making and the Preservation of Charisma” dalam jurnal Social Science History (Jun 2015) menunjukkan bahawa karisma tidak semestinya lenyap bersama kematian pemimpin; sebaliknya ia boleh dipelihara melalui jaringan pengikut, institusi, dan proses yang mengabadikan reputasi pemimpin.



David V. Barrett pula dalam The Fragmentation of a Sect (2013) menunjukkan bahawa kematian pengasas (kultus, ajaran, mazhab, agama) sering mencetuskan persoalan pewarisan, perubahan doktrin, perpecahan, atau penyesuaian gerakan. Maka, mitos tentang Prashamsaneeji bukan sekadar nostalgia. Ia menjadi modal politik, sosial, dan ekonomi bagi pihak yang mengambil alih kultus.

Di sinilah dunia fiksyen ciptaan Uthaya menjadi kritikan yang lebih luas daripada sekadar kritikan terhadap seorang guru palsu. Prashamsaneeji mungkin penipu tetapi pengikutlah yang menjadikan penipuan itu abadi. Pengasas mencipta kultus; pengikut mencipta mitologi; generasi berikutnya mencipta sejarah.

Uthaya tidak pula—malah tidak perlu—berkata manusia mudah ditipu. Pengarang hanya memperlihatkan dan mendedahkan persona seorang Prashamsaneeji, seketul batu yang dianggap suci kerana pernah disentuhnya, sebuah buku yang kononnya merekodkan ajarannya, beberapa amanat yang diwariskan, dan manusia yang masih tunduk kepada seorang yang telah lama mati.

Sindiran itu akhirnya kembali sebagai pertanyaan kepada pembaca: Berapa banyak “Prashamsaneeji” dalam dunia nyata sebenarnya hidup kerana kebenaran (truth, dharma), dan berapa banyak yang terus hidup semata-mata kerana manusia (pengikut)  terlalu takut untuk bertanya?

[Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Semak stok buku Uthaya di sini.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!