“Kenapa awak buat begitu, Alli?”
Suara itu datang dari belakang dengan nada penuh kemarahan dan kekecewaan. Allirajan berpaling dan memandang wajah Guruji yang tenang tetapi matanya yang tajam mengisyaratkan sesuatu yang lebih dalam; sesuatu yang mengancam.
“Saya hanya memetik daripada kitab rasmi, Guruji,” jawab Allirajan perlahan, suaranya bergetar tetapi dia tetap berusaha supaya tidak kelihatan takut. “Saya hanya menyebut apa yang ada dalam biografi itu.”
Guruji menyeringai. Matanya menyala dengan api marah yang tersembunyi.
“Mengapa awak menggatal dan memilih untuk memetik kata-kata itu untuk dipaparkan di media sosial? Bukankah awak sekarang sudah dianggap menghina kultus ini dan pengasasnya yang maha mulia?”
Allirajan menggigit bibir dalam usaha menenangkan jiwa. Dia berfikir kemungkinan tindakannya boleh – malah telah – memulakan butterfly effect iaitu prinsip dalam teori huru-hara (chaos theory) di mana tindakan kecil boleh membawa kepada akibat yang sangat besar.
Enam bulan lalu,
Allirajan baru sahaja menyertai kelas agama kendalian Guruji yang terkenal di sekitar
Taiping, Perak. Sepertimana rata-rata
pengikut lain, dia datang dengan penuh harapan dan keyakinan. Selepas beberapa
kali gagal dalam percintaan di universiti, Allirajan berharap kelas meditasi
mampu membantu memberi ketenangan jiwa dan spiritual.
Guruji menyebarkan mesej kedamaian, kesucian, dan penyucian jiwa berdasarkan ajaran sebuah kultus yang diasaskan oleh Prashamsaneeji (1870-1932). Kultus itu memimpin para pengikut ke jalan sehala menuju svarga.
Allirajan terasa amat gembira kerana akhirnya berpeluang memiliki sebuah teks yang boleh dijadikan panduan hidup komprehensif. Memanglah pemuda berumur 26 tahun itu mendapati ramai pengikut kultus sekadar menyimpan biografi itu sebagai objek untuk dicium dan disembah.
Dia pula rajin membaca biografi berkenaan pada setiap malam. Allirajan membaca satu halaman sehari dengan penuh khusyuk. Dia gembira kerana akhirnya menemui jalan hidup yang paling benar dan tepat.
Allirajan mula yakin bahawa tidak ada mana-mana agama, ajaran, atau kultus dalam Hinduisme yang lebih mulia berbanding kultus yang diasaskan oleh Prashamsaneeji dari Jaisalmer, Rajasthan.
Namun begitu, semakin lama dia berada dalam kultus itu, semakin dia merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Guruji sering berbicara tentang kebijaksanaan dan kedamaian. Tetapi di sebalik segala ajaran itu, terdapat beberapa tingkah laku yang aneh dan menimbulkan tanda tanya—malah sedikit kecurigaan.
Dengan jiwa yang tenang, Allirajan memutuskan untuk mendalami biografi Prashamsaneeji kerana itulah kitab yang sepatutnya menjadi rujukan muktamad. Guruji sebagai manusia biasa mungkin terkhilaf atau tersalah tafsir ajaran Prashamsaneeji, tetapi buku The Life of Prashamsaneeji adalah rujukan paling tepat dan muktamad.
“Gunakan apa-apa senjata berbahaya untuk menakutkan sesiapa yang tidak mahu menyertai kultus ini.”
Allirajan tersentak membaca petikan kata-kata daripada salah satu ceramah Prashamsaneeji dalam buku berkenaan. Dia membacanya berulang kali kerana takut tersalah baca.
Ternyata dia tidak tersilap atau tersalah tafsir. Memang itulah petikan verbatim kata-kata pengasas kultus sewaktu berceramah di Pulau Pinang pada tahun 1931. Apabila keseluruhan teks ceramah dibaca untuk memahami konteks, memang itulah mesej yang disampaikan!
Allirajan terkejut kerana apa yang ditemuinya adalah berbeza dengan gambaran diberikan oleh Guruji dan orang kanan dalam kultus itu selama ini. Petikan itu juga jelas bertentangan dengan konsep karma dan dharma dalam Hinduisme.
Sebenarnya,
petikan ucapan itu tidak pernah dibicarakan dalam mana-mana sesi ceramah Guruji.
Namun begitu, apabila terkandung dalam buku The
Life of Prashamsaneeji yang diiktiraf sebagai kitab suci kultus ini,
bukankah ia salah satu kewajiban para pengikut dan pengamal kultus? (bersambung)
[Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Baca biodata penuh di sini.]
Berikut pula reaksi pembaca beta bagi beberapa cerpen Uthaya: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna] – [Menunggu Kathiravan]