Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Rahasya di Pulau Cinta”. Berikut pandangan diterima:
Cara Uthaya
memulakan (intro) cerpen ini berbeza dengan teknik
yang biasa digunakannya sebelum ini. Namun begitu, gaya bahasa yang puitis ini
masih menarik minat saya sebagai pembaca beta untuk meneruskan pembacaan. Sudah
pasti kisah yang disajikan nanti ada kelainan seperti yang diharapkan.
Kemungkinan
watak “Aku” dalam cerpen “Rahasya di Pulau Cinta” ialah Hanuman. Lagi pun, cerpen ini adalah kisah yang
terinspirasi daripada epik Ramayana.
Watak Rama, Sita, Ravana, dan Hanuman tidak dapat dielakkan dalam kisah ini.
Sebelum ini pun Uthaya telah banyak menulis kisah parodi berasaskan epik Ramayana.
Pada
pandangan saya, epik Ramayana itu
sendiri bukan 100% berlandaskan fakta. Jadi, tidak salah jika ia diceritakan
semula dalam bentuk moden, satira, dan parodi. Ini sebenarnya akan
mengembangkan daya imaginasi khalayak pembaca ke tahap yang lebih memberangsangkan.
Pada
pandangan saya, isu yang diketengahkan dalam cerpen ini lebih kurang sama seperti
apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Saya berpendapat
demikian kerana ada insiden dan frasa “amalan luar tabii” disebut pada petikan
cerpen ini.
Apa pula
yang mungkin berlaku seterusnya dalam fiksyen ini? Saya rasa, Maharaja Ravana
akan menghumban Rama ke dalam penjara. Bukti sudah ada seperti yang diceritakan
oleh Anjan. Mungkin “manusia di sebalik jendela” (yang digambarkan dalam
petikan cerpen) akan menolong membebaskan Rama menggunakan taktik tertentu.
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang.
Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil
sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen
sulung beliau manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan
beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya
Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]
Saya sebagai
pembaca beta masih tertarik dengan permulaan cerita ini kerana ia agak berbeza
dan masih ada ciri cangkuk naratif. Walaupun permulaannya
agak biasa, namun saya meneruskan pembacaan kerana pada perenggan ketiga, saya
dapat rasakan penulis sudah mula membawa kita ke arah cerita dengan banyak
persoalan. Saya percaya bahawa pembacaan seterusnya akan menjawab soalan-soalan
yang timbul dalam diri pembaca.
Watak “Aku”
mungkin seorang yang pernah hidup semasa kisah itu berlaku dan kini mengimbau
kembali apa yang berlaku pada ketika kisah sensasi ini sedang hangat. Watak “Aku”
yang disebut pada perenggan pertama mungkin terlibat secara langsung dalam
mengendalikan kes yang dinyatakan dalam cerpen ini.
Cerpen ini
menampilkan unsur satira (satire)
dan parodi (parody). Misalnya, watak-watak daripada epik Ramayana ditampilkan untuk membincangkan
isu lebih moden atau isu semasa. Adakah tindakan ini boleh anggap sebagai menghina
dan merendahkan martabat karya klasik India? Saya rasa tidak. Sebaliknya, saya
rasa cara ini akan menimbulkan minat pembaca yang tidak pernah membaca kisah Ramayana untuk membaca kisah tersebut.
Bagi khalayak yang pernah membaca epik berkenaan, mereka dapat membuat
perkaitan antara kisah di Pulau Cinta dengan kisah dalam epik Ramayana yang pernah dibaca. Sebenarnya,
saya meminati unsur satira dan parodi dalam cerpen ini.
Pada
pandangan saya, kisah yang disajikan dalam fiksyen ini seperti sebuah insiden
yang pernah berlaku di negara kita. Sebuah kejadian yang sudah dilupakan
mengikut peredaran masa. Ia biasanya diungkit kembali apabila tiada isu lain
yang perlu dibangkitkan. Kisah yang menjadi perbualan ramai dan dilupakan
apabila tiada penyelesaian. Perkaitan satira dan parodi dalam cerpen ini sangat
menarik dan saya rasa ia mampu membuka minda individu yang membaca dengan
teliti.
Pembaca
beta hanya diberi peluang membaca petikan awal cerpen. Lalu, diminta pandangan
tentang apa yang mungkin berlaku seterusnya. Pada andaian dan imaginasi saya, Rama
akan bebas dan menjalankan kehidupan seperti biasa, malah mungkin diagung-agungkan
oleh para pengikutnya seperti apa yang biasa berlaku. Dalam cerpen “Rahasya di Pulau Cinta”, mungkin Rama
akan dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai untuk memberi pengajaran
kepada para penduduk Pulau Cinta.
[Anuradha
Chelliah lahir di Klang, Selangor. Beliau mendapat pendidikan awal di
SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian sarjana
muda (2001) dan sarjana (2011) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha
kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris
di SK Sri Langat, Banting. Karya beliau boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]
Gaya permulaan cerpen yang
berbeza berbanding karya Uthaya sebelum ini tidak mengurangkan daya tarikan atau cangkuk naratif kerana gaya penggunaan bahasa dan penyampaian masih dapat memberi
gambaran yang jelas kepada pembaca.
Watak “Aku” mungkin salah
seorang pekerja di istana yang berpangkat dan rapat dengan Maharaja Ravana
kerana dia dapat menggambarkan peristiwa yang berlaku; seolah-olah sentiasa
berada di situ dan terlibat secara langsung dalam apa-apa yang berlaku di
istana.
Pada pendapat saya, karya seni
dapat disampaikan dan ditafsirkan dengan pelbagai cara kerana cara pemikiran
setiap individu adalah berbeza. Maka, penyampaian kisah epik Ramayana dalam bentuk parodi dan satira
seperti dilakukan dalam kisah ini tidak menjadi masalah.
Isu yang dikatakan berlaku di
Pulau Cinta pada zaman dahulu nampak sama dengan suatu peristiwa yang berlaku
pada zaman moden di negara kita; melibatkan beberapa individu yang berpangkat
tinggi—nama dan pangkat dirahsiakan dan tidak akan dinyatakan di sini. Pada
andaian saya, penyiasatan kes yang berlaku akan diteruskan. Namun, disebabkan
kepentingan dan pengaruh politik beberapa watak dalam cerita ini, kes akan dilanjutkan
atau mereka akan menyelewengkan hasil serta keputusan hasil siasatan kes.
[Kasthuri Anamalay @ Jeeva Kasthuri
dilahirkan di Taiping, Perak
dan kini tinggal di Sungai Petani, Kedah. Beliau berkelulusan dari Informatics dalam
bidang komputer dan Open University Malaysia (OUM) dalam bidang pengajian bahasa.
Kasthuri seorang pengusaha dan guru tuisyen sepenuh masa serta jurulatih teknik
menjawab bagi mata pelajaran Sains.]
Pada
pandangan saya, teknik intro yang
digunakan pada cerpen “Rahasya di Pulau Cinta” memang tetap menarik
dan mengungkitkan minat untuk terus membaca agar dapat mengetahui perkara
selanjutnya. Sambil menceritakan keindahan alam, penulis dapat menarik minat
pembaca dengan menyelitkan insiden gelap yang menjadi kunci atau daya penarik kepada
saya untuk terus membaca.
Pada
pendapat saya, watak “Aku” yang disebut pada permulaan perenggan pertama cerpen
ialah Anjan iaitu pemandu pedati kepada Sita yang muncul secara sukarela di Ibu
Pejabat Polis Pulau Cinta. Pada penghujung cerita (muka surat 2 pada teks yang
diberi kepada pembaca beta) watak Anjan yang tambil dan mendedahkan dia menjadi
mangsa dan sering kali mulutnya ditutup dengan kuasa politik. Oleh yang
demikian, pada pendapat saya, Anjan yang menjadi watak “Aku” di permulaan
cerita.
Pada penelitian
saya, penampilan unsur satira dan parodi daripada kisah-kisah dalam epik Ramayana tidak salah. Namun, ia mengawal
dan merumitkan imaginasi saya semasa membaca cerita ini sebab பண்புநலன்
atau kriteria watak dan
perwatakan dalam epik berbeza dengan watak-watak dalam fiksyen ini. Oleh yang
demikian, saya berpendapat, lebih baik jika watak-watak epik tidak diguna pakai
dalam cerita moden.
Pada
pandangan kreatif saya, saya berpendapat watak Rama akan bermaharajalela di
Pulau Cinta dengan angkaranya. Namun, orang politik menjadi benteng atau
pelindung kepadanya untuk menyelamatkan diri daripada segala masalah.
Pada
andaian dan imaginasi saya pula, watak Anjan akan menceritakan atau mendedahkan
segala insiden yang berlaku dengan adanya kawalan pihak berkuasa. Pihak
berkuasa pula akan memulakan siasatan secara rahsia sehingga Rama berjaya dibawa
ke muka pengadilan. Walau bagaimanapun, Anjan
akan sentiasa berasa takut akan ancaman daripada Rama. Namun, saya rasa,
cerita akan berakhir dengan babak pihak berkuasa membawa Rama ke muka keadilan
dengan segala bukti kukuh.
[Selvarajah
Murugesan @ MuPa.Selva lahir di Kajang, Selangor dan kini menetap di
Jenjarom, Selangor. Beliau menamatkan pengajian sarjana muda pendidikan (Bahasa
Tamil & Pendidikan Jasmani Kesihatan) di Universiti Malaya (2005) dan sarjana
pengurusan pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (2023). Beliau pernah
berkhidmat di SJKT Ladang Sungai Raya, Temerloh, Pahang (1989-1993), SJKT
Ladang Sungai Raya, Pulau Langkawi (1994-1998), SJKT Kalaimagal, Sungai Petani
(1999-2002), SMK Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur (2005-2008), SMK Seksyen 24,
Shah Alam (2008-2015), SMK USJ 4, Shah Alam (2017-2018) dan kini berkhidmat di
SMK TTDI Jaya, Shah Alam (sejak 2018).]
Berikut pula reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji]