Pulau Cinta, sebuah tempat yang tenang di luar pantai yang jauh, menjadi latar belakang kepada satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan.
Di sebalik keindahan alam yang mengagumkan, ia menyembunyikan kegelapan yang tidak pernah diketahui orang luar.
Namun, bagi insan yang pernah hidup pada zaman itu, Pulau Cinta adalah tempat penuh rahsia. Ada kesakitan yang tersembunyi di sebalik bayang-bayang kuasa dan pengaruh.
Pada suatu malam yang sepi pada Oktober 1883, Maharaja Ravana bersemayam di dalam kamar berhawa dingin sambil memeriksa dokumen yang baru diterima daripada Cawangan Khas Pulau Cinta.
Baginda menghela nafas panjang dan menatap lakaran wajah lelaki yang terpampang pada kertas itu. Rama, nama yang dikenali ramai, tetapi kini nama itu menjadi simbol kebencian dan ketakutan.
“Bukti yang cukup kukuh,” kata Ketua Polis Pulau Cinta dengan suara yang berat. “Rama tidak hanya terlibat dalam salah guna kuasa politik, tetapi juga bergelut dengan realiti yang lebih gelap. Amalan luar tabii Rama bukan hanya rahsia hitam yang tersembunyi, tetapi kini ia mungkin menjadi senjata yang boleh digunakan oleh musuh luar untuk menghancurkan kedaulatan Pulau Cinta.”
Pada waktu itu, di luar jendela, seorang lelaki berdiri dalam bayang-bayang malam tanpa disedari Maharaja Ravana dan Ketua Polis Pulau Cinta. Dia mula sedar bahawa masa yang berbaki semakin suntuk. Dalam hati, dia bergelut dengan ketakutan dan kekesalan.
Beberapa hari kemudian, Rama mengundang Ketua Polis Pulau Cinta ke rumah agam miliknya. Rumah itu sunyi, tetapi udara di dalamnya penuh dengan ketegangan yang nyata.
Rama menatap wajah Ketua Polis Pulau Cinta dengan mata yang tajam, suara yang perlahan, namun penuh keputusasaan.
“Adakah sudah ramai pegawai yang tahu tentang perkara ini? Apakah mungkin mereka akan memeras ugut saya untuk mendapatkan habuan?” soalnya, hampir tidak dapat menahan rasa takut yang menyelubungi diri.
Ketua Polis Pulau Cinta menundukkan kepala; tersengih.
“Kami masih menjalankan siasatan mengikut arahan Maharaja Ravana. Tetapi ada perkara yang lebih besar daripada semua ini, Rama. Kedaulatan Pulau Cinta adalah perkara paling utama. Kami akan mencari jalan terbaik untuk menangani isu ini dengan segera.”
Tahun demi tahun berlalu, dan insiden itu semakin dilupakan. Hasil siasatan kes Rama didiamkan. Penduduk Pulau Cinta tidak tahu tentang apa-apa yang telah dan sedang berlaku di belakang tabir.
Namun begitu, bak kata orang seberang, pelanduk mungkin melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.
Demikianlah, hampir empat tahun kemudian, penduduk Pulau Cinta terkejut membaca berita yang marak seperti api ditiup angin. Segera pula mendapat liputan stesen televisyen satelit serantau.
Anjan, pemandu pedati kepada Sita, dilaporkan muncul secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Pulau Cinta. Wajahnya pucat; mata penuh ketakutan. Dia bersumpah atas nama Dewata Mulia Raya sebelum mula menceritakan segala-galanya.
“Saya ... saya menjadi mangsa,” kata Anjan dengan suara terketar-ketar. “Pertama kali di sebuah banglo tepi pantai pada tahun 1882. Pada setiap kali, Rama menggunakan pengaruh politik untuk menutup mulut saya. Saya takut. Saya menyesal. Saya rasa kotor. Saya tidak tahu ke mana hendak pergi.”
Susulan perkembangan itu, Maharaja Ravana mengarahkan Ketua Polis Pulau Cinta meneruskan siasatan secara rahsia. Kalau boleh, biarlah seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak. (bersambung)
Baca reaksi pembaca beta — [di sini]
Berikut reaksi
pembaca beta sebelum ini: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan
Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji]