3 Mar 2025

Nabi Nuh Menurut al-quran dan Bible


Filem Noah (2014) diharamkan tayangannya di Malaysia, antara lain bagi “menjaga sensitiviti dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama” (Sinar Harian, 8 April 2014).

Filem lakonan Russell Crowe itu berdasarkan kisah Nabi Nuh (Noah) dalam Bible, khususnya Book of Genesis (Bab 6-11). Kisah yang sedikit berbeza terdapat dalam al-quran (Surah Hud dan Surah Nuh).


Bagaimanapun, al-quran menceritakan kisah Nuh dan bahtera serta kandungannya dalam bentuk kerangka umum tanpa perincian mendalam.

Ahmad Iqram Mohamad Noor dalam buku Misteri Bahtera Nabi Nuh (2014) mengakui allah hanya menyebut secara umum dalam al-quran mengenai Nuh. Pandangan itu memang benar.

Latar belakang Nuh dan keluarga tidak diceritakan secara terperinci dalam al-quran. Maka, bagi orang islam yang ingin tahu, kisah Nuh @ Noah hanya dapat difahami secara mendalam dengan bantuan Bible.

Hal ini tidak salah kerana sesungguhnya umat islam turut beriman kepada Taurat, Zabur, dan Injil sebagaimana firman allah dalam Surah Yunus (ayat 94).

Kitab Bible terbahagi kepada Old Testament (Perjanjian Lama) dan New Testament (Perjanjian Baharu).

Kisah mengenai peristiwa banjir besar turut terdapat dalam cerita-cerita yang dikongsi oleh masyarakat pelbagai negara, budaya, dan agama.

Hal ini memberi gambaran jelas bahawa peristiwa banjir itu melibatkan masyarakat dunia, atau sekurang-kurangnya disedari dan diketahui oleh penduduk seluruh dunia.

Dalam budaya India dan ajaran Hindu, misalnya, terdapat kisah mengenai Manu yang membina bahtera besar untuk menyelamatkan keluarganya, tujuh maharishi, sembilan jenis bijirin, dan sepasang daripada semua jenis binatang yang terdapat di muka Bumi.


Banjir Besar Tidak Tenggelamkan Seluruh Dunia?

Sekiranya diteliti, kisah Noah/Nuh dan bahteranya dalam al-quran dan Bible mempunyai perbezaan yang ketara. Hakikat ini memang diakui oleh semua pihak yang meneliti kandungan kedua-duanya.

Hasil pembacaan saya sebagai seorang pengamal multifaith, perbezaan yang amat nyata adalah apabila al-quran menyatakan banjir besar hanya melanda suatu kawasan tertentu dan bukannya seluruh dunia. Kawasan yang dimaksudkan adalah Mesopotamia (Iraq).

Memandangkan al-quran menyebut secara jelas hanya kaum Nuh terlibat dalam kejadian itu, maka umat islam yakin banjir besar hanya berlaku di kawasan yang dihuni kaum Nuh; iaitu kawasan dataran sepanjang 600 kilometer dan selebar 160 kilometer di Mesopotamia.

Hal ini berbeza dengan Bible yang menyatakan air banjir naik di seluruh dunia selama 40 hari dan masa 150 hari diperlukan untuk banjir itu surut. Versi melibatkan Manu dalam budaya India juga mengakui banjir besar itu meliputi seluruh bumi.

Dalam versi Bible, banjir besar di seluruh dunia membuatkan gunung-gunung tertinggi di dunia turut tenggelam. Menurut Kurma Purana, Matsya Purana, Vishnu Purana, Mahabharata, dan Ramayana, namanya adalah Pergunungan Malaya di India.

Di atas pergunungan itulah bantera milik Manu terdampar apabila banjir mulai surut. Menurut al-quran (Surah Hud, ayat 44), bantera milik Nuh berhenti di atas Bukit Judi di sekitar Armenia, Turki, dan Iraq.

Kitab Bible pula menyebut Gunung Ararat sebagai tempat bahtera terkandas. Gunung itu dikatakan terletak di Armenia yang bersempadan dengan Azerbaijan, Georgia, Iran, dan Turki.

Peristiwa yang berlaku semasa banjir mulai surut diceritakan secara teliti dalam Bible (Genesis, 8: 6-12). Perintah allah kepada Nuh selepas banjir surut sepenuhnya boleh dirujuk dalam al-quran (Surah Hud, ayat 48).

Anak-anak Nuh menjadi penerus warisan dan penyambung keturunan manusia. Yafith, Ham, dan Sam memikul tanggungjawab mengembangkan zuriat dan keturunan ke seluruh pelosok dunia (Surah As-Saffat, ayat 77).


Orang Melayu dan India Sebangsa!

Maklumat terperinci mengenai ketiga-tiga anak lelaki Noah dan pasangan (isteri) mereka boleh dibaca dalam Jubilees (7:13-16) dan Genesis (10:1-32).

Berbeza dengan Bible, al-quran menerusi Surah Hud (ayat 42-43 dan 46) serta Surah Al-Anbiya (ayat 76) menceritakan kisah seorang lagi anak lelaki mati lemas dalam banjir besar. Anak derhaka yang kafir itu namanya Yaam atau Kanaan.

Selain daripada ahli keluarga Nuh, ada juga orang lain di dalam bahtera. Sejumlah 80 pengikut yang beriman sahaja telah turut serta.

Rata-rata pakar pengkaji islam bersetuju kesemua 80 orang yang beriman itu terselamat daripada banjir besar tetapi meninggal dunia tanpa meninggalkan waris.

Isteri Nuh mati dihanyutkan banjir bersama-sama golongan kafir. Nuh tidak mengahwini wanita lain selepas itu. Maka, akhirnya, tinggal Yafith, Ham, dan Sam serta pasangan (isteri) masing-masing untuk menggalas tugas sebagai penyambung keturunan manusia.

Sam adalah bapa atau pemula kepada bangsa Arab, Parsi, dan Ibrani. Ham sebagai bapa kepada bangsa Habsyi, Melayu, dan India. Sementara Yafith pula bapa kepada bangsa Romawi, Yunani, Perancis, dan China.

Maknanya, daripada mereka bertigalah lahir manusia yang menghuni seluruh pelosok Bumi. Hal ini dipersetujui bersama oleh orang Islam dan Kristian.

Malah, Genesis (10:1-32) menjadi rujukan penting bagi orang Islam dalam hal ini; selaras firman allah menerusi Surah Yunus (ayat 94).

Walau bagaimanapun, sekiranya diteliti, wujud pelbagai perbezaan yang ketara antara al-quran dan Bible dalam membicarakan peristiwa banjir besar dan binatang-binatang yang diselamatkan oleh Noah/Nuh.

Ergun Mehmet Caner dan Emir Fethi Caner menerusi buku Unveiling Islam (2003) menghuraikan pelbagai perbezaan dan percanggahan antara kedua-dua kitab berkenaan, tetapi makalah ini lebih mengkhusus pada peristiwa bantera dan banjir besar.


Hanya Binatang Ternakan Dibawa Menaiki Bahtera?

Dalam Genesis (7:1-3) dijelaskan bahawa Tuhan mengarahkan Noah membawa seluruh keluarga ke dalam bahtera yang sudah siap dibina.

Turut diarahkan supaya dibawa sama adalah tujuh pasang (jantan-betina) bagi segala burung dan binatang yang tidak haram (halal dimakan), serta sepasang sahaja bagi semua binatang yang haram.

Menurut al-quran (Surah Hud, ayat 40), tidak pula dijelaskan Nuh perlu membawa pasangan daripada kesemua binatang di seluruh muka Bumi. Sebaliknya hanya haiwan yang terdapat di sekitar Mesopotamia.

Malah, menurut al-quran, penduduk yang mati lemas akibat banjir besar hanya melibatkan kaum Nuh; bukan penduduk seluruh dunia. Hal ini berbeza dengan kenyataan dalam Bible (Genesis, 7: 21-23) serta kisah Manu dalam budaya India.

Orang islam percaya binatang yang dibawa oleh Nuh adalah haiwan yang mudah diperoleh, dibela, dan berguna kepada manusia, yakni haiwan ternakan seperti unta, kuda, kambing, dan lembu.

Harun Yahya dalam buku Kaum-kaum Yang Pupus (2010) memberikan alasan, binatang yang diperintah supaya dibawa oleh Nuh adalah untuk memulakan kehidupan baharu selepas banjir besar. Nuh bukan diarah menyelamatkan semua binatang di muka Bumi.

Demikianlah serba sedikit mengenai peristiwa bahtera dan banjir besar pada zaman Noah/Nuh. Walaupun peristiwa itu diceritakan dalam pelbagai budaya di seluruh dunia, makalah ini hanya melihat secara khusus kisah dalam al-quran dan kitab suci Bible.

Ternyata terdapat pelbagai persamaan, perbezaan, dan percanggahan dalam versi islam dan Kristian. Namun, kedua-duanya saling melengkapi; memandangkan Bible lebih terperinci manakala al-quran menceritakan peristiwa banjir besar itu secara umum.

Walaupun al-quran diakui sudah lengkap, tetapi jika kita mahu mencari kefahaman dan perbahasan yang lebih menyeluruh, tidak menjadi kesalahan untuk merujuk Bible dan kitab agama lain yang membicarakan topik sama.

Sekurang-kurangnya, langkah ini akan membuka laluan awal ke arah mewujudkan perbahasan dan dialog antara agama secara sihat, membina, dan berhemah.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan tersiar di The Malaysian Insider pada 3 Mac, 2015. Rencana ini ditulis jauh sebelum Uthaya tinggalkan islam. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya atas pilihan sendiri.]