Dalam kelam malam, dia terjaga diselubungi kedinginan yang memeluk tubuh. Mata terbuka luas, seolah-olah cuba mentafsirkan bayangan yang melintas di hadapan mata; antara batas realiti dan mimpi.
Tidak, ia bukan sekadar mimpi. Dia tahu. Dia dapat merasakannya.
Angin malam yang dingin terasa seperti tiupan lembut dari dunia lain.
“Valli,” suara itu bergema dalam benak, seakan-akan datang serentak dari jauh dan dekat. “Bangun! Masa kamu sudah tiba.”
Tangan Kanagavalli menggigil. Dia melihat sekeliling bilik kecil itu. Sepi. Tiada siapa. Hanya suara bisikan tadi yang terus bergema dalam hati. Suara itu datang lagi—lebih jelas, lebih penuh dengan tekanan.
“Bangunlah dan terima tanggungjawab ini. Kamu akan menjadi individu yang dikenang generasi masa depan.”
Kanagavalli menghembuskan nafas dalam-dalam; memegang kepala yang berdenyut. Dia tidak tahu siapa atau apa yang menghubunginya. Tetapi dia tahu bahawa ia suatu petanda besar—sesuatu yang jauh lebih besar daripada apa yang mampu difahami mindanya.
Pagi itu, matahari menyinari Siru Kambam yang terletak di luar bandar, jauh daripada kehidupan serba pantas di Taiping.
Kanagavalli memandang wajah pada cermin. Kelihatan seorang individu berumur 28 tahun. Seorang wanita muda yang sudah lama bekerja sebagai pembantu di rumah seorang guru agama Hindu.
Dalam hati wanita itu, pernah ada kekosongan yang semakin mendalam. Setiap hari, dia berdoa kepada Tuhan, tetapi hatinya tetap tidak menemui kedamaian yang diimpikan.
Pada waktu itulah muncul Guruji—seorang lelaki yang mengaku menerima petunjuk daripada Dewa Indra. Lelaki itu muncul tanpa pemberitahuan, membawa bersama mesej tentang dharma dan karma yang tersembunyi dalam teks kuno ajaran Hindu.
Guruji percaya bahawa dia telah dipilih oleh para sura atau dewa-dewi untuk memimpin umat Hindu di Malaysia mencari jalan sehala menuju svarga.
Guruji mengaku dia adalah utusan Tuhan yang dihantar untuk mengajar umat manusia supaya mengenali diri mereka sendiri. Dengan karisma yang luar biasa, dia berjaya menarik perhatian ramai penganut Hindu yang memang sedia putus asa dan keliru dengan amalan beragama.
Ramai yang terpesong kerana tidak mendalami agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia. Akibatnya, ramai pula yang terpedaya dengan dakyah puak tertentu yang berusaha gigih dan licik menyesatkan umat Hindu daripada agama asal yang mulia.
Dalam keadaan itulah Guruji muncul di Taiping, Perak. Tokoh agama itu mengajar tentang kuasa diri; bahawa setiap manusia memiliki kekuatan untuk mencapai kesempurnaan rohani tanpa perlu mengikuti aturan agama yang ketat.
Kanagavalli menjadi salah seorang individu yang tertarik dengan ajaran Guruji, Wanita itu merasakan seolah-olah ada sesuatu yang lebih dalam yang tidak pernah dia fahami tentang agama Hindu selama ini.
Di tengah-tengah kehidupan yang penuh dengan ketidaktentuan dan kesepian akibat ditinggalkan suami pada usia muda, Kanagavalli merasakan ada sesuatu yang lebih besar yang sedang menanti.
Sesungguhnya, Guruji ialah “utusan” daripada Tuhan untuk menyelamatkan umat Hindu sebelum terlewat; sebelum terjebak dalam ajaran dibawa para pendakyah licik.
Sebagai individu yang kurang terdedah kepada kitab agama Hindu sejak kecil, Kanagavalli tertarik dengan khutbah dan pengajaran Guruji yang bijak memetik ayat-ayat dari pelbagai veda dan purana.
Penerangannya amat mudah dan mampu dicerna para pengikut
dari pelbagai lapisan masyarakat. Pusat pengajaran atau ashram yang digelar suraukas
(“tempat dewa-dewi bersemayam”) menjadi semakin popular dalam kalangan pengikut
kultus. (bersambung)
[Karya Uthaya Sankar SB menerima pengiktirafan menerusi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (1992), Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99). Baca biodata penuh di sini dan senarai buku di sini.]
Anda juga
mungkin berminat membaca petikan awal cerpen berikut: [Radha Paati, Guruji, dan Keldai Terbang] – [Menanti Kepulangan Arjun] – [Sebelas Amanat Prashamsaneeji] – [Menunggu Kemunculan Kathiravan] – [Cinta Maya Arjuna] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Jalan Sehala Menuju Svarga] – [Sambil Minum Secawan Teh]