13 Feb 2025

Menanti Kepulangan Arjun


Aku tercengang. Skrin telefon bimbit terus menyala. Ada mesej masuk. Nama yang tertera pada petikan notifikasi membuatkan darahku beku seketika.

Hi! Arjun di sini …

“Arjun?”

Aku menekan butang “buka mesej” dengan tangan gementar.

Dari mana dia datang? Mengapa mesej ini muncul selepas tujuh tahun?

Arjun, sahabat baikku yang hilang dan tidak pernah aku temui atau dengar khabar berita tentang dirinya sejak dia meninggalkan rumah, tujuh tahun lalu.

Mesejnya ringkas tetapi sarat dengan makna.

“Hi! Arjun di sini. Aku akan kembali, tetapi aku bukan orang yang dulu.”

Terkesima, aku membiarkan jari-jemari melayang di atas skrin. Mata terpejam seketika. Memori tujuh tahun lalu datang menyerbu. Semua ingatan tentang Arjun yang dulu—Arjun yang sangat aku kenali.

Tujuh tahun lalu, pada usia 23 tahun, Arjun tiba-tiba hilang tanpa jejak. Semuanya bermula pada suatu malam yang gelap. Ketika itu, kami berdua sedang menonton rakaman perlawanan bola sepak di rumahnya.

Kami bercakap tentang impian, masa depan, dan tentang dunia yang penuh dengan ketidakpastian. Tentang ketua umum Pakatan Harapan (PH) yang baru sahaja menerima pengampunan penuh tanpa sebarang syarat di mana segala rekod kesalahan jenayah berkaitan kes liwat dihapuskan.

Tiba-tiba, Arjun memberitahu aku bahawa dia mungkin mahu pergi ke luar negara demi mencari peluang dan masa depan yang lebih baik. Aku tidak tahu mengapa, tetapi aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Di sekolah dahulu, Arjun sering juga diejek kerana tidak berminat bermain bola sepak atau terlibat dalam aktiviti lasak. Kononnya, dia terlalu lembut dan lembik untuk menyertai pasukan hoki mahupun ragbi.

Sedang aku masih melayan kegelisahan yang dialami pada malam itu, Arjun memeluk aku dengan erat dan memberikan aku sebuah senyuman yang sedikit kelam.

“Jangan risau. Aku pasti akan kembali suatu hari nanti. Percayalah,” katanya dengan nada penuh keyakinan.

Namun, tidak ada berita tentang Arjun selepas itu. Pada keesokan pagi, dia hilang begitu sahaja. Keluarganya juga mula tercari-cari. Semua orang yang mengenalinya dilanda kebingungan.

Tidak ada bukti pembelian tiket penerbangan. Tidak ada bukti dia meninggalkan negara melalui lapangan terbang atau pintu sempadan negara. Tidak ada sesiapa tahu di mana Arjun berada atau ke mana dia pergi sebenarnya.

Susulan laporan dibuat oleh ibu bapa Arjun, polis membuka kertas siasatan, tetapi segala usaha mereka menemui jalan buntu. Polis turut menanyakan soalan yang tidak pernah aku terfikirkan: Apakah Arjun pernah menyatakan keinginan mahu meninggalkan negara ini?

Khabar angin mula tersebar. Ada yang berkata, Arjun melarikan diri bersama teman wanita yang tidak dikenal pasti. Ada pula yang berkata, dia terlibat dalam sindiket jenayah.

Ada orang mengatakan dia bersembunyi (daripada apa atau siapa?), disembunyikan (oleh siapa dan mengapa?), malah tersembunyi (di alam bunian).

Ada pula orang yang rajin melakukan carian di Google mula membandingkan misteri kehilangan Arjun dengan kes seorang penulis tersohor bernama Hizairi Othman yang dilaporkan hilang secara mengejut pada 15 Mac 2001.

Polis turut buntu kerana kehilangan Arjun sangat misteri. Namun begitu, fail siasatan kes kehilangannya masih dibuka. Menurut polis, jika ada sebarang petunjuk baharu, maka siasatan akan diaktifkan semula.

Dalam pada itu, apa yang lebih mengerikan ialah spekulasi bahawa Arjun mungkin sudah mati. Mungkin menjadi mangsa kumpulan gengster diketuai Mukundan. Mungkin dia ternampak aktiviti haram kumpulan itu pada pagi kejadian.

Mungkin dia dibunuh dan mayatnya dilupuskan. Mungkin seperti kes Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui di dalam sebuah tong dram berisi konkrit. (bersambung)

Baca reaksi pembaca beta — [akan dipaparkan di sini]

[Cerpen ini dihasilkan pada Permukiman Menulis di Bentong, Pahang pada 8-9 Februari 2025. Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Baca biodata penuh di sini.]

Berikut reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna] – [Menunggu Kathiravan]

Anda juga mungkin berminat membaca kisah benar berikut: [Siapa Bunuh Veer Singh?] – [Siapa Bunuh Nagamuttu?]