16 Dec 2024

Reaksi Pembaca Beta “Siapa Bunuh Mukundan?”

Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan selepas membaca petikan awal cerpen “Siapa Bunuh Mukundan?” Berikut pandangan tiga pembaca beta (beta readers).

Sebelum ini, kita disajikan cerpen bertajuk “Mukundan Sudah Mati”. Kisah “Siapa Bunuh Mukundan?” pula merupakan sambungan kepada cerpen berkenaan. Saya teruja untuk mengetahui adakah Mukundan benar-benar kena mandram (sihir) atau diracun oleh gundik-gundiknya dan Satees. Watak wartawan yang tidak wujud dalam cerpen “Mukundan Sudah Mati” muncul dalam cerpen baharu ini. Mungkin dia akan dapat mengorek rahsia di sebalik punca sebenar kematian Mukundan. Lagi pun, watak wartawan muda itu dikatakan telah menelaah kes-kes lampau sebelum berhadapan dengan kes kematian Mukundan. Siapa yang membunuh Mukundan? Pada pandangan saya, ada dua kemungkinan. Pertama, Satees (anak angkat Mukundan) diupah oleh ketua kongsi gelap lain untuk meracun Mukundan agar dia mati secara perlahan. Kedua, Anita (gundik Mukundan) menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir (mandram) Mukundan. – M. Mahendran (Bentong, Pahang)

Bahagian permulaan cerita ini agak biasa. Watak-watak yang hadir dalam halaman pertama membuatkan saya terus membaca halaman kedua untuk mengetahui apakah peranan mereka dalam hidup Mukundan. Namun, kehadiran watak wartawan muda menjadikan cerita “Siapa Bunuh Mukundan?” lebih berunsur saspens. Adakah wartawan itu hanya menjalankan tugas yang diberi atau dia ingin mendapatkan sesuatu melalui kematian Mukundan? Wartawan muda dalam cerita ini sangat bermotivasi dan berdedikasi. Ketekunannya meneliti buku Triad and Tabut (1941) seperti beraksi di hadapan mata saya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa kejadian. Dia juga menjadi wartawan penyiasat untuk mendapatkan kisah di sebalik kehidupan gengster tersebut. Saya merasakan seolah-olah menonton sebuah filem dalam kepala apabila membaca teks ini. Agak sukar juga untuk mengetahui siapa yang membunuh Mukundan. Saya rasa mesti ada kaitan dengan empat orang wanita yang disebut dalam halaman pertama. Pada pandangan saya, mereka bersama-sama Satees merancang untuk membunuh Mukundan dengan memberikan racun dan membiarkan ketua gengster itu menderita sebelum meninggal dunia. Mukundan dibunuh oleh wanita-wanita itu kerana mereka tidak tahan dengan tekanan yang diberikannya. – Anuradha Chelliah (Banting, Selangor)

Pada pandangan saya, cerita di halaman pertama menarik minat saya untuk membaca halaman seterusnya sebab ingin mengetahui motif dan punca kematian Mukundan. Di samping itu, saya juga ingin mengetahu latar belakang diri watak Mukundan. Mengenai watak wartawan muda itu pula, pada pandangan saya, dia sudah bersedia dengan membuat homework untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang punca kematian Mukundan. Walau bagaimanapun, dia harus mencatat segala maklumat yang diterima dan bukun hanya mengingat tanpa sebarang catatan. Berbalik kepada persoalan pokok iaitu siapa yang membunuh Mukundan, saya rasa, dia dibunuh oleh gundik yang berumur 19 tahun (Anita) sebab ingin membalas dendam atas kematian suami kumpulan gengster kecil. Kini, Anita menjadi kekasih Satees berumur 23 tahun dan mungkin dia ingin membina rumahtangga bersama Satees. – MuPa.Selva (Shah Alam, Selangor)

Berikut reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria]