16 Jan 2021

Kisah Maharaja dan Perisytiharan Darurat


Pada 10 Januari 2021 [era Covid-19], saya mengundang rakan-rakan menerusi WhatsApp dan paparan Facebook untuk menjadi “pembaca beta” bagi sebuah cerpen baharu yang belum tersiar di mana-mana.

Petikan bahagian awal cerpen sepanjang 304 perkataan dikirim pada 11 Januari 2021 dan para pembaca beta (sukarelawan) diminta mengemukakan komen dan reaksi.

Untuk makluman, pada 12 Januari 2021, Agong memperkenan pelaksanaan darurat seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19. Sekali gus, Perlembagaan Persekutuan tergantung dan kuasa eksekutif berpusat kepada Persekutuan.

Berikut reaksi yang diterima daripada 14 pembaca beta:

“Pembukaan yang segar, penulis cuba membawa pembaca ke alam lain, dan menarik minat pembaca supaya membaca lebih lagi apabila cerpen menyentuh isu politik. Pembaca tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya. Sekiranya cerpen dikarang dengan mengangkat isu pergolakan politik zaman yang diketengahkan penulis, maka cerpen sangat menarik. Cuma jangan mengganggu sensitiviti agama. Semoga nanti saya dapat membaca cerpen yang lengkap daripada penulis.”—Fhennie Arryka Anak Wan (Sibu, Sarawak)

 

“Rakyat mengharapkan Maharaja bertindak adil dalam memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan. Politikus hanyalah wakil rakyat yang sepatutnya bekerja untuk memberikan manfaat kepada rakyat yang memilihnya sebagai wakil ke majlis perhimpunan perwakilan rakyat. Membawa suara rakyat ke atas, dibincangkan segala permasalahan bersama yang kemudian dicarikan jalan penyelesaian secara kolektif. Malangnya, politikus yang dipilih sibuk membuncitkan perut sendiri dan keluarga, mengejar pangkat dan gelaran ternama, berlumba-lumba membina istana kayangan dan simpanan peti besi berlimpahan untuk 7 keturunan tanpa malu! Sudah sampai masanya semua politikus ini diberikan hukuman sewajarnya. Jangan lagi mereka ini dipilih dalam pengundian akan datang. Lantik wakil baharu yang mahu bekerja dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa! Kenapa pula kita yang mesti terhegeh-hegeh menundukkan diri apabila berurusan dengan mereka sedangkan mereka boleh mendabik dada yang tidaklah sesasa mana apabila berhadapan dengan rakyat? Kemelut ini perlu rakyat hentikan. Jangan jual maruah dan harga diri dengan sekampit beras dan sampul berisi RM50. Harga diri dan maruah rakyat adalah tersangat mahal. Sesiapa pun tidak mampu untuk membelinya. Sesungguhnya sejarah itu sifatnya berulang-ulang, yang berbeza hanya nama pembawa watak, zaman ia berlaku dan keadaan persekitaran semasa; namun cerita masih berlegar dalam kisah yang sama.” — Rushida binti Abdul Wahid (Klang, Selangor)

 

“Saya rasa cerpen ini dapat menarik minat pembaca kerana ia menggambarkan situasi yang berlaku sekarang tetapi dalam era yang berbeza. Ada pergelutan kuasa, rasa ingin membantu, rasa ingin menolong dan pada masa yang sama kerakusan politik. Isu politik ini seperti inginkan kemenangan seseorang individu dalam membuat keputusan kerana terlalu yakin dengan dirinya tanpa berbincang dengan ahli-ahli dalam kumpulan politiknya. Dia ingin mengambil tindakan secara peribadi tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana terikat dengan undang-undang. Hanya Maharaja yang dapat memberi penyelesaian. Saya pasti cerpen ini akan berakhir dengan saspens kerana agak sukar bagi pembaca untuk menduga apakah situasi sebenar.” — Anuradha Chelliah (Banting, Selangor)

 

“Membaca petikan awal  cerpen ini mengingatkan saya tentang keadaan politik semasa negara kita yang sangat meruncing. Ini menimbulkan macam-macam perasaan termasuk rasa ketidakpercayaan kepada sistem pemerintahan yang ada sekarang. Campur tangan istana sangat diharapkan untuk memberi sinar baharu kepada rakyat, khususnya orang awam. Kita (pembaca) cuba untuk memahami beban tanggungjawab Maharaja dalam cerpen ini. Saya menjangkakan, harapan Maharaja untuk melihat rakyatnya tidak teraniaya dengan kemelut politik mendorongnya mengambil langkah bijak demi kebaikan semua.” — Wan Mahiran Wan Mohamad @ Annur Puteri (Tanah Merah, Kelantan)

 

“Permulaan yang menarik minat saya untuk terus membaca kerana ingin mengetahui kenapa nama Maharaja diseru. Cerpen ini dapat mengemukakan satu pengajaran dan nilai murni yang lebih bermakna kepada pembaca. Isu yang diperhatikan dalam cerpen ini ialah penggunaan sistem pemerintahan demi kesejahteraan rakyat. Teknik saspens yang digunakan dapat menarik minat pembaca. Setelah habis membaca petikan awal cerpen ini, persoalan yang sering timbul dalam fikiran saya ialah adakah watak Maharaja bertindak secara bijak? Adakah sistem demokrasi yang liberal dapat diumumkan? Secara keseluruhannya, saya berminat membaca cerpen ini sepenuhnya kerana penggunaan ayat tanya pada permulaan cerpen menarik tumpuan saya untuk terus membaca.” Nanthini Nadarajan (Taiping, Perak)

 

“Petikan cerpen ini adalah berkaitan perebutan kuasa dalam sesebuah negeri atau negara. Rakyat bergantung harap kepada Maharaja agar semuanya kembali pulih. Walau bagaimanapun, jalan cerita kurang jelas dan sejujurnya saya tidak berminat untuk membaca seterusnya. Namun saya andaikan yang penghujung cerita ini akan berakhir dengan baik. Watak Maharaja akan mengambil langkah yang lebih progresif untuk menyelamatkan negara atau negerinya dan semestinya untuk rakyat yang disayangi.” — Junainah bt. Abdul Jalel (Manjung, Perak)

 

“Timbul perasaan ingin tahu apa yang bakal berlaku. Melalui petikan ini, pembaca faham bahawa sifat tamak dan gila kuasa dalam kalangan golongan pemerintah menyebabkan rakyat menderita serta pentadbiran mula tergugat. Pada andaian saya, cerpen ini membawa isu sikap pentingkan diri dan gila kuasa sehingga lupa tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara. Saya yakin, watak Maharaja akan mencari solusi untuk memyelesaikan pertelingkahan yang berlaku dan mula bertindak bijak dalam membuat keputusan. Secara keseluruhan, petikan ini mampu menarik minat pembaca untuk mengetahui cabaran yang bakal dihadapi oleh Maharaja demi memastikan kerajaannya tidak tergugat.” — Diviya Devaraj (Bukit Mertajam, Pulau Pinang)

 

“Saya dapati petikan cerpen ini menarik dan terdapat beberapa unsur yang menimbulkan minat membaca cerita ini secara keseluruhan. Perebutan kuasa politik merupakan perkara yang diketengahkan dalam cerpen ini. Timbul tanda tanya tentang bagaimana watak Maharaja akan menghadapi masalah politik yang melanda dan perkara yang akan berlaku dalam masalah politik tersebut. Keseluruhanya, cerita ini membuatkan pembaca berfikir dan menimbulkan keinginan untuk membaca cerita selanjutnya.” — Jagadesware Theeran (Sungai Petani, Kedah)

 

“Petikan ini menarik minat saya untuk mengetahui apa akan berlaku seterusnya. Petikan cerpen ini menceritakan watak Raja diganggu oleh kuasawan. Perebutan kuasa berlaku. Raja inginkan kehidupan yang aman damai selama hidupnya di Bumi. Kini, rakyat menderita dengan gelagat para kuasawan. Pada pendapat saya, para kuasawan akan bergilir-gilir menghadap Raja untuk mendapat kuasa mutlak/sokongan kepada satu parti sahaja untuk terus memerintah. Raja tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasawan. Tuanku akan mengambil alih kuasa penuh pemerintahan dan Sistem Demokrasi akan dimansuhkan.” — M. Mahendran (Bentong, Pahang)

 

“Petikan cerpen tersebut disulami dua keadaan dan dikaitkan dengan konsep Hindu. Secara tidak langsung, saya dapat memahami keseluruhan intipati cerpen berdasarkan pembacaan cerpen-cerpen bermotifkan politik. Motif politik yang cuba digarapkan bersesuaian dengan arus politik kini dan kita memang berhadapan dengan situasi sedemikian. Manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja demi survival politik masing-masing. Saya tertarik dengan petikan cerpen ini kerana unsur Hindu diterapkan dan boleh disampaikan kepada masyarakat kita. Saya mungkin akan membaca cerpen penuh untuk mengetahui bagaimana kesudahannya dan ingin ketahui  bagaimana cerpen ini dipandu mengikut  keadaan masa kini.” — Subramaniam Raman (Kulim, Kedah)

 

“Apabila menyebut perkataan seperti politiking dan demokrasi, tidak boleh tidak saya akan cuba kaitkan dengan situasi politik tanah air. Apatah lagi selepas membaca kumpulan fiksyen Putaria (2020) yang berkait rapat dengan situasi politik semasa. Dalam petikan cerpen ini, saya membayangkan watak Maharaja sebagai Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang pernah melepaskan jawatan dari dunia politik namun kembali semula dalam PRU-14. Pilihan raya umum itu menyaksikan perubahan besar dalam sistem pemerintahan negara yang didominasi satu parti sejak berpuluh tahun. Saya teruja untuk tahu kesudahan cerita ini kerana berminat untuk melihat bagaimana penulis mengolah situasi politik semasa dalam karya.” — Nur Ashikin binti Mohd Noor (Alor Setar, Kedah)

 

“Petikan cerpen ini menarik minat saya untuk mengetahui situasi perebutan kuasa yang berlaku. Perebutan kuasa ini adalah situasi yang berulang-ulang berlaku dalam sejarah walaupun kerajaan menetapkan suatu sistem pentadbiran untuk dipatuhi. Saya berminat dan ingin mengetahui kebijaksanaan watak Maharaja dalam menghadapi isu ini. Saya menjangkakan satu peristiwa besar berlaku selepas petikan ini.” — Noraziana @ Zayana Aziz (Rawang, Selangor)

 

“Saya tertarik untuk meneruskan pembacaan cerpen ini dan ingin mengetahui apakah tindakan yang akan diambil oleh kuasawan.  Pada hemat saya, isu utama cerpen ini  ialah tentang perebutan kuasa dalam politik. Perebutan kuasa yang berlaku dikiaskan dengan politik semasa yang berlaku di Malaysia di mana pembangkang  cuba menjatuhkan kerajaan yang sedia ada dan ingin menukar  dengan kerajaan baharu. Saya rasa, dengan pandangan jauh watak Maharaja, masalah yang dihadapi akan dapat diatasi dengan jayanya.  Begitulah keadaan politik Malaysia yang mengharapkan  kebijaksanan dan kedaulatan Yang Dipertuan Agong yang berkuasa di istana menyelamatkan politik negara.” — Mohamad Khizar bin Awang (Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang )

 

“Tidak sabar untuk membaca keseluruhan cerita! Cerita ini bagaikan wujud antara dua dimensi, iaitu zaman India purba dan zaman sekarang. Ada elemen yang seakan-akan menyerupai iklim politik di negara kita. Hal ini menjadikan cerita ini menarik. Ia memberikan lensa dan perspektif unik sebagai jalan cerita; menjadikan saya ingin membaca lagi untuk mengetahui jalan cerita dan pengakhirannya.” — Archana Divi Chandra Mohan (Klang, Selangor)


Terima kasih kepada rakan-rakan budiman yang sudi meluangkan masa membaca petikan cepen dan berkongsi reaksi ikhlas. Cerpen Darurat di Pulau Cinta boleh dibaca dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan Cerpen (2024).