19 Jan 2021

Seni Seramik Ketika Covid-19


Artis yang menghasilkan kraf seni turut menerima tempias susulan pandemik Covid-19, khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac 2020.

Baru-baru ini, saya berpeluang bertemu seorang artis seramik dan usahawan muda yang berasal dari Kapar, Selangor. Thanesh Kumar Letchumanan graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan kini mengusahakan Studio Seramita di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang.

Secara kebetulan, pemuda ini membuka studio pada awal Mac 2020 tetapi hanya sempat membersih dan mengecat sebelum PKP. Hanya pada Jun 2020, Thanesh berpeluang kembali beroperasi di studionya.

“Memang banyak kerja yang tertangguh apabila studio terpaksa ditutup berikutan arahan kerajaan. Saya juga tidak dapat pulang ke rumah di Kapar, sebaliknya menumpang di rumah kawan di Taiping, Perak,” pemuda berumur 26 tahun itu menceritakan pengalaman.


Thanesh amat menghargai sokongan dan panduan yang diterima daripada para pensyarah di Unimas dan mentornya, Dr Shamsu Mohamad dari Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saya membuat latihan industri di studio beliau semasa belajar di Unimas. Kemudian, beliau terus menjadi mentor. Malah, beliau yang menggalakkan dan membantu saya membuka studio di Balik Pulau. Saya sangat bertuah kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan, peminat seni seramik dan artis terkenal,” Thanesh mengakui.

Rata-rata hasil seni Thanesh menampilkan arca seramik yang seolah-olah separuh siap. Bahagian luar biasanya tidak diwarnakan langsung. Hanya bahagian tengah, atau salah satu bahagian tertentu, menampilkan ukiran dan kerja seni yang terperinci dan berwarna.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 15 Disember 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 19 Disember 2020. © Uthaya Sankar SB]