30 Sept 2020

Krisis, Bencana Tonjol Sikap Kita


Krisis air yang melanda kebanyakan kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, baru-baru ini, sebenarnya turut membantu membawa keluar semangat kejiranan dan perasaan saling membantu tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang.

 

Sering kali kita melihat dan membaca kenyataan berbaur perkauman di media sosial; tidak mustahil kesemua paparan itu datang daripada pihak yang sengaja merancang untuk memecahbelahkan masyarakat demi kepentingan politik.

 

Namun begitu, semasa krisis kemanusiaan melanda, kita berpeluang melihat sisi sebenar penduduk dan jiran tetangga yang sebenarnya sanggup tampil menghulurkan bantuan secara penuh ikhlas.

 

Misalnya, saya melihat paparan beberapa rakan di media sosial di mana mereka mempelawa sesiapa yang menghadapi masalah air pergi ke rumah mereka untuk mengambil air bagi kegunaan harian. Pada waktu kritikal, sikap seperti ini membuktikan keikhlasan dan nilai kemanusiaan sejati.

 

Kita juga sering mendengar mengenai insiden kemalangan melibatkan penunggang motosikal di jalan raya. Sebaik ada insiden seperti itu, serta merta penunggang motosikal lain akan berhenti dan bergegas untuk membantu. Soal kaum, keturunan, agama, negeri asal, ideologi politik, dan latar belakang tidak pernah timbul. Individu yang langsung tidak dikenali, tetap dibantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

 

Nilai kemanusiaan yang serupa juga dapat dilihat setiap kali ada krisis dan malapetaka seperti banjir, tanah runtuh, atau bangunan runtuh. Orang ramai segera tampil menghulur bantuan dengan semangat perpaduan sejati.

 

Baru-baru ini, timbul kes di mana Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia membuat kenyataan di Dewan Negara, kononnya siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah tidak menduduki peperiksaan tetapi hanya berlakon untuk menjadi terkenal di YouTube.

 

Selain daripada guru dan pensyarahnya, netizen dari seluruh pelosok negara tampil memberi sokongan moral kepada gadis berkenaan yang ternyata menjadi mangsa buli dan fitnah. Insiden seperti ini menunjukkan bagaimana orang ramai sedia bangkit berjuang dan bersuara mewakili minoriti yang tertindas dan dibuli mana-mana pihak. Sekiranya dilihat secara positif, inilah nilai perpaduan yang merentas kaum, agama, dan latar belakang.

 

Pada saat seorang individu atau sekelompok masyarakat berdepan masalah, orang ramai segera tampil membantu. Foto dan video seperti inilah yang sepatutnya kita tularkan menerusi media sosial supaya mesej dan nilai kemanusiaan merentas kaum dan agama tersebar seluas-luasnya.

 

Malcolm Gladwell dalam buku sulungnya, The Tipping Point (2000), menghuraikan perubahan sosiologi yang boleh berlaku dalam kehidupan seharian menerusi tiga ejen perubahan atau tindakan-tindakan kecil yang mungkin selama ini dianggap tidak memberi sebarang kesan. Katanya, tindakan positif beberapa individu (orang awam) boleh menghasilkan gerombang perubahan yang amat besar dan tidak dijangka.

 

Malangnya, kita sering menyaksikan hal-hal negatif menjadi tular di media sosial, lalu menyemarakkan rasa benci dan mengeruhkan keadaan. Isu-isu perkauman dan memperlekeh agama terlalu kerap dipaparkan dan segera pula ditularkan oleh netizen.

 

Kita perlu sedar bahawa motif individu atau kelompok yang memaparkan mesej berunsur perkauman dan menghina agama adalah supaya agenda jahat itu tersebar luas dan memberi kesan kepada orang ramai. Tindakan kita berkongsi (share) sebenarnya menyumbang kepada kesan negatif yang diharapkan itu.

 

Mulai sekarang, jika ada paparan negatif berunsur perkauman dan menghina mana-mana agama di media sosial, ayuh kita sepakat untuk tidak sesekali menyebarkannya kepada orang lain. Kita gunakan “kuasa” di tangan kita untuk menamatkan penularan anasir jahat yang cuba menggugat perpaduan rakyat.

 

Sebaliknya, kita sebarkan dan kongsikan mesej-mesej positif berciri kemanusiaan yang menyumbang kepada perpaduan dan persefahaman antara kaum dan agama. Seperti kata Mahatma Gandhi, “jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini”.

 

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 6 September 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 12 September 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita BercintaUniknya Sastera KitaElakkan FobiaMalaysia Prihatin Satukan Kepelbagaian Melayu Sudah Hilang Jati Diri?Generasi Muda Tidak Lupa Onam”]