Orang ramai yang
hidup pada tahun 1970-an dan 80-an tentu masih ingat betapa indah kehidupan
penuh harmoni antara masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, budaya, dan latar
belakang.
Memang malang
apabila difikirkan bahawa keharmonian itu tergugat dan hilang sedikit demi
sedikit di depan mata tanpa kita sedari; lalu kita tidak sempat berbuat apa-apa
bagi menyelamatkan keadaan.
Natijahnya, jurang
antara kaum, etnik dan agama di negara bertuah ini semakin melebar apabila
dibandingkan dengan suasana pada masa lalu.
Tentulah mudah
untuk menuduh dan menyalahkan pihak itu dan pihak ini sebagai punca kepada
keruntuhan yang berlaku. Akan tetapi, tindakan seperti itu tidak akan membantu mengatasi
masalah dan membaiki keadaan.
Sebagai sebuah
negara bangsa yang mempunyai sejarah hubungan antara kaum sejak sebelum
serangan Portugis pada tahun 1511, tentulah lebih bijak dan lebih bermakna jika
kita berusaha memikirkan apa yang boleh kita lakukan pada hari ini untuk
memastikan kapal yang sama-sama kita naiki ini tidak tenggelam akibat
persengkataan sesama sendiri.
NILAI MURNI
Sebenarnya,
tindakan yang boleh kita ambil bukanlah sesuatu yang baharu atau perkara yang
menuntut sebarang perbelanjaan berbentuk wang. Sebaliknya, kita hanya perlu
meneroka kembali nilai-nilai murni dan norma hidup harmoni yang pernah menjadi
amalan harian; khususnya dalam kalangan generasi yang membesar pada tahun
1970-an dan 80-an.
Tak kenal maka tak
cinta. Frasa ini sering kita dengar dan ucapkan, tetapi malangnya kurang dihayati
dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Kita menyedari
hakikat bahawa interaksi dan komunikasi dengan rakan-rakan, jiran-tetangga, dan
rakan sekerja daripada kaum, agama, budaya, dan latar belakang yang berbeza
adalah amat sedikit.
Keadaan ini berlaku
sedikit demi sedikit tanpa kita sedari. Oleh kerana kita tidak mengenali
bahasa, budaya, dan cara hidup individu lain, maka kita memilih jalan mudah
dengan mengurangkan interaksi bersama mereka.
Pada fikiran kita,
tindakan yang dilakukan adalah jalan terbaik bagi mengelakkan sebarang
konfrantasi dan masalah yang tidak diingini.
Tanpa kita sedari,
hubungan semakin merenggang sehingga akhirnya kita menjadi orang asing sesama
sendiri, walaupun kita bekerja dan belajar di tempat yang sama atau tinggal di
kawasan perumahan yang sama.
Kekurangan
interaksi dan komunikasi menyebabkan kita terlepas peluang untuk saling
memahami dan mengenali budaya, amalan, hati budi, kebimbangan, harapan, dan
niat individu lain.
ZON SELESA
Situasi seperti ini
membawa pula kepada prejudis yang menghalang kita untuk menerima, menghormati,
dan bertolak-ansur dengan individu di luar daripada zon selesa, di mana kita
sudah terbiasa dikelilingi individu daripada kaum, agama, budaya, adat, dan latar
belakang yang sama.
Kedudukan kita yang
rapuh mungkin diburukkan pula oleh pihak luar yang ada kepentingan sendiri,
lalu sentiasa mahu memisahkan kita demi menjayakan agenda pecah dan perintah.
Walaupun kita
sebenarnya menyedari apa yang berlaku, kita seolah-olah membiarkan sahaja diri
kita hanyut dibawa arus deras yang terus memisahkan kita.
Pada waktu-waktu
tertentu, kita melihat kempen perpaduan, lalu kita menjadi teruja untuk kembali
menjalin silaturahim dengan masyarakat pelbagai
kaum dan agama di sekeliling.
PROPAGANDA
Malangnya,
kempen-kempen yang berciri propaganda tidak memiliki hayat yang panjang. Malah,
tidak menyumbang kepada perpaduan dan integrasi sebenar yang kita harapkan dan
rindui.
Lalu, apa yang
boleh kita lakukan? Sebenarnya, banyak perkara mudah yang boleh kita lakukan
secara individu bagi membantu memutikkan semula kasih sayang, perpaduan, dan
kehidupan harmoni tanpa mengira kaum, agama, perbezaan budaya, dan latar
belakang.
Setiap kali timbul
prejudis atas wasangka terhadap individu lain, ketahuilah bahawa itu usaha
kuasa luar yang cuba meneruskan tradisi pecah dan perintah.
Kita boleh
mengambil langkah mudah dengan berusaha mendekati dan mengenali individu lain
dengan niat ikhlas memahami mereka.
Ada satu cara mudah
yang boleh kita amalkan untuk memecah tembok yang semakin memisahkan kita
sebagai rakyat Malaysia.
Senyum adalah
amalan yang digalakkan dalam semua agama dan budaya. Malah, dalam ajaran Islam,
senyum adalah sedekah.
Maka, memandangkan
kita sepakat untuk berusaha mengurangkan jurang serta merapatkan silaturahim,
apa kata kita sama-sama melemparkan senyum manis dan senyum mesra kepada
sesiapa yang kita temui?
Tentulah sukar
sewaktu memakai pelitup muka. Maka, setiap kali kita menanggalkan pelitup muka,
marilah kita bertekad untuk “memakai” sepotong senyuman yang menyampaikan mesej
bahawa kita sudah bersedia membuang perkauman sejauh-jauhnya.
Ayuh, kita ambil
langkah pertama untuk membina sebuah negara bangsa yang mampu memupuk perpaduan
dan meraikan kepelbagaian.
[Rencana ini adalah
versi asal yang ditulis pada 8 Julai 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara
Budaya” di Utusan Malaysia pada 25
Julai 2020. ©
Uthaya Sankar SB]