30 Apr 2021

Kisah di Sebalik “Keling”

Baru-baru ini, muncul kembali isu istilah “Keling” yang ditemui dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Istilah berkenaan yang digunakan di bawah definisi bagi “tambi” sudah diubah kepada “India” dalam kamus versi dalam talian selenggaraan DBP susulan kritikan masyarakat.

Dalam konteks penggunaan di Malaysia, istilah itu membawa konotasi negatif dan bersifat menghina. Walau bagaimanapun, eloklah juga jika latar belakang komuniti yang dikenali sebagai “orang Keling” diketahui serba sedikit. Kita akan terkejut apabila menyedari sumbangan besar orang Keling kepada negara ini sejak zaman dahulu.

Kerajaan Keling (atau Kalinga) dinyatakan dalam epik Mahabharata dan juga Sejarah Melayu. Kedudukannya adalah meliputi wilayah (negeri) yang kini dikenali dengan nama Odisha, Chhattisgarh dan bahagian utara negeri Andra Pradesh. Maka, sebenarnya tiada kaitan secara langsung dengan komuniti Tamil yang berasal dari Tamil Nadu di bahagian selatan negara India.

Kerajaan Kalinga sebuah empayar besar dan hebat yang diketuai pemerintah menggunakan gelaran Kalingadhipati (Raja Kalinga). Antara dinasti yang pernah memerintah Kerajaan Kalinga ialah Maurya, Gupta, Mahameghavahana, Vasishtha, Mathara, Somavamshi, Gajapati dan Suryavansh. Antara ibu negerinya pada masa silam ialah Visakhapatnam, Puri, Jeypore dan Rayagada.

Secara mudah, Kalinga atau Keling adalah suatu rujukan yang sepatutnya dibanggakan kerana latar sejarah yang amat mengagumkan. Namun begitu, tentu ada sebab mengapa gelaran “Keling” kini membawa konotasi negatif dalam konteks penggunaan di Malaysia.

Untuk memahami secara lebih mendalam, kita wajar merujuk beberapa kisah yang disajikan dalam Sejarah Melayu. Misalnya, kisah Raja Kassim yang menggunakan gelaran Sultan Mudzaffar Shah selepas menjadi Sultan Melaka menggantikan abangnya, Seri Parameswara Dewa Shah (Raja Ibrahim). Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak menyedari hakikat bahawa Raja Kassim menjadi pelopor kepada jurai keturunan kerabat diraja keturunan India-Muslim (Keling) di Melaka, Perak dan Johor.

Kisah penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Baca pula  DBP Halang Bukan Islam Guna Tuhan]

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 15 April 2021 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 17 April 2021 © Uthaya Sankar SB]