[Rasa ingin tahu membawa dua remaja melakukan pengembaraan minda bagi meneroka sisi lain sebuah epik klasik dari India.]
Hussain sedang menelaah teks Razmnameh dalam Bahasa Parsi bersama-sama Hassan apabila dia menyedari betapa Mahabharata adalah sebuah epik yang amat kompleks dan sukar dihuraikan secara
terperinci dalam masa yang singkat. Tidak hairanlah datuk mereka turut menghadapi
masalah untuk menjelaskannya secara mendalam.
Vyasa selaku pengarang epik klasik India
ini ternyata menggunakan cerita berbingkai dan plot kompleks dalam menyampaikan
cerita yang menggabungkan unsur politik, agama, geografi, teknik perang, dharma, moral, falsafah, keluarga,
persahabatan, ketaatan dan ribuan topik lain dalam sebuah epik yang diperakui
sebagai teks puisi terpanjang di dunia.
Epik Mahabharata
pada asalnya ditulis dalam Bahasa Sanskrit pada sekitar kurun ke-5 Sebelum
Masehi dan kurun ke-2 Masehi. Ia mengisahkan perang saudara antara golongan Kauruva
(seramai seratus orang) dan golongan Pandava (seramai lima orang) berikutan
tindakan golongan Kauruva merampas kerajaan daripada golongan Pandava secara
tipu muslihat.
Namun begitu, sebagai permulaan kepada kisah
yang terbahagi kepada 18 parva
(bahagian) ini, Hassan dan Hussain mahu mengenali individu bernama Vyasa yang
bukan sahaja bertindak sebagai penggubah epik itu, malah turut tampil sebagai
salah satu watak penting di dalamnya. Hal ini boleh dibandingkan juga dengan
kehadiran Valmiki sebagai watak dan juga
penggubah sebuah lagi epik klasik Sanskrit iaitu Ramayana.
Satu lagi nama timangan bagi Vyasa ialah
Krishna. Bagaimanapun, nama itu adalah sempena kulitnya yang gelap dan bukan
merujuk kepada Dewa Krishna – yang kebetulan juga tampil sebagai satu lagi watak penting dalam Mahabharata.
Vyasa dikatakan anak kepada Satyavati dan
Parashara. Terdahulu, Satyavati bersuamikan Santanu dan salah seorang anak yang
lahir ialah Vichitravirya. Maka, Vyasa dan Vichitravirya merupakan adik-beradik
tiri; seibu tetapi berlainan bapa. Demikian Hussian dan Hassan pernah mendengar
cerita daripada datuk mereka.
Menurut kisah dalam Mahabharata, Vichitravirya berkahwin dengan pasangan adik-beradik,
Ambika dan Ambalika. Malangnya putera itu meninggal dunia akibat batuk kering.
Maka ibu mendiang, iaitu Satyavati, cuba memujuk Bhisma (anak tirinya) supaya
menggauli Ambika dan Ambalika demi meneruskan generasi Kuru.
Ya, kisah dan jurai keturunan dalam Mahabharata memang amat kompleks.
Satyavati bersuamikan Santanu sebelum mengahwini Parashara. Santanu pula
sebelum itu sudah mengahwini Gangga yang melahirkan Bhisma. Maka, Bhisma,
Vichitravirya dan Vyasa adalah adik-beradik tiri dalam suatu keluarga yang amat
kompleks.
Pasangan kembar Hassan dan Hussain terpaksa membuat rajah khas untuk
menggambarkan hubungan kekeluargaan keturunan Kuru supaya dapat mengikuti kisah
Mahabharata dengan lebih baik. – Bersambung [Maklumat di Sini]
[Uthaya Sankar SB sedang mengulang baca sedikit demi sedikit epik klasik Mahabharata sambil melakukan interpretasi supaya sesuai dengan zaman. Teks ini ditulis pada 3 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 7 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]