Saturday, 22 May 2010

Valmiki

Valmiki dikenali di seluruh dunia sebagai pengarang epik Ramayana. Beliau digelar “adikavi” iaitu “penyair sulung” manakala Ramayana digelar “adikavya” iaitu “puisi sulung”. Nama asal Valmiki dipercayai ialah Ratnakara.
.

Pada suatu hari, beliau mengikut bapanya, Prachetasa, seorang alim ke hutan. Ratnakara sesat lalu ditemui seorang pemburu. Maka, Ratnakara membesar dalam keluarga pemburu itu dan menjadi seorang perompak jalanan.

..

Suatu hari, dia didatangi Naratar, seorang alim yang menyedarkannya tentang perbuatan merompak adalah tidak baik. Ratnakara bertapa bertahun-tahun lamanya sehingga tubuhnya ditutup sarang semut (“valmika” dalam Bahasa Sanskrit).

.

Apabila akhirnya dia keluar, Ratnakara digelar Valmiki dan menjadi Bhramarishi, iaitu ketua orang alim. Valmiki memulakan ashramam iaitu tempat bagi orang-orang alim berkumpul. Di situlah Valmiki mendengar kisah mengenai Rama, Sita dan Laksamana.

.

Apabila Rama mencurigai kesetiaan dan kesuciaan Sita, dia dihantar ke ashramam yang dimiliki oleh Valmiki. Sita yang sedang mengandung, melahirkan Lava dan Kusa di situ.

.

Sementara itu, Valmiki menghasilkan epik Ramayana dalam bentuk puisi klasik Sanskrit, iaitu sloka. Apabila siap, sloka itu diajar kepada Lava dan Kusa. Suatu hari, Rama sendiri mendengar sloka itu dan menyedari kesilapannya menghalau Sita dari istana.

.

Walaupun maklumat lengkap Valmiki tidak diketahui, namun, sumbangan beliau dalam menghasilkan epik Ramayana yang kini tersebar ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa tetap dihargai.

..

Nota: Maklumat ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk sebuah ensiklopedia pelajar tetapi tidak diketahui sama ada ensiklopedia berkenaan sudah terbit.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!