Friday, 6 August 2010

Dialog Sasterawan Negara

Beberapa acara diadakan sempena Pelancaran Sudut Sasterawan Negara di SMK Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya pada 4 Ogos 2010. Acara berkenaan adalah Sesi Bersama Unit Akademik Karangkraf, Baca Puisi A Samad Said, Sudut Buku Penulis Malaysia dan Dialog Sasterawan Negara.
.

Bagi sesi Dialog Sasterawan Negara, saya bertugas sebagai moderator dan semasa bertemu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) dan Helmy Samad pada 3 Ogos 2010 [BACA DI SINI], saya sudah memaklumkan bahawa saya akan mengemukakan beberapa soalan spontan yang mungkin sensitif juga sifatnya.

.

Saya menjadi moderator semasa sesi Dialog Sasterawan Negara sempena Pesta Buku Selangor (Ogos 2009) dan saya memang maklum bahawa sebagai seorang seniman, sasterawan, negarawan, pemikir, pejuang bahasa dan anggota masyarakat, Pak Samad sentiasa bersikap terbuka dalam berkongsi pandangan, kritikan, keresahan, kebimbangan dan harapan terhadap pelbagai perkara/isu semasa.

.

Dialog dimulakan dengan pertanyaan mengenai sajak “Gagak Parit” yang diterjemahkan menjadi “The Dead Crow” serta dijadikan teks Komponen Sastera subjek Bahasa Inggeris Tingkatan Satu.

.

Kebetulan, sajak versi Bahasa Inggeris disampaikan pelajar Tingkatan 4 Matahari, Yau Hui Min. Menurut Pak Samad, sajak berkenaan ditulis berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap kehidupan manusia di sekeliling, gagak dan kerja-kerja meratakan bukit.

.

“Saya sekali pun tidak menyebut mengenai orang politik; apatah lagi baris Let the politicians plan how we may live with dignity, now and always,” kata Pak Samad. “Puisi asal saya sudah ditukar.”

.

Saya juga bertanya kepada Pak Samad mengenai teks Komponen Sastera (Komsas) pada masa akan datang, memandangkan teks-teks baru akan mula digunakan dalam masa terdekat.

.

Pak Samad melahirkan kegusaran mengenai apa yang berlaku dalam soal pemilihan teks Komsas di Malaysia. Secara perbandingan, di Amerika Syarikat, masyarakat kembali kepada novel-novel besar seperti To Kill A Mockingbird (1960).

.

“Visi kita masih dalam idealisme; belum terjadi. Insan seperti saya, Dr Lim Swee Tin dan Uthaya Sankar SB mengkhayalkan atau mempercayai bahawa sastera mampu menjadi tunggak atau akar bagi membisikkan suara-suara logis,” kata Pak Samad. “Kalau kita benar-benar mahu martabatkan bahasa kebangsaan dan sastera kebangsaan, pilihlah teks-teks yang layak dan terbukti. Anak-anak kita perlu didedahkan kepada hasil cipta yang waras, indah dan bervisi.”

.

Pak Samad juga berharap Kementerian Pelajaran akan bersikap bijak dengan mengangkat sekurang-kurangnya satu karya penting setiap Sasterawan Negara menjadi teks Komsas.

.

“Apa gunanya ada Sasterawan Negara kalau sekadar untuk memberi kemudahan penerbangan kelas pertama dan wad kelas pertama di hospital jika karya yang dihasilkan tidak dimanfaatkan?”

.

Pak Samad juga mengulas mengenai proses penciptaan sajak “Pada Tanah Yang Indah” di mana, menurut Aman Koh dari One Nusantara Sdn Bhd, sajak berkenaan diterjemahkan ke Mandarin oleh Suryadinata Leo, rakyat Indonesia berdarah Cina, kini menetap di Singapura dan mengajar di National University of Singapore (NUS), serta dideklamasikan dalam versi Mandarin oleh Nordiana Zulkifli pada acara Baca Puisi A Samad Said.

.

Demikian antara topik utama yang diperkatakan semasa Dialog Sasterawan Negara. Topik lain termasuk kejayaan dan kegagalan dalam hidup, dan nasihat kepada angkatan baru.

.

Pak Samad turut menyentuh mengenai fenomena orang Melayu menyalahkan “orang lain” sedangkan pihak yang menjatuhkan dan/atau menghalang kemajuan dan/atau merampas hak orang Melayu adalah orang Melayu sendiri.

.

Saya sendiri yang membawa Pak Samad dari Bangsar Utama ke Bandar Utama; dan sebaliknya. Maka, banyak juga topik politik dan non-politik yang sempat kami bualkan secara terbuka. Tidak semuanya dapat saya paparkan di sini kerana ramai yang akan “panas punggung” dan mula “melatah”.

.

Apa pun, mengenai penggunaan istilah “pendatang,” Pak Samad juga ternyata sependapat dengan saya.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!