Saturday, 31 July 2010

Siapa Pendatang?

Saya amat menyampah apabila sesiapa merujuk warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan “Lain-lain” sebagai “Pendatang” dan “Bangsa Asing”.

.

Ternyata kelompok yang menggunakan istilah berbentuk penghinaan itu tidak tahu membezakan antara “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” [BACA DI SINI] serta tidak tahu sejarah dan asal-usul masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


.

Sepatutnya kelompok seperti itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mampu menggugat keamanan negara dengan membawa unsur-unsur ekstremis dan perkauman melampau.


.

Saya biasa mendengar penggunaan istilah “Bangsa Asing” dan “Pendatang”; misalnya apabila kelompok tertentu (termasuk Badut Paul Lathic, tentunya) berkata, “Bangsa Asing dan Pendatang perlu menghormati bla bla bla ...” di mana istilah itu digunakan untuk merujuk pada mana-mana warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu”.


.


Saya juga amat menyampah apabila kelompok tertentu bercakap mengenai penduduk di Sabah dan Sarawak bagaikan kedua-dua negeri itu bukan sebahagian Malaysia!


.

Sering juga saya mendengar orang berkata, “Bangsa Asing dan Pendatang pun sudah pandai Bahasa Malaysia” di mana “bangsa asing” dan “pendatang” bukan merujuk kepada bangsa asing (bukan warganegara Malaysia) dan pendatang asing tetapi merujuk kepada sesiapa sahaja yang bukan “kaum Melayu” walaupun mereka adalah warganegara Malaysia yang berjiwa Bangsa Malaysia.


.

Saya yakin bahawa istilah “Pendatang” dan “Bangsa Asing” digunakan ke atas warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu” hanya oleh kelompok yang fanatik, penuh dengan kebencian, bersikap perkauman secara ekstrem serta menganggap dirinya sendiri adalah “pendatang” yang sedikit pun tidak berjiwa Bangsa Malaysia.


.

Maka, untuk menutup hakikat kelemahan diri itu, mulalah individu berkenaan melabel orang lain sebagai “Pendatang” dan “Bangsa Asing”; tidak ubah seperti kelompok yang Takut Bayang-bayang Sendiri dalam soal penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”.


.

Pada 26 Julai 2010, saya menyatakan begini pada ruangan status di Facebook: “Terkejut kerana masih ada kelompok tertentu yang merujuk pada warganegara Malaysia kaum India dan kaum Cina sebagai ‘bangsa asing’ dan ‘pendatang’.”


.

Status itu mendapat beberapa reaksi daripada rakan-rakan. Masing-masing memberikan pandangan, komen dan kritikan untuk manfaat bersama. Sekurang-kurangnya, ada ruang dan peluang untuk bersuara dan menyatakan pendirian.


.

Pada tarikh yang sama juga, saya memutuskan untuk mengambil langkah wajar sebagai protes terhadap penghinaan yang dilakukan melalui penggunaan istilah “Bangsa Asing” dan “Pendatang”.


.

[Tindakan tegas demi kebenaran bukan perkara baru bagi saya. Misalnya, berhubung istilah Bahasa Malaysia – BACA DI SINI – dan penggunaan bahasa yang betul – BACA DI SINI – apabila berkomunikasi bersama saya di Facebook.]


.

Keputusan saya adalah seperti berikut; sebagaimana saya paparkan pada ruangan status di Facebook pada 26 Julai 2010:


.

“Sesiapa yang berpendirian bahawa warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan ‘lain-lain’ sebagai ‘Pendatang’ dan ‘Bangsa Asing’ tolong segera klik REMOVE FROM FRIENDS kerana saya tidak layak menjadi sahabat anda. Teruskanlah hidup anda yang penuh kepura-puraan.”


.

Dalam masa tidak sampai 24 jam, dua individu berbuat demikian. Terima kasih, Tuhan, kerana menyelamatkan saya daripada terus berkawan dengan puak ekstremis yang menggugat keamanan negara!


.

Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani menyuarakan kebenaran; seperti kata Mahatma Gandhi. Beliau juga berkata: Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.


.


CATATAN: Sebuah faksyen berjudul "Pulau Pendatang" boleh dibaca DI SINI, faksyen berjudul "Anak-anak Pulau Cinta" boleh dibaca DI SINI dan faksyen berjudul "Wanita Farsa" boleh dibaca DI SINI manakala maklumat mengenai kejadian sebenar di Kulaijaya pada 12 Ogos 2010 boleh dibaca DI SINI. Sesiapa yang "terasa" bolehlah membaca penjelasan DI SINI. Baca juga Pendatang: Dulu & Kini serta Siapa Sebenarnya Paria?

5 comments:

  1. Tuan Uthaya,
    Jangan salahkan mereka kerana mereka hanya meluahkan apa yang benar berlaku di sekililing mereka. Orang seperti tuan jika berada di keliling orang Melayu, mereka akan menggelar tuan sebagai 'orang kita'. Itu psiki masyarakat Melayu. Tetapi bagi sesetengah orang yang dilahirkan di sini, tempat tumpah darahnya di sini tetapi masih mahu hidup terasing dari kelompok masyarakat Malaysia, tidak mampu hatta untuk berbahasa Melayu dengan baik dan hanya mahu memikirkan tentang diri sendiri dan mengasingkan diri di dalam kelompok mereka sahaja, mereka inilah yang digelar orang asing, bangsa asing dan segala yang asing kerana mereka sendiri yang menasingkan diri dari arus masyarakat.
    Lihat sekeliling tuan, apakah benar apa yang saya utarakan ini? Perhatikan dengan mata, telinga dan minda yang terbuka keluar dan bukan ke dalam diri. Diri tuan tiada siapa pun pertikaikan, tetapi yang menjadi asing itu adalah orang-orang yang mahu mereka menjadi asing dari masyarakat Malaysia. Itu pilihan mereka dan itulah yang mereka raih melalui gelaran yang tidak enak tersebut.

    Maaf jika tersinggung tetapi setakat ini tuan masih saya anggap sebagai 'orang kita'..

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Skuad Penembak Anjing,

    Terima kasih kerana berkongsi pandangan. Untuk makluman, saya juga dianggap serta sering digelar "bangsa asing yang pandai cakap Melayu". Begitu juga label kepada anak-anak saya!

    Ya, saya setuju pandangan saudara bahawa mana-mana kelompok yang mengasingkan diri daripada rakyat Malaysia dan hanya memikirkan diri sendiri layak dianggap "bangsa asing" dan "pendatang". Mereka menganggap kelompok mereka sahaja yang betul dan seluruh galaksi berputar mengelilingi mereka!

    ReplyDelete
  3. It's not “conservative” or “liberal” to ask for an end to having politics, economic policy, education policy and everything and the kitchen sink determined by race. It's called growing up. - Tengku Razaleigh Hamzah (http://malaysia-today.net/archives/archives-2010/33488-we-were-once-malaysians)

    ReplyDelete
  4. Saya rasa mesti ramai yang tidak tahu asal usul Malaysia, dahulunya Malaysia merangkumi negara2 seperti Tanah Melayu,Thailand , Filipina etc, kesemua region ini dipanggil Malaysia.Penduduk asal tanah melayu (kini digelar malaysia) adalah org asli dan org bugis, kemudian br org melayu dtg dr indonesia setelah beberapa tahun dtg pula kaum india n china.Semua ini tercatat dlm buku sejarah yg ditulis sejarawan Britain ( my fren ada galeri buku2 lama) as hobby .Kita semua pendatang.Kes sama mcm di Australia mereka yg berkulit putih adalah cucu cicit banduan yg dibuang negeri tp kini mereka yg menguasai negara Australia.Apepun dunia ini sementara dan bukan hak sesiapa selain yg menciptakannya.Kejadian seperti racism mmg ada berlaku di Malaysia tp bukan semua yg amalkan .

    farezdaniel@yahoo.com

    ReplyDelete
  5. TO, UTHAYA SANKAR,
    Pandangan dan komen saudara sangat bernas.Saya sendiri merasakan kita tidak boleh menyalahkan semua orang kerana kesilapan segelintir manusia. Hal ini kerana segelintir manusia inilah menjadi racun kepada perpaduan yang kita telah mencapai dan memecahbelahkan masyarakat kita.....
    Kita harus berfikir secara mendalam dan kita janganlah mengulangi perkara-perkara yang boleh membawah kepada sejarah yang lalu berulang. Misalnya, dalam Sejarah Kedah, Pulau Pinang dikuasai oleh Inggeris kerana tiada perpaduan. Melaka ditawan oleh Portugis kerana tiada perpaduan.Jadi kita sebagai orang yang berpendidikan kita harus berpadu.Manakala "puak ekstrimis" itu kita anggap dari masyarakat Jahilliah.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!