6 Sept 2010

Anak-anak Pulau Cinta

Sebelum ini, bermula 7 Ogos 2010, saya menyiarkan faksyen “Pulau Pendatang” secara eksklusif di blog saya kerana saya sedia maklum bahawa tidak ada gunanya saya berusaha mengirim manuskrip itu ke mana-mana akhbar/majalah arus perdana.
..
Selepas ini, faksyen “Anak-anak Pulau Cinta” pula akan menyusul; juga secara eksklusif di blog saya.
.
Tanpa sedikit pun mempertikaikan kredibiliti mana-mana akhbar/majalah, saya memutuskan bahawa kedua-dua faksyen berkenaan paling afdal diterbitkan di blog saya sendiri. Mengikut undang-undang sedia ada, karya itu tetap terbit dan secara automatik, hak cipta karya itu sudah wujud.
.
Saya juga lebih “seronok” menerbitkannya secara bersiri di blog kerana memang dalam konsep begitulah manuskrip berkenaan dihasilkan; seperti yang sudah saya terangkan sebelum ini. [DI SINI]
.
Roslan Jomel menulis di blognya mengenai “Pulau Pendatang” pada 23 Ogos 2010: “Fakta difiksyenkan. Ia bukan kerja mudah. Anda perlu peka dengan sebarang berita dan pergolakan sesuatu isu besar. Kerana ia secara refleksi akan merangsang draf penulisan. Gaya sedemikian, seperti difahamkan, lebih menjangkau realiti semasa.” [BACA LAGI]
.
Perlu saya nyatakan bahawa faksyen “Pulau Pendatang” siap ditulis pada 1 Ogos 2010, sekali gus tidak ada kaitan dengan kenyataan Puan Hajah Siti Inshah Mastor di Kulaijaya, Johor pada 12 Ogos 2010. Saya juga tidak pasti sama ada beliau berpeluang membaca “Pulau Pendatang” sebelum menyediakan ‘skrip’ bagi acara di sekolah beliau.
.
Faksyen “Anak-anak Pulau Cinta” bukan sambungan kepada “Pulau Pendatang”. Manuskrip “Anak-anak Pulau Cinta” saya hasilkan pada 20 dan 23 Ogos 2010 di mana setiap bahagian panjangnya 3 halaman A4, ditaip langkau dua.
.
Senarai beberapa cerpen lain yang turut menggunakan latar Pulau Cinta boleh dirujuk DI SINI manakala maklumat Baca Cerpen Pulau Cinta boleh dirujuk DI SINI.
.
Sekadar makluman, watak Mahabali III dalam faksyen “Pulau Pendatang” dan “Anak-anak Pulau Cinta” adalah anak kepada watak Mahabali yang dinyatakan dalam “Onam di Pulau Cinta”.
.
Sebagaimana faksyen “Pulau Pendatang”, karya terbaru ini juga bersandar kepada “hak penulis untuk berkreatif” seperti diberikan kepada Datuk Chamil Wariya dan disokong penuh oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena) pada 2008.
.
Kalaulah faksyen “Pulau Pendatang” mungkin dianggap memberi ‘inspirasi’ kepada Puan Hajah Siti Inshah Mastor, tidak mustahil ketokohan beliau sebagai ‘pengetua mithali’ mampu pula memberi inspirasi kepada anak-anak di Pulau Cinta!
.
Pelbagai perkembangan di Malaysia juga menjadi rujukan kepada sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak di Pulau Cinta.
.
Bahagian pertama faksyen “Anak-anak Pulau Cinta” boleh dibaca di blog saya pada 7 September 2010. Baca teks penuh dalam buku Pulau Pendatang (2015).
..
Nota: Kesemua foto yang dipaparkan hanya hiasan dan diambil dari Internet.