Nama Rabia Abdul Salam, puteri olahraga jarak sederhana,
muncul dalam cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah”.
Cerpen berkenaan menang tempat kedua Hadiah
Cerpen Esso-Gapena (1996) serta disiarkan di Dewan Sastera (November 1997), sebelum turut dimuatkan dalam buku Nayagi (2000) dan Rudra Avatara (2008).
Pada waktu itu [tengah hari], saya belum tahu akan berita kematian Rabia Salam yang dilaporkan akhbar-akhbar utama pada hari berkenaan.
Sekitar pukul 10:00 malam, saya pulang ke
rumah tumpangan. Baru kini saya mendapat tahu akan berita kematian Rabia Salam.
Kisah dalam petikan di atas berlaku pada hari Sabtu, 26
Februari 1994 – tarikh sebuah kereta yang terbabas di lebuh raya melanggar
saya, sehingga menyebabkan saya mengalami kecacatan kekal (wrist drop) pada tangan kiri - baca di sini.
Berbalik kepada Rabia Salam, majalah Dewan Siswa (Februari 1993) mengangkatnya sebagai “Bakal Ratu Trek
Asia”.
Olahragawati berkenaan yang lahir pada 5 November 1973 dan pada mulanya dilatih oleh S. Ramachandren, telah membantu
Malaysia meraih pingat Sukan SEA di Manila (1991) dan Singapura (1993), serta
mencatatkan rekod baharu kebangsaan (52.56 saat) bagi acara 400 meter pada
Disember 1993 di Manila.
Rekod itu dahulu dipegang oleh rakan sepasukan, Josephine Mary (52.65 saat).
Malah, rekod kebangsaan bagi acara 4 x 400 meter (3:35:83) yang
dicipta oleh Rabia Salam, Josephine
Mary, R. Shanti dan G. Shanti di Singapura pada Jun 1993 - [VIDEO DI SINI] - masih belum mampu dipecahkan atlet baharu.
Sering juga saya mendengar kisah
kehebatan mereka daripada abang saya, Siva Sankar yang juga seorang atlet pada
masa itu. [Rekod 100 meter ciptaan G. Shanti pada 1993 dipecahkan pada 2017 - BACA DI SINI] - [Video Pencapaian G. Shanti]
Sayangnya, akhbar-akhbar arus perdana pada 26 Februari 1994
melaporkan pemergian Rabia Salam. Atlet kelahiran Kampung Paya Terubong, Air
Itam, Pulau Pinang itu dilaporkan mengadu sakit perut sekitar 9:00 malam, 24
Februari 1994; lalu dibawa oleh jurulatih, C. Ramanathan, ke Hospital Kajang.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi. Tetapi kematian Rabia
menimbulkan misteri kerana atlet berpotensi sepertinya meninggal dunia dalam
keadaan begini,” komen Mumtaz Jaafar (Datuk Paduka) di sebuah
akhbar pada 26 Februari 1994.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan waktu itu, Abdul
Ghani Othman melahirkan rasa terkejut dan sedih, serta mengarahkan Majlis Sukan
Negara (MSN) menjalankan siasatan hingga ke akar umbi untuk mengetahui punca
sebenar kematian Rabia Salam.
Hampir sebulan selepas pemergian Rabia Salam, mesyuarat khas
Majlis Kesatuan Olahraga Amatur Kebangsaan (KOAM) menggantung keahlian C.
Ramanathan ekoran dakwaan berlakunya kes pencabulan dan meramas buah dada atlet
wanita pada tahun 1992.
Kementerian Belia dan Sukan menubuhkan jawatankuasa
penyiasat untuk menjalankan siasatan kes itu; berikutan pendedahan akhbar Malay Mail pada 8 Mac 1994.
Menurut laporan akhbar pada 16 April 1994, Rahim Noor
mengesahkan Bukit Aman sudah menerima laporan lengkap bedah siasat daripada
pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL). Katanya, polis akan mengemukakan
cadangan kepada Peguam Negara supaya siasatan dilakukan di Mahkamah Koroner.
Dalam Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 25 April 1994,
direkodkan pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kota Setar, Wan Hanafiah Wan Mat
Saman meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan adakah penggantungan
perkhidmatan jurulatih C. Ramanathan mempunyai kaitan dengan kematian atlet
kebangsaan Rabia Salam.
Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk
Ismail Said dilaporkan berkata, “Dakwaan terhadap kes Rabia Salam adalah masih
lagi dalam pengendalian pihak berkuasa polis.”
Kisah misteri kematian Rabia Salam seolah-olah disenyapkan –
dilupakan? – selepas itu. Namanya hanya muncul sebagai iringan semasa
perbicaraan kes C. Ramanathan; atau apabila ada atlet muda wanita atau anak atlet veteran menyatakan hasrat
memecah rekod kebangsaan acara 400 meter yang dipegang oleh Rabia Salam sejak
1993.
Artikel penuh boleh dibaca dalam kumpulan esei Suvarna Bhumi (2022).
Mencari
kenalan dan keluarga Rabia Salam
25 Februari 2024 — Genap 30 tahun
Rabia Salam meninggal dunia.
Punca sebenar kematiannya masih kekal misteri.
“Atlet kebangsaan Malaysia, Rabia
Abdul Salam, yang meninggal dunia Februari lalu, disahkan membunuh diri.
Mahkamah Koroner semalam memutuskan Rabia, 20 tahun, meninggal dunia akibat
keracunan asid salicylic daripada minyak gosok (minyak kuda) yang diminumnya.” — Berita Harian (14 Januari 1995)
Saya berharap dapat berbual dengan
kenalan dan keluarga arwah — yang masih “hidup, bernyawa, dan sanggup buka
mulut”.
Mungkin tidak ada yang “berani”
dedah punca kematian.
Sekurang-kurangnya, sudi bercerita
tentang peribadi, kehebatan, keistimewaan, dan kenangan bersama Rabia Salam
sebagai seorang remaja dan atlet muda.
Untuk dokumentasi menjelang 30
tahun pemergian Rabia Salam.
Jika anda sudi — dan berani — sila hubungi
saya menerusi WhatsApp 011-11411952 (Uthaya).
Sama-sama kita cuba bantu “atma”
mendiang mencapai “moksha”.