Cerita ini tidak bermula di sini. Ia bermula jauh
lebih awal—atau mungkin lebih lewat—bergantung kepada bagaimana seseorang
mentafsir masa. Seperti seorang pakar psikologi forensik yang memerhati garis
masa trauma, cuba memisahkan memori primer daripada rekaan minda yang terpecah.
Lampu pentas di Pusat Komuniti Prashamsaneeji
menyala seperti saksi bisu yang sudah terlalu lama menyimpan rahsia. Cahaya
kuning bergetar halus, seolah-olah ragu sama ada mahu menyingkap atau terus
melindungi.
Di barisan kerusi plastik yang berderet seperti
barisan saksi di mahkamah rendah, penonton mula memenuhi ruang dengan desiran
bisik-bisik yang menyerupai hujah pembelaan: tidak pernah lengkap tetapi cukup
untuk menangguhkan kebenaran.
Di belakang tirai, para pelakon mengulang skrip
dengan suara perlahan, seolah-olah setiap dialog adalah affidavit yang harus
ditandatangani oleh jiwa mereka sendiri sebelum dipersembahkan kepada khalayak.
Dalam satu adegan yang belum berlaku, seorang
kanak-kanak (atau bayangan seorang kanak-kanak) berdiri di tengah pentas,
memegang belon merah yang tidak pernah dilepaskan.
Belon itu, menurut skrip, melambangkan “hak yang
belum dituntut”. Namun, penonton yang peka akan melihatnya sebagai bukti Eksibit
A iaitu sesuatu yang ringan tetapi sarat dengan makna yang tidak boleh dibawa
ke mahkamah kerana terlalu halus untuk difailkan.
Pengarah produksi, seorang lelaki berwajah tenang dan
mata sentiasa menilai seperti hakim keletihan, sering mengulang satu arahan:
“Jangan tunjukkan. Biarkan mereka faham.”
Maka, para pelakon bergerak dalam koreografi yang
disengajakan kabur. Watak lelaki dewasa memakai topeng badut, ketawa terlalu
kuat, seolah-olah cuba menenggelamkan suara dalaman yang berbisik tentang mens rea; niat yang tidak pernah diakui tetapi
sentiasa hadir.
Di sisi pentas, seorang wanita memegang buku
undang-undang tebal. Dia membacakan istilah seperti “liabiliti jenayah”,
“perlindungan saksi”, dan “ketidakbolehterimaan bukti sekunder”. Tetapi setiap
kali dia cuba menyebut sesuatu secara lebih spesifik, muzik latar akan
meningkat, lalu menenggelamkan kata-katanya dalam alunan tabla dan biola yang
sengaja sumbang.
Dalam satu adegan yang kelihatan seperti komedi
slapstik, sekumpulan pelakon menari dengan kasut terlalu besar, terjatuh dan
bangun semula, mengundang tawa penonton.
Namun, jika diperhatikan dengan teliti, setiap
jatuh itu berlaku apabila satu watak kecil cuba melangkah ke hadapan.
Seolah-olah lantai pentas itu sendiri (yang sepatutnya neutral seperti mahkamah)
sudah dimanipulasi tangan-tangan yang tidak kelihatan.
“Ini hanya lakonan,” kata seorang pelakon sambil
tersenyum, tetapi suaranya bergetar seperti saksi yang tahu bahawa pemeriksaan
balas bakal membongkar sesuatu yang tidak pernah ingin didedahkan.
Penceritaan bergerak ke belakang—atau mungkin ke
sisi—lalu memperlihatkan sesi latihan pertama. Seorang jurulatih lakonan
memperkenalkan konsep “represi” dan “disosiasi”. Dia menjelaskan bagaimana
minda manusia kadangkala mencipta pentas sendiri untuk menyembunyikan kebenaran.
“Kamu bukan sekadar berlakon,” katanya, “kamu
sedang membina mekanisme pertahanan.”
Seorang pelakon muda mengangguk tetapi matanya
kosong serupa fail kes yang telah ditutup tanpa penyelesaian.
Dalam catatan skrip pula terdapat nota kaki: Simbolisme
diperlukan. Elakkan representasi literal. Lindungi sensitiviti tetapi jangan
hapuskan realiti.
Nota itu ditulis dengan tulisan tangan yang
tergesa-gesa, seolah-olah penulisnya sendiri takut untuk mengakui apa yang cuba
disampaikan.
Kembali ke pentas utama, adegan berubah menjadi
seperti perbicaraan, tetapi tanpa hakim. Kerusi kosong di tengah pentas
melambangkan autoriti yang tidak hadir—atau sengaja tidak mahu hadir.
Watak-watak bergilir-gilir memberi “testimoni”
tetapi bahasa mereka penuh metafora: Taman yang diinjak, bunga yang dipetik
sebelum waktunya, cermin yang retak tetapi masih memantulkan wajah yang
tersenyum. … (bersambung)
Cerpen seterusnya: Rawan: The Untold Story
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip
cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB.
Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media
sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
