Di hujung lorong yang sempit, seorang wanita
berdiri dalam kebimbangan yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Dia
memegang telefon bimbit dengan tangan menggeletar.
“Kalau mahu dia kembali, sediakan wangnya. Jangan
cuba menjadi wira.”
Itu sahaja yang diulang berkali-kali, seperti
mantera yang mematikan nadi.
Grace
Chong yang sudah lama kehilangan keupayaan untuk menangis
secara normal, tiba-tiba mendapati air mata mengalir tanpa izin. Dia tidak tahu
bagaimana untuk menjelaskan kepada sesiapa—polis, jiran, atau diri
sendiri—bahawa seorang kanak-kanak telah “diambil” daripadanya tanpa sebarang
jejak, tanpa jeritan, tanpa saksi.
Hanya sebuah ketiadaan yang begitu padat dan menekan
sehingga terasa lebih berat daripada sebuah kehadiran.
Di bilik kecilnya, dinding penuh dengan lukisan krayon—matahari
berwarna hijau, awan merah jambu, rumah yang senget tetapi penuh kasih.
Segala-galanya terhenti pada satu tarikh. Sejak hari itu, Grace Chong hidup
dalam lingkaran masa yang tidak bergerak.
Dan kini, suara asing itu datang seperti badai,
mengoyakkan keheningan yang telah lama dibina dengan susah payah.
“Jangan hubungi sesiapa. Kami tahu setiap langkah
kamu.”
Dia menelan liur. Bagaimana mereka tahu? Bagaimana
mereka boleh tahu tentang sesuatu yang sepatutnya sudah selesai; sudah
diserahkan kepada takdir, sudah …
Grace Chong tidak berani menyebut perkataan itu.
Tidak kepada dirinya, tidak kepada sesiapa.
Di luar, hujan semakin lebat, seolah-olah langit
sendiri cuba memadam jejak sesuatu yang tidak patut wujud.
Wanita berumur tiga puluh enam tahun itu duduk di
lantai, memeluk tubuh sendiri, dan buat pertama kali sejak sekian lama, berasa
seolah-olah kehilangan itu masih hidup—masih boleh dirampas, masih boleh
dijadikan tebusan.
Dan dalam bayang-bayang bandar Taiping yang
sentiasa basah, sesuatu sedang bergerak—senyap, teratur, dan penuh niat yang
tidak dapat difahami.
* * *
Di sebuah rumah
besar yang sudah kehilangan bau keluarga di Assam Kumbang, seorang lelaki tua pernah
duduk di kerusi roda, memandang ke arah taman yang tidak lagi dijaga.
Anak-anaknya datang sesekali, membawa buah tangan yang tidak pernah disentuh,
dan pulang dengan rasa bersalah yang mereka cuba sembunyikan di sebalik senyuman
palsu.
Malam itu, telefon berdering di Kota Damansara.
“Kalau mahu dia selamat, ikut arahan kami.”
Suara itu tidak tergesa-gesa. Tidak meninggi.
Tetapi ternyata ada sesuatu yang lebih menakutkan daripada sebuah ancaman. Ketenangan
yang mutlak seperti seseorang yang sudah biasa melakukan perkara ini
berkali-kali.
Anak sulung kepada lelaki tua terbabit memandang
adiknya, mata mereka bertemu dalam satu bahasa yang tidak perlu diterjemahkan: Ketakutan.
“Bapa awak ada dengan kami. Jangan risau,” kata
suara itu lagi, seolah-olah memahami keperluan manusia untuk diyakinkan
walaupun dalam keadaan yang paling tidak masuk akal.
Tetapi bagaimana mungkin? Baru dua minggu lalu, Thye Cheong dan Thye Fong menziarahnya di Pokok Assam, Taiping. Bapa mereka tidak
mungkin pergi ke mana-mana. Dia tidak mungkin …
“Bukti?” soal si anak sulung, suaranya pecah di
hujung kata.
Ada jeda seketika, kemudian bunyi sesuatu
digerakkan—seperti kerusi diseret, atau pintu dibuka perlahan. Dan kemudian, satu
bunyi yang tidak dapat dipastikan—mungkin bekas tembaga diketuk, mungkin gema
ruang kosong.
Kemudian, sekeping foto diterima menerusi WhatsApp.
“Itu sudah cukup?” tanya suara di talian.
Tidak, itu tidak cukup. Itu tidak menjawab apa-apa.
Itu hanya membuka lebih banyak ruang untuk ketakutan tumbuh dan menjalar.
Malam itu, rumah agam di Kota
Damansara menjadi terlalu besar. Setiap sudut seperti menyimpan rahsia, setiap
bayang seperti menyembunyikan sesuatu yang hilang. … (bersambung)
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip
cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB.
Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media
sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
