Saya masih ingat wajah pemuda itu ketika kami bertemu
di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Dia datang bersendirian, memakai kemeja
gelap dan membawa sebuah fail lusuh yang sudah berkali-kali dibuka dan ditutup.
Pada mulanya, dia kelihatan tenang. Namun, sebaik mula
bercerita, saya dapat melihat sendiri bagaimana nada suaranya berubah-ubah
antara kecewa, marah, sedih, menyesal dan benci terhadap situasi yang dirasakan
tidak pernah akan berakhir.
“Saya masuk islam sebab mahu kahwin,” katanya
perlahan sambil memandang ke arah luar tingkap. “Bukan sebab saya percaya.
Bukan sebab saya faham. Saya cuma fikir itu prosedur.”
Untuk menjaga identiti dan privasi individu
terbabit, saya merujuknya sebagai “Vijay” (sempena pelakon Kollywood yang juga “sahabat” Anwar Ibrahim). Kisah yang
diceritakan oleh Vijay kepada saya bukan kisah baharu di Malaysia.
Malah, sudah terlalu banyak kes hampir serupa
berlaku sejak puluhan tahun lalu. Bezanya, ramai memilih diam kerana takut
dipulau keluarga, diancam masyarakat, hilang pekerjaan, atau berdepan tekanan
daripada pelbagai pihak.
[Baca juga — Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur]
Vijay berasal daripada keluarga Hindu yang
sederhana. Dia membesar dengan budaya India yang kuat, menghadiri upacara
keagamaan bersama keluarga, dan menganggap agama sebagai sebahagian daripada
identiti budaya.
Namun, ketika bercinta dengan seorang wanita muslim
sekitar dua puluh tahun lalu, dia diberitahu
bahawa satu-satunya jalan untuk berkahwin secara sah di Malaysia adalah dengan
memeluk islam.
“Saya fikir masa itu, agama hanya atas kertas,”
katanya. “Saya ingat selepas kahwin, saya masih boleh hidup macam biasa. Itu
juga dikatakan bakal isteri saya masa itu. Saya tak tahu saya sebenarnya sedang
masuk ke dalam satu sistem yang susah untuk keluar.”
Ayat terakhir itu diucapkan dengan nada penuh
kesal.
Ramai orang Bukan Islam di Malaysia masih gagal
memahami hakikat ini. Mereka menganggap pertukaran agama semata-mata urusan
formaliti demi perkahwinan. Ada yang percaya bahawa agama boleh ditukar seperti
menukar nama dalam kad pengenalan. Malangnya, realiti undang-undang dan
birokrasi di Malaysia jauh lebih rumit.
Sebaik sahaja seseorang memeluk islam, status itu
bukan lagi sekadar urusan peribadi. Ia melibatkan pelbagai institusi agama,
prosedur mahkamah syariah, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), urusan
keluarga, pewarisan, pengebumian, dan pelbagai lagi aspek kehidupan.
Dalam banyak keadaan, keluar daripada Islam atau murtad bukan
sesuatu yang mudah dilakukan, khususnya bagi mereka yang masuk islam hanya
untuk berkahwin tetapi kemudian mahu kembali kepada agama asal.
Vijay mengaku bahawa perkahwinannya tidak bertahan
lama. Selepas dua tahun, hubungan itu runtuh akibat pelbagai konflik dalaman.
Apabila perceraian berlaku, dia mula cuba mendapatkan semula identiti asalnya.
“Itulah masa saya sedar hidup saya sudah rosak,”
katanya sambil ketawa kecil yang kedengaran amat pahit. “Saya pergi sana sini.
Semua orang suruh tunggu. Semua orang suruh ikut prosedur. Ada yang cakap saya
perlu kaunseling agama dulu. Ada yang anggap saya penjenayah.”
Dia menggeleng perlahan.
“Saya tak pernah rasa diri saya muslim. Dari hari
pertama lagi. Tapi atas kertas, undang-undang kata saya muslim.”
Saya mendengar tanpa memotong percakapannya.
Sebagai penulis, saya sedar bahawa tugas saya bukan menjadi hakim. Saya hanya
mendengar dan mencatat. Namun, pada masa sama, saya juga sedar bahawa
masyarakat Bukan Islam perlu didedahkan kepada realiti yang sering
disembunyikan di sebalik slogan harmoni dan toleransi.
Di Malaysia, isu keluar islam atau murtad bukan
sekadar persoalan spiritual. Ia menjadi isu undang-undang, politik, dan sosial
yang sangat sensitif. Kes Lina Joy, misalnya, pernah menggemparkan negara
apabila wanita itu berusaha membuang perkataan “islam” daripada kad pengenalan
selepas memeluk agama Kristian. Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa urusan
keluar islam berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Kes itu membuka mata ramai pihak tentang betapa
rumitnya proses meninggalkan islam di Malaysia. Bagi individu seperti Vijay
yang masuk islam semata-mata kerana mahu berkahwin, realiti tersebut menjadi
satu perangkap yang tidak pernah dibayangkan.
“Saya menyesal setiap hari,” katanya terus terang.
“Kalau masa boleh diputar balik, saya rela putus cinta daripada hilang identiti
sendiri.”
Dia kemudian membuka fail yang dibawa. Di dalamnya
terdapat salinan dokumen, surat-menyurat, dan pelbagai rekod berkaitan urusan
dengan pihak berkuasa. Saya melihat sendiri bagaimana seorang lelaki kaum India
yang pada asalnya hanya mahu berkahwin dengan wanita pilihan, akhirnya terpaksa
berdepan birokrasi yang memakan masa lebih sedekad—dan masih berterusan.
“Ada masa saya rasa marah sangat,” katanya. “Marah
pada diri sendiri. Marah pada sistem. Marah sebab orang tak faham apa yang saya
lalui.”
Saya percaya, sebahagian besar masyarakat Bukan
Muslim di Malaysia tidak pernah benar-benar memahami implikasi sebenar apabila
seseorang memeluk islam. Mereka hanya melihat majlis akad nikah, gambar
pengantin, dan ucapan tahniah di media sosial.
Mereka tidak melihat kemungkinan konflik identiti
yang muncul kemudian. Mereka tidak melihat trauma psikologi apabila seseorang
merasakan dirinya dipaksa memikul identiti agama yang tidak pernah diyakini.
Lebih menyedihkan, ramai juga yang memilih untuk
menutup mulut kerana takut dituduh menghina agama. Akibatnya, generasi muda
terus memasuki situasi sama tanpa pengetahuan mencukupi.
Vijay mengaku bahawa dia kini hidup dalam keadaan
penuh tekanan.
“Saya rasa macam terperangkap,” katanya perlahan.
“Bila tengok kad pengenalan, saya rasa benci. Sebab itu bukan diri saya.”
Ayat itu diucapkan dengan mata yang mula berkaca.
Dia memberitahu bahawa keluarganya juga mengalami
tekanan emosi. Ada ahli keluarga yang menyalahkan dirinya kerana terlalu
mengikut perasaan ketika bercinta dahulu. Ada pula yang berasa sedih kerana
kehilangan seorang anak yang dibesarkan dalam tradisi Hindu.
Dalam masyarakat India di Malaysia, agama selalunya
bukan sekadar soal kepercayaan individu. Agama berkait rapat dengan budaya,
keluarga, bahasa, ritual, dan identiti komuniti. Sebab itulah ramai ibu bapa
berasa sangat bimbang apabila anak-anak mereka bercadang memeluk islam demi cinta
dan perkahwinan.
Malangnya, nasihat ibu bapa sering dianggap kolot
atau terlalu emosional. Anak-anak muda pula percaya cinta mampu menyelesaikan
segala-galanya. Hakikatnya, cinta mungkin boleh berubah dalam beberapa tahun
tetapi implikasi pertukaran agama boleh kekal sepanjang hayat.
“Di mahkamah, saya sudah kemukakan cukup banyak
bukti untuk menunjukkan saya mengamalkan agama asal dan tidak pernah
mengamalkan ajaran islam. Empat saksi dipanggil untuk menyokong kenyataan saya.”
Vijay menunjukkan salinan dokumen dan foto yang
tersusun kemas dalam fail.
“Bukti foto dan video juga ditunjukkan di mana saya
pergi ke kuil Hindu, menyembah berhala dewa, terlibat dalam upacara Hindu, sentiasa
meletak vibuthi pada dahi, mengambil kavadi sempena Thaipusam, makan babi,
minum arak, dan sebagainya.”
Malah, Vijay akur pada arahan mengikuti sesi
kaunseling dan runding cara sebanyak dua belas sesi sebagai proses istitabah
atau peluang untuk bertaubat. Sesi itu langsung tidak membantu, sebaliknya
menguatkan lagi niatnya untuk mengisytiharkan dirinya bukan lagi orang islam.
Saya teringat bagaimana Vijay memandang tepat ke
arah saya sebelum kami berpisah.
“Tolong tulis tentang perkara ini,” katanya. “Biar
orang Bukan Islam tahu risiko sebenar. Jangan jadi macam saya.”
Permintaan itu sangat jelas. Esei ini bukan
bertujuan menghina mana-mana agama. Sebaliknya, tulisan ini mahu mengingatkan
masyarakat Bukan Islam supaya memahami realiti undang-undang dan implikasi sosial
sebelum membuat keputusan besar dalam hidup.
Masuk islam demi perkahwinan bukan keputusan kecil.
Ia bukan sekadar menukar nama atau menghafaz beberapa lafaz. Ia melibatkan
identiti, undang-undang, keluarga, masa depan anak-anak, dan hak individu.
Ramai orang hanya sedar hakikat ini apabila
semuanya sudah terlambat.
Kisah Vijay hanyalah satu daripada banyak kisah
yang jarang didedahkan secara terbuka. Ada yang terus hidup berpura-pura
sebagai muslim walaupun tidak lagi berpegang dan tidak lagi percaya pada agama
islam secara perkataan, perbuatan, dan iktikad.
Ada yang berhijrah ke luar negara demi mendapatkan
kebebasan identiti. Ada yang mengalami tekanan mental bertahun-tahun. Ada juga
yang memilih untuk terus diam kerana tidak sanggup berdepan stigma masyarakat.
Akhrinya, apabila ereka meninggal dunia, jenazah menjadi rebutan.
Menurut statistik Jabatan Perdana Menteri, Mahkamah
Syariah di seluruh negara menerima sejumlah 863 kes permohonan menukar status
agama islam dari tahun 2000 hingga 2010. Daripada jumlah itu, hanya 135
permohonan diluluskan. Di negeri Selangor sendiri, sejumlah 99 permohonan
diterima sepanjang tempoh itu dan tidak ada satu pun diluluskan. Kes Vijay termasuk
dalam statistik itu.
Sebelum kami berpisah, Vijay berkata sesuatu yang
masih terngiang-ngiang dalam telinga dan fikiran saya.
“Saya tak perlukan orang simpati,” katanya. “Saya
cuma mahu hidup sebagai diri sendiri.”
Barangkali itulah tragedi paling besar dalam kisah
seperti ini. Seorang manusia dewasa yang mahu menentukan identiti dan
kepercayaannya sendiri akhirnya terpaksa hidup dalam ketakutan, kekeliruan, kebencian,
dan penyesalan berpanjangan.
Masyarakat Bukan Islam di Malaysia perlu belajar
daripada kisah-kisah seperti ini. Cinta tidak sepatutnya memaksa seseorang
menyerahkan identiti dan kebebasan hati nurani.
Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan
kedudukan istimewa islam, manakala Perkara 11 (1) menjamin hak setiap individu
untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, tertakluk kepada sekatan
tertentu, khususnya larangan penyebaran agama lain kepada orang islam.
Jika keputusan memeluk islam dibuat semata-mata
kerana mahu berkahwin, tanpa kefahaman mendalam dan keyakinan sebenar,
kemungkinan besar individu terbabit sedang melangkah ke arah satu konflik hidup
yang amat berat dan tanpa penghujung.
Dan apabila pintu itu sudah dimasuki, jalan untuk
keluar mungkin tidak lagi semudah yang disangka.
[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam.
© Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda
meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
