12 Aug 2018

Biodata Uthaya Sankar SB

Uthaya Sankar SB ternyata penulis Malaysia yang paling dibenci pelbagai pihak atas pelbagai sebab, khususnya lantaran kelantangan bersuara dan melawan arus demi menegakkan kebenaran (dharma).

[English -- HERE]

Sewaktu Uthaya mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mendesak novel Interlok: Edisi Murid (2010) dimurnikan dan dicetak semula dengan wajib meletakkan nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain pada kulit buku, beliau menjadi individu yang dibenci kerana tidak tunduk kepada desakan dan pujukan pihak tertentu.

Pada November 2015, sebaik kumpulan esei Malaiur Manikam terbit, puak etnosentrik The Patriots melabel Uthaya sebagai anti-Melayu kerana berani menulis topik-topik yang dianggap sensitif dan mendedahkan realiti di Malaysia. Ada pihak mencadangkan supaya Agong masuk campur dan mengharamkan buku itu.

Apabila Uthaya pada tahun 2016 mengetengahkan kepincangan yang nyata wujud dalam sistem pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), beliau diboikot puak tertentu. Bagi akhbar Malaysia Nanban, sebagai individu keturunan Malayali dan bahasa ibundanya bukan Tamil, Uthaya tidak berhak mendedahkan kepincangan sekolah Tamil.

Seorang guru SJKT, Yogesvaran Monogaram (M. Navin) dengan kerjasama seorang wanita bernama Vijayalatchumy MJ (staf Perpustakaan Universiti Malaya) menggerakkan kempen menggesa SJKT seluruh negara memboikot “Program Memartabatkan Bahasa Malaysia” anjuran Kavyan-DBP.

Malah, akhbar Tamil Nesan meminta ibu bapa, guru, dan penyokong SJKT seluruh negara membuat laporan polis terhadap Uthaya. Mohanan Perumal dari akhbar Makkal Osai menyeru ibu bapa lepasan SJKT memfailkan saman malu terhadap Uthaya di mahkamah.

“Tindakan cara lain yang sesuai diambil ke atas orang ini,” ugut Thiagaseelan Ganesan (MIC) di media sosial. Terdahulu, dia menelefon Uthaya dan menuduh tulisan Uthaya bertaraf sampah serta menjejaskan kempen memujuk ibu bapa menghantar anak-anak ke SJKT.

Pada Mei 2019, satu lagi puak diketuai Chandrakumanan Arumugam (MyPPP) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik dan membatalkan (withdraw and cancel) buku Malaiur Manikam atas alasan buku berkenaan “caused lots of confusion among Muslims and Non Muslims” dan “written by a Hindu without any knowledge about Hinduism and he is neither a spiritual master nor a Hindu scholar”.


Pada Jun 2015, Satees Muniandy (DAP) yang menjadi inspirasi kepada peribahasa moden “macai macam satees” berkempen di media sosial bersama konco-konconya meminta kaum Cina dan India memboikot kumpulan faksyen Pulau Pendatang yang kononnya menghina “kaum pendatang”. Susulan promosi itu, buku berkenaan habis terjual!

Sejak tahun 1999, Uthaya dan karya-karyanya cuba diboikot pelbagai pihak kerana beliau tegas dan lantang memperjuangkan hak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan negara ini. Tambahan pula, Kavyan yang diasaskan pada Ogos 1999 berpegang pada prinsip “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.

Terkini, mulai Mac 2021, sebelum buku Bhagavad Gita terbit, sudah ada suara-suara bantahan daripada puak tertentu yang tidak bersetuju karya berkenaan disampaikan dalam Bahasa Malaysia. Puak berkenaan mahu ia “kekal” dalam bahasa Tamil!

Pada April 2021, Uthaya menjadi serangan puak fanatik dan etnosentrik apabila mendedahkan tindakan licik dan subversif DBP menidakkan hak orang Bukan Islam menggunakan kata Tuhan (huruf besar) dalam penulisan.

Pada masa sama, masih ramai yang berfikiran waras dan rasional  serta mampu menerima karya-karya dan kelantangan suara Uthaya. Cara mudah untuk mengenal pasti golongan budiman itu adalah dengan merujuk senarai penyumbang modal sosial bagi buku-buku beliau, seperti berikut: Pulau Pendatang (2015)  Nari! Nari! (2015)  Mandala Bicara (2016)  Ikan Patin dan Beruang Besar (2017)  Thirukkural dan Megha Duta (2018)  Ramayana dan Mahabharata (2019)  Vetalam dan Vikramaditya (2020)  Putaria (2020) Bhagavad Gita (2021).

Uthaya Sankar SB yang turut menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O, dan Leonard Loar merupakan aktivis sastera yang tidak asing dalam dunia penulisan tanah air.

Penulis keturunan Malayali ini lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak. Kini tinggal di Shah Alam, Selangor. Pendidikan formal diterima di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, SM King Edward VII, Universiti Malaya, dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Walaupun minat membaca dan menulis karya kreatif dimiliki sejak sekolah rendah, Uthaya mula menyerlah dalam peta sastera kebangsaan selepas diundang menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Ogos 1991.

Sajak, cerpen, dan rencana tulisannya tersiar di hampir semua akhbar dan majalah arus perdana sejak tahun 1992. [Senarai cerpen] [Senarai puisi] [Ulasan Cerpen] Beliau juga aktif mengendalikan bengkel penulisan kreatif dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, dan Tamil di seluruh negara sejak 1994.

Uthaya pernah berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyunting dan penyampai berita Bahasa Malaysia, pengulas akhbar, serta penyelia Unit Bencana RTM (1996–2010). Beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di beberapa kolej swasta (1999–2007), penyunting berita di Bernama Radio24 (2008–2009), dan penolong editor akhbar Sinar Harian (2010–2011).



Mulai 2011, Uthaya menawarkan khidmat sebagai tenaga profesional bebas dalam bidang bahasa, penulisan, penyuntingan, media, pengucapan awam, dan seumpamanya.

Beliau juga berpengalaman luas sebagai pengacara majlis, penceramah, fasilitator, pemudah cara, penterjemah, dan pembimbing dalam pelbagai acara peringkat negeri, kebangsaan, dan antarabangsa.

Jurulatih bertauliah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ini juga berpengalaman menjadi kolumnis di Dakwah, Free Malaysia Today, The Malaysian Insider, Projek Dialog, Roketkini, The Malay Mail Online, dan Eksentrika.


Uthaya sering menggunakan teknik penulisan parodi, satira, dan faksyen dengan mengangkat watak-watak dan kisah-kisah daripada epik, hikayat, purana, kavya, dan cerita rakyat untuk melakukan kritikan dan sindiran tajam terhadap perkembangan politik negara dan pelbagai isu semasa.

Pengarang ini dilabel “anti-Melayu” pada tahun 2011 selepas tampil mendedahkan fakta dan kebenaran dalam kontroversi novel Interlok: Edisi Murid serta isu penipuan royalti teks Komponen Sastera (Komsas) yang digunakan di sekolah.



Pada tahun 2015, sekumpulan puak pelampau, etnosentrik, dan ultra kiasu melalak di media sosial bagi mendesak Agong dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Malaiur Manikam kerana dikatakan menghina orang Melayu. Gesaan pengharaman buku Malaiur Manikam turut dikemukakan kepada KDN oleh politikus MyPPP dan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR Malaysia) pada tahun 2019 — Baca di Sini.

Seorang macai politik dari Seberang Perai, Pulau Pinang pernah membuat kempen bersama-sama juak-juaknya pada pertengahan 2015 bagi mendesak orang ramai memboikot buku Pulau Pendatang dengan alasan kumpulan faksyen itu melabel kaum India dan Cina sebagai pendatang.



Walaupun terus menjadi individu yang dibenci pelbagai pihak, Uthaya tetap lantang bersuara dan menulis mewakili golongan minoriti akar umbi yang sering dipinggirkan, ditindas, dan dizalimi pihak yang ada kuasa; sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (9 Mei 2018).


Karya Uthaya menerima pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil, Hadiah Cerpen Esso-Gapena, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Beliau juga menerima Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) daripada Universal Peace Federation atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan.

Antara buku persendirian beliau ialah Orang Dimensi (1994), Siru Kambam (1996), Munis Dengan Harimau (1996), Yang Aneh-aneh (1997), Surat Dari Madras (1999), Nayagi (2000), Sasterawan Pulau Cinta (2001), Rudra Avatara (2008), Kathakali (2009), Panchayat: Edisi Khas (2012), Kisah Dari Siru Kambam (2013), Hanuman: Suara Hati (2013), Pulau Pendatang (2015), Nari! Nari! (2015), Malaiur Manikam (2015), Mandala Bicara (2016), Ikan Patin dan Beruang Besar (2017), Thirukkural dan Megha Duta (2018), Ramayana dan Mahabharata (2019), dan Vetalam dan Vikramaditya (2020). — Semak Stok di Sini— Lihat juga [Komen Pembaca Budiman] [Baca Ulasan Buku]

[Terbitan Februari 2020  Vetalam dan Vikramaditya]


[Oktober 2020 — Putaria: Kumpulan Fiksyen]


Uthaya antara lain diundang menyertai Program Penataran Sastera MASTERA di Bogor, Indonesia (Oktober 1997), Malaysian Literature and Cultural Studies Conference di Singapura (Oktober 2004), Writers Unlimited Tour di Kuala Lumpur (Jun 2011), Ubud Writers & Readers Festival di Bali, Indonesia (Oktober 2011), World Tamil Writers Conference di Singapura (Oktober 2011), Makassar International Writers Festival di Sulawesi Selatan, Indonesia (Jun 2012),  The Cooler Lumpur Festival (Jun 2013 dan Ogos 2017), International Conference on Language, Linguistics & Social Sciences di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak (Mei 2017), dan George Town Literary Festival di Pulau Pinang (November 2018).


[Wawancara  Going Against the Grain]


[Wawancara  Stories for Everyone]

Hubungi: 
e-mel uthayasb@gmail.com  
WhatsApp 011-11411952

Media Sosial:
 Facebook 
Instagram 
Twitter 
Blog   

[Baca juga biodata lanjut Di Sini.] [Lihat juga  Biodata Sasterawan Kavyan] [Buku-buku Uthaya Sankar SB] [Komen Pembaca Budiman