23 Jul 2017

Identiti dan Jati Diri Kaum India


Jika anda individu kaum India berketurunan Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi atau Chetti, maka anda wajar – dan berhak – mengekalkan identiti dan jati diri tanpa perlu akur atau berasimilasi dengan kumpulan majoriti.

Perbezaan antara “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” sudah saya huraikan menerusi makalah bertajuk “Kaum Melayu Tidak Wujud?” dalam buku Malaiur Manikam (2015). Penjelasan itu – yang turut menyentuh mengenai identiti dan jati diri orang Cina dan Melayu – mendapat kritikan puak #DunguMacamPatriots yang ternyata hidup dalam dunia fantasi rekaan sendiri.

Huraian ringkas mengenai keturunan, kaum dan bangsa pernah saya tulis di majalah Pelita Bahasa (September 1998) dan boleh juga dibaca di blog saya untuk mendapatkan gambaran umum.

Dalam konteks Malaysia, memandangkan majoriti kaum India berketurunan Tamil, maka timbul kesilapan melabel semua orang India sebagai “Tamil”. Tambahan pula, orang Telugu dan Malayali di Malaysia juga menguasai Bahasa Tamil.

Seperti saya petik dalam buku Mandala Bicara (2016), penduduk kaum India pada 1991 adalah 1,281,310 orang; di mana 86.85% keturunan Tamil, 3.5% Punjabi, 3.45% Malayali, dan 2.7% Telugu.


Menjelang tahun 1999, jumlah kaum India adalah sekitar 1.6 juta orang, iaitu 7% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Menurut buku Sejarah Masyarakat India di Malaysia (2012), daripada jumlah itu, 85.1% adalah orang Tamil, 3.5% Punjabi, 3.2% Malayali, dan 2.4% Telugu.

[Mengikut perangkaan tahun 2016, jumlah penduduk kaum India adalah 1.8 juta. Daripada jumlah itu, jumlah orang Malayali adalah 170 ribu, Telugu 113 ribu, dan Punjabi 65 ribu. Rujuk di sini.]

[Orang Punjabi di Malaysia sering tidak mahu dimasukkan dalam kategori kaum India. Akibatnya, suatu masalah teknikal timbul apabila Amanah Saham 1Malaysia diperuntukkan khas bagi kaum India pada Januari 2018 - Baca di sini.]

Persatuan Telugu Malaysia (TAM) mengirim surat kepada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2014 bagi menjelaskan situasi di mana ibu bapa keturunan Telugu menghadapi masalah sewaktu mendaftarkan kelahiran anak-anak kerana terdapat beberapa pejabat cawangan JPN tidak membenarkan “Telugu” (dahulu dieja Telegu) dicatatkan pada ruangan “keturunan”.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di akhbar Malaysia Nanban (18 Disember 2014), pihak TAM menjelaskan bahawa mereka bukannya memohon perkara baharu, sebaliknya hanya meminta hak memasukkan semula “Telugu” seperti yang sedia ada sebelum ini.

Keratan akhbar itu tiba-tiba menjadi tular (viral) selepas sambutan Ponggal pada 14 Januari 2017 di mana kumpulan tertentu yang menggelarkan diri mereka sebagai “pejuang orang Tamil” mempersoalkan tindakan masyarakat Telugu menuntut semula hak mereka dicatatkan sebagai “Telugu” dalam sijil kelahiran.

Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Makalah ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 13 Februari 2017 dan versi ringkas tersiar di Eksentrika pada 15 Februari 2017. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta mana-mana paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda.] [Buku-buku Uthaya Sankar SB]