Memandangkan majoriti
(sekitar 1.8 juta orang mengikut perangkaan tahun 2016) penduduk kaum India di
Malaysia terdiri daripada masyarakat keturunan Tamil, maka bahasa Tamil
turut menjadi bahasa komunikasi yang difahami rata-rata masyarakat Malayali
(170 ribu), Telugu (113 ribu), Punjabi (65 ribu) dan kumpulan minoriti lain.
Golongan penulis
kaum India turut terlibat dalam bidang penulisan bahasa kebangsaan, Tamil dan
Inggeris. Laporan Bernama (29 April
2013) menyebut terdapat sekurang-kurangnya seribu penulis Tamil sepenuh masa di
Malaysia. Menurut kenyataan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (Bernama, 26 Mei 2013), jumlah
keahliannya adalah 1,500 orang.
Dalam bidang
penulisan bahasa kebangsaan – sama ada sastera atau bukan sastera – jumlah
penulis kaum India tidaklah seramai itu. Mengikut data yang dimiliki oleh
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), jumlah penulis kelompok ini
yang masih aktif menulis tidak sampai 30 orang. Dalam majalah Tunas Cipta (Oktober 2012), disenaraikan
26 penulis kaum India yang dikenal pasti sejak tahun 1930 – senarai di sini.
Namun begitu,
kehadiran dan sumbangan golongan ini tetap penting dalam mencorakkan peta
penulisan dan perkembangan sastera negara. Istilah “Sasterawan Kavyan” diperkenalkan semasa
acara Diskusi Sastera Kavyan di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 Julai 2004 bagi merujuk secara khusus kepada
penulis kaum India yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan.
Terdahulu, Kavyan
diasaskan pada 22 Ogos 1999, sekali gus menjadi titik penting untuk menzahirkan
secara nyata bahawa golongan Sasterawan Kavyan juga memainkan peranan yang
mungkin kecil tetapi penting dalam memperkayakan dan memperkasakan sastera bahasa
kebangsaan.
Berpegang pada moto
“Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”, Kavyan mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa dan
sastera dalam usaha mengangkat bahasa kebangsaan sebagai medium perpaduan dan
persefahaman antara kaum. Kesemua aktiviti Kavyan terbuka kepada masyarakat
pelbagai kaum. Aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dirangka berdasarkan
pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Sasterawan Kavyan untuk memenuhi
keperluan khalayak kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa di seluruh negara.
Rekod dan maklumat
mengenai segala aktiviti yang dijalankan sejak 1999 boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.my
yang menjadi pusat dokumentasi sebagai rujukan umum. Harapan Kavyan sejak awal
adalah untuk memberikan kesan nyata tentang sumbangan dan peranan Sasterawan
Kavyan dalam memperkayakan sastera kebangsaan. Rakaman peristiwa di blog
menjadi bahan dokumentasi berguna kepada semua.
Kavyan turut
berusaha menarik minat murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
supaya mencintai bahasa kebangsaan. Antara aktiviti awal yang dijalankan adalah
di SJKT Batu Arang, Rawang (April 2000), SJKT Fletcher, Kuala Lumpur (2001) dan
SJKT Hicom, Shah Alam (April 2004).
SJKT di Perak,
Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor sering mengundang wakil Kavyan untuk
mengendalikan Program
Memartabatkan Bahasa Malaysia. Program ini selalu
dijalankan menerusi kerjasama antara Kavyan dan DBP. Menerusi perancangan yang
lebih teliti, program sama dikendalikan di SJKT Taman Melawati, Selangor; SJKT
Nilai, Negeri Sembilan; SJKT Ladang Selangor River, Kuala Selangor; SJKT Pulau
Carey Timur, Selangor; SJKT Sungai Renggam, Shah Alam; SJKT Castlefield,
Puchong; SJKT Taman Permata, Dengkil; SJKT
Ladang Emerald, Shah Alam; SJKT Midlands, Shah Alam; dan SJKT Kajang, Selangor
sejak beberapa tahun lalu.
Puluhan lagi SJKT,
Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah
menengah menjadi lokasi aktiviti bahasa dan sastera anjuran Kavyan dengan
kerjasama pelbagai pihak. Misalnya di SJKC Serdang Baru (1), SJKC Kuen Cheng (2),
SJKC Yak Chee, SK Convent Aulong, SK Guru Kalgidhar, SK Sri Langat dan SK Taman
Sri Muda.
Kesemua aktiviti
ini disusun dalam usaha mengangkat bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi,
bahasa perpaduan dan bahasa pengantar dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum
dan bahasa ibunda. Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kavyan berjaya
bergerak secara kecil-kecilan untuk masuk jauh ke dalam jiwa dan minda
masyarakat pelbagai kaum di seluruh negara bagi memberikan kesedaran serta
bukti nyata bahawa bahasa kebangsaan adalah milik setiap warga Malaysia.
Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2021).
[Esei ini ditulis pada 12 April
2017 sebagai reaksi kepada esei bertajuk “Kolonialisme dan Etnosentrisme: Suatu Retrospeksi Penulis India Malaysia” di Dewan Sastera,
April 2017. Reaksi ini disiarkan di Dewan
Sastera, Jun 2017. © Uthaya
Sankar SB 2017. Baca juga – Sasterawan Kavyan.]