Tuesday, 19 June 2018

Panduan Penggunaan “Baru” dan “Baharu”

Atas permintaan Shanker Sundaram di Facebook, saya menulis catatan ringkas untuk menerangkan perbezaan antara “baru” dan “baharu” dari segi penggunaan.

Untuk makluman, sewaktu saya di sekolah dahulu – serta sewaktu mula menjadi penulis dahulu – perkataan “baru” sahaja digunakan.

Berikut contoh-contoh mudah untuk membantu orang ramai memahami cara penggunaan yang betul. Harap maklum bahawa ini bukan penerangan dari sudut linguistik.

Baru (just) – Saya baru pulang ke rumah.
Baharu (new) – Saya pulang ke rumah baharu.

Baharu (new) – Saya membeli kasut baharu di pasar malam.
Baru (just) – Saya baru membeli kasut di pasar malam.

Baru (only) – Baru sekarang dia tahu keburukan menghisap rokok.
Baharu (new) – Sekarang dia tahu keburukan menghisap rokok baharu.

Baharu (new) – Selamat Tahun Baharu Cina.

Baru (recently) – Baru-baru ini, dia pergi ke Nepal.

Walau bagaimanapun, “baru” masih sah digunakan di tempat “baharu”. Misalnya: “Saya membeli kasut baru di pasar malam”, “Saya pulang ke rumah baru”, “Sekarang dia tahu keburukan menghisap rokok baru”, dan “Selamat Tahun Baru Cina”.

Perhatikan ayat-ayat ini: “Saya baru pulang ke rumah baharu”, “Saya baru membeli kasut baharu di pasar malam”, “Baru sekarang dia tahu keburukan menghisap rokok baharu”.

Gabriel Gwo Shin Lim membuat kesimpulan bahawa “kita pakai baru di semua tempat pun tidak salah juga”. Memang benar. Jika kita keliru antara “baharu” dan “baru”, maka gunakan sahaja “baru”. Seperti diakui Jimadie Shah Othman: “Mazhab aku semua baru.” (Maksudnya, beliau menggunakan “baru” untuk semua.)

Autar Singh bertanya, “Bagaimana pula dengan nama khas bagi tempat seperti Johor Baru/Bahru/Baharu/Bharu? Mana yang betul?” Sham Dharma bertanya soalan yang juga berkaitan. Saya menjelaskan bahawa ejaan perlu dikekalkan pada nama-nama khas. Misalnya Johor Bahru, Kota Bharu, dan Kampung Baru. Pada masa sama, memang banyak media/akhbar memilih untuk menggunakan ejaan “Baru” misalnya Johor Baru dan Kota Baru.

Ahmad Soki Anian memberikan contoh penulisan yang betul: “Ini pen baharu saya. Baru tadi saya beli.”

Saya gembira kerana ramai rakan-rakan berkongsi paparan itu di Facebook, selain bertanya soalan dan mengemukakan contoh ayat. Dalam sedikit masa sahaja, lebih 80 orang menyukai (like) paparan itu, serta lebih 15 orang berkongsi (share) paparan berkenaan.

Langkah-langkah mudah dan santai ini dapat membantu kita untuk lebih memahami penggunaan Bahasa Malaysia dengan betul. Sama-samalah kita terus belajar dan memartabatkan penggunaan bahasa yang betul.


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!