22 Jun 2018

Vikramaditya — Sambungan Cerita


Vikramaditya terus berjalan sambil memikul mayat yang dihuni Vetalam. Puntianak itu cuba berbual-bual tetapi raja berkenaan tetap tidak berkata apa-apa.

“Perjalanan kita masih jauh sebelum sampai ke tapak upacara pemujaan. Bagi mengisi masa, apa kata kalau saya bercerita?”

Raja berkenaan mendengar kata-kata Vetalam tetapi tidak menjawab.

Vikramaditya terus melangkah sambil memikul Vetalam di bahu. Baginda membiarkan sahaja puntianak itu bercakap.

“Di akhir cerita, saya akan bertanya satu soalan berdasarkan cerita itu. Kalau tuanku tahu jawapan kepada soalan itu tetapi tidak menjawab, maka ... ,” Vetalam terus berkata-kata tanpa menghiraukan bahawa Vikramaditya tidak memberikan sebarang reaksi.

Raja itu pula terus mengunci mulut. Baginda tidak membantah syarat yang ditetapkan oleh Vetalam walaupun ia ternyata tidak adil dan bersifat berat sebelah.

“Sekiranya tuanku membuka mulut dan memberikan jawapan yang betul, maka ... . Bagaimanapun, jika tuanku benar-benar tidak tahu jawapan bagi soalan saya, lalu terus tidak bercakap, maka ... .”

Vikramaditya masih melangkah meredah malam yang gelap. Baginda sedar bahawa syarat yang diketengahkan oleh Vetalam tidak boleh diterima akal rasional.

“Baiklah. Memandangkan tuanku terus mendiamkan diri, saya menganggap tuanku bersetuju dengan syarat yang saya tetapkan,” kata Vetalam sebelum memulakan cerita pertama.

Kisah Indumati dan Kurupshana

Di sebuah kerajaan di India, tinggal seorang raja. Baginda ada seorang puteri bernama Indumati. Indumati bukan sahaja jelita, malah pandai bertarung menggunakan pedang.

Pada suatu hari, raja memutuskan untuk memilih bakal suami bagi Indumati. Puteri itu pula keberatan untuk berkahwin. Katanya, dia hanya akan berkahwin jika ada calon yang kuat dan berani.

Indumati berkata, dia mahu mengadakan ujian bagi memilih calon suami yang layak. Apabila bentuk ujian itu didedahkan, raja amat terkejut. Indumati pula tetap berkeras mahu melaksanakan ujian berkenaan.

Akhirnya, raja terpaksa akur. Maka, utusan dihantar ke seluruh benua India. Putera, pahlawan, dan pemuda yang merasakan diri mereka cukup kuat dan berani diundang mengambil bahagian dalam ujian yang bakal diadakan.

Berita mengenai ujian itu turut sampai ke telinga Kurupshana, seorang pemuda miskin yang tinggal bersama-sama ibu tirinya.

Kurupshana bukan sahaja miskin dan tidak berpelajaran, malah kudung kedua-dua tangan sejak lahir. 

Pada suatu hari, Kurupshana meninggalkan kampung halaman. Selepas menumpang beberapa kereta lembu, akhirnya dia tiba di kota.

Ramai putera dan pahlawan berkumpul di sana. Mereka datang untuk mengambil bahagian dalam ujian yang bakal diadakan oleh Indumati. Beberapa pemuda yang bertubuh sasa juga hadir untuk mengambil bahagian.

Kurupshana menyertai orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke istana. Dari jauh, dia ternampak raja dan puteri di luar istana.

“Puteri Indumati memang kelihatan amat jelita. Tidak hairanlah begitu ramai putera, pahlawan, dan pemuda perkasa datang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan,” fikir Kurupshana.

Dalam swayamvara (sayembara, pertandingan) yang menjadi tradisi raja-raja pada masa silam di India, puteri akan memilih bakal suami pada upacara khas yang diadakan. Lazimnya, pertandingan yang diadakan bertujuan menguji kekuatan fizikal dan kepintaran individu.

Pertandingan yang biasa dianjurkan termasuk bergusti, lawan pedang, dan memanah. Akan tetapi, ujian yang ditetapkan oleh Indumati amat berbeza! 

[Bersambung … dalam buku Vetalam dan Vikramaditya yang terbit pada Februari 2020]

Jika anda sudi menyokong projek penerbitan buku ini, sila [klik di sini]. [Harapan Pembaca]


[Bahagian ini ditulis pada 3 Jun 2018 dan dipaparkan di blog pada 22 Jun 2018. Turut disiarkan di Eksentrika pada 28 Jun 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]