1 Feb 2013

Siapakah Si “Mapley” Ini?

Kehadiran restoran mamak milik peniaga India-Muslim bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Frasa “Jom, mamak!” sering kedengaran dalam kalangan
penduduk pelbagai kaum, latar belakang dan agama.

Belakangan ini, frasa “Jom, mapley!” (atau “Jom ke warung mapley”) pula semakin popular. Sekiranya “mamak” (“pak cik” atau “bapa saudara” dalam Bahasa Tamil) merujuk kepada peniaga India-Muslim, apa pula yang dirujuk oleh “mapley”?

Dalam konteks Bahasa Malaysia, gelaran “mamak” merujuk kepada “saudara lelaki kepada ibu; bapa saudara sebelah ibu” atau “panggilan untuk orang-orang India yang beragama Islam atau untuk orang Melayu berketurunan India” (Kamus Pelajar, DBP).

Menurut Kamus Dewan (DBP) pula, istilah “mamak” adalah bagi “saudara ibu yang laki-laki, bapa saudara” atau “sebutan oleh raja kepada pembesar­-pembesar negeri” atau  “mak kecil, mak tua” atau “panggilan kepada lelaki India yang beragama Islam (terutamanya yang terlibat dengan per­niagaan makanan dan sebagainya)”.

Perkataan “mapley” (atau lazim dieja “mappillai”) dalam Bahasa Tamil merujuk pada “pengantin lelaki” atau “menantu lelaki”. Daripada perkataan “mappillai” itulah muncul istilah “mempelai” dalam budaya Melayu. Ada pula sekurang-kurangnya tiga filem Tamil dengan judul Mappillai iaitu lakonan T.R. Ramachandran (1952), Rajinikanth (1989) dan Dhanush (2011).

Sebagaimana gelaran “macha” (“adik ipar lelaki”) sudah biasa digunakan dalam kalangan rakan-rakan pelbagai kaum di Malaysia, sapaan “mapley” juga sudah tidak asing. Bezanya, “macha” digunakan pada rakan-rakan manakala “mapley” pada pelayan restoran. - Baca makalah penuh dalam Mandala Bicara.

Rencana ini disiarkan semula di Wacana Pemikir pada 27 Oktober 2022 - [baca di sini]

[Makalah ini ditulis pada 3 Januari 2013 dan disiarkan dalam ruangan “Bicara Budaya” di Roketkini pada 6 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]