16 Aug 2010

Tiga (Lagi) Filem Tamil

Ada tiga filem Tamil yang saya tonton baru-baru ini dan ketiga-tiganya meninggalkan kesan emosi dan intelek dalam kejayaan pengarah, penulis skrip dan jurukamera menyampaikan kisah berat mengenai kemiskinan dengan gaya penuh bersahaja.
.

Filem Kalluri (2007) mengisahkan sekumpulan pelajar kolej yang berkongsi kesedihan dan kegembiraan; berbeza dengan penampilan gaya hidup mewah pelajar kolej dalam kebanyakan filem Tamil, seperti Kadhal Desam (1996).

.

Lagu “June July Matham Pookum” nyanyian Vijay Balakrishnan dan Suchitra memberi nilai tambah kepada filem arahan Balaji Shakthivel, sinematografi oleh Chezhiyan dan muzik oleh Joshua Sridhar.

.

Lakonan Tamanna (sebagai Shobana) amat bersahaja dan sesuai dengan watak yang dibawakannya. Pelakon-pelakon baru seperti Akil (sebagai Muthu Selvan), Hemalatha (Kayalvizhi) dan Rajeswari (Adhilakshmi) membantu penonton menghayati watak dan perwatakan serta jalan cerita tanpa perlu memikirkan siapa pelakon yang membawakan watak-watak berkenaan.

.

Ya, benar. Memang ada kisah cinta remaja dalam filem ini tetapi dipaparkan secara yang boleh diterima akal dan bersesuaian dengan realiti kehidupan watak-watak dalam filem berkenaan. Dari mula hingga akhir, kemiskinan menunjukkan kepalanya dalam pelbagai segi.

.

Klimaks filem Kalluri dibuat berdasarkan insiden sebenar yang berlaku di Dharmapuri, Tamil Nadu, India pada 2 Februari 2000; melibatkan tiga siswi Universiti Pertanian Tamil Nadu, Coimbatore.

.

Lagu “Guju Guju Goods Vandi” nyanyian Nancy dan Silviya dari filem Aval Peyar Tamilarasi (2010) sering berkumandang di radio dan turut menjadi antara lagu kegemaran Devishi Prabha Sankari.

.

Saya menggemari filem tulisan dan arahan Meera Kathiravan ini atas beberapa sebab.

.

Pertama, boleh membantu menyedarkan penonton kaum India di Malaysia bahawa wayang kulit yang selalu kita sebut sebagai berasal dari Kelantan dan Indonesia, sebenarnya berasal dari India.

.

Kedua, kisah yang dipaparkan bukan kisah cinta berahi seperti yang sudah muak ditonton dalam sekian banyak filem Tamil. Sebaliknya, Jai yang muncul dalam filem Chennai 600028 (2007), Subramaniapuram (2008) dan Goa (2010) membawakan watak Jyothi secara lebih bersahaja. Lakonan pelakon baru, Nandhagi, sebagai Tamilarasi juga wajar dipuji.

.

Ketiga – dan paling penting – filem ini memaparkan realiti. Memang, peminat filem Tamil (di India) dikatakan mahu melupakan kesedihan dan penderitaan hidup selama tiga jam sambil menonton filem yang dipenuhi kegembiraan dan kemewahan. Bagaimanapun, bagi saya, filem seperti Aval Peyar Tamilarasi lebih meninggalkan kesan pada emosi dan minda.

.

Satu lagi filem yang menyentuh emosi dan memberi kesan intelektual adalah Angadi Theru (2010) tulisan dan arahan Vasanthabalan yang pernah mengarah filem Veyyil (2006).

.

Pelakon baru, Mahesh, memegang watak Jyothi Lingam yang terpaksa mencari kerja di Chennai, Tamil Nadu akibat kesempitan hidup. Dia dan kawannya, Marimuthu (lakonan Paandi @ Lingeswaran) terpaksa melalui pelbagai kesusahan dengan bekerja sebagai pembantu kedai di Jalan Ranganathan, T Nagar, Chennai – lebih kurang seperti Jalan Tengku Kelana, Klang.

.

Anjali yang pernah muncul dalam filem Katradhu Tamil (2007) sekali lagi membuktikan kehebatannya; sekali gus bukti bahawa pelakon wanita tidak perlu mendedahkan 96.5 peratus tubuh untuk membuktikan bakat sebenar. Lagu “Aval Appadi Ondrum” nyanyian Vineeth Sreenivasan dan Ranjith juga secara tidak langsung menjelaskan hal ini.

.

Sebagaimana dua filem terdahulu, filem ini juga menampilkan kemiskinan dan penderitaan sejak mula hingga akhir. Ketiga-tiga filem mampu membuatkan penonton turut merasai segala emosi dan penderitaan yang dialami watak-watak utama dan watak-watak sampingan.

.

Mustahil ada penonton yang tidak empati atau simpati terhadap nasib Kani (lakonan Anjali), adik perempuannya dan watak-watak lain; termasuk watak Jyothi Lingam. Pasti sahaja apabila ke kedai yang menggaji pekerja asing (khususnya dari India), kisah dalam filem ini akan muncul dalam fikiran.

.

Dalam pada berlaku lambakan filem-filem berciri hiburan ringan dan sedikit pun tidak mencabar minda, mujurlah masih ada penerbit, pengarah dan penulis skrip yang menghasilkan karya bagi golongan minoriti; seperti yang saya huraikan DI SINI berkaitan cerpen yang mencabar minda dan intelektual.