15 Aug 2010

10 Penghinaan Besar

Baru-baru ini, ada beberapa hamba Allah yang mencabar Kerajaan Negeri Selangor mewajibkan pusat hiburan dan rumah urut menghentikan operasi pada bulan Ramadan bagi “menghormati bulan mulia ini”.
.

Alasan yang dikemukakan hamba-hamba Allah itu adalah supaya PAS Selangor membuktikan parti politik itu benar-benar memperjuangkan Islam dengan menutup pusat hiburan dan rumah urut sepanjang bulan puasa.

.

Saya tidak kisah siapa mereka: orang politik atau Badut Paul Lathic.

.

Saya penganut agama Hindu dan mengamalkan antar-iman (interfaith). Saya bukan orang Melayu dan saya juga bukan penganut Islam. Bagaimanapun, sebagai penduduk Selangor dan seorang pengamal antar-iman, saya berpendirian bahawa cabaran yang dikemukakan hamba-hamba Allah berkenaan (Melayu-Islam, saya percaya) adalah penghinaan besar kepada penduduk Negeri Selangor, Sultan Selangor dan agama Islam.

.

Penghinaan Satu: Memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Negeri Selangor yang diundi dan dipilih Rakyat Negeri Selangor membenarkan aktiviti negatif yang bertentangan dengan agama dan undang-undang berleluasa di Selangor.

.

Penghinaan Dua: Memberi gambaran bahawa operasi pusat hiburan dan rumah urut di Selangor digunakan bagi tujuan aktiviti negatif yang bertentangan dengan agama dan undang-undang.

.

Penghinaan Tiga: Memberi gambaran seolah-olah agama Islam membenarkan pusat hiburan dan rumah urut menjalankan aktiviti negatif yang bertentangan dengan agama dan undang-undang, asalkan dihentikan sementara sepanjang bulan Ramadan.

.

Penghinaan Empat: Menggambarkan seolah-olah Sultan Selangor sebagai individu yang bertanggungjawab atas hal-hal berkaitan agama Islam dan adat-istiadat Melayu di Selangor gagal berfungsi serta gagal melaksanakan tanggungjawab baginda.

.

Penghinaan Lima: Kegagalan Sultan Selangor melaksanakan tugas itu adalah semasa Pakatan Rakyat memerintah Selangor, tetapi bukan semasa Barisan Nasional memerintah. Maka, memberi gambaran seolah-olah kedudukan dan tugas Sultan dalam soal agama Islam di Selangor boleh berubah – atau diubah – oleh orang politik.

.

Penghinaan Enam: Hamba-hamba Allah terbabit secara tidak langsung menuduh pemilik semua pusat hiburan dan pusat urut (di Selangor) menjalankan aktiviti negatif yang bertentangan agama Islam dan undang-undang.

.

Penghinaan Tujuh: Memberi gambaran serta menuduh sesiapa yang pergi ke pusat hiburan dan rumah urut berbuat demikian semata-mata untuk melakukan aktiviti negatif yang bertentangan agama dan undang-undang.

.

Penghinaan Lapan: Dengan cara mengkhususkan desakan menutup pusat hiburan dan rumah urut pada Ramadan, hamba-hamba Allah terbabit membuat tuduhan bahawa penganut agama Islam (di Selangor) suka melakukan perkara negatif bertentangan agama Islam (pada Ramadan dan bulan-bulan lain sepanjang tahun).

.

Penghinaan Sembilan: Menjadikan urusan agama sebagai urusan parti-parti politik. Sekali gus, hamba-hamba Allah yang dimaksudkan itu telah menghina kesucian agama Islam yang tidak ada batas politik, geografi dan parti politik. Sekali gus, memberi imej negatif mengenai agama Islam kepada masyarakat bukan Islam.

.

Penghinaan Sepuluh: Menafikan hak penduduk Selangor yang bukan beragama Islam untuk ke pusat hiburan (untuk berhibur dan bukannya melakukan perkara negatif seperti yang sentiasa bermain dalam minda si politikus itu) dan ke rumah urut (untuk mengurut badan yang keletihan dan bukannya melakukan perkara negatif seperti yang sentiasa bermain dalam minda si politikus itu).

.

Saya harap Kerajaan Malaysia yang prihatin dan akur pada Perlembagaan Persekutuan akan segera mengambil tindakan undang-undang terhadap pembawa anasir-anasir subversif seperti itu yang boleh menggugat keamanan negara! Kecuali jika Kerajaan Persekutuan (yang buat masa ini dikuasai Barisan Nasional) rela sama-sama menanggung dosa bersubahat melakukan (minimum) sepuluh penghinaan besar yang saya nyatakan di atas.