30 Apr 2010

Badut Pilihan Raya Umum

Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum seterusnya perlu diputuskan selewat-lewatnya pada Mac 2013. Kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal. (Parlimen akan terbubar secara automatik pada 28 April 2013 - RUJUK JADUAL)
.
Kalau kiraan saya betul, baru hampir dua tahun sejak Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat memulakan tugas untuk Berkhidmat Kepada Rakyat. Sebenarnya, tidak cukup dua tahun; jika ditolak segala perlakuan badut dan kurang pintar yang sering ditonjolkan oleh individu yang ada masanya “terpaksa” diundi oleh Rakyat kerana tiada pilihan.
.
Sejak dua bulan lalu, saya sebagai Rakyat Biasa amat menyampah membaca berita di mana ahli politik ini dan ahli politik itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
.
Apakah tokoh seperti ini berfikir bahawa kehidupan Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen hanya untuk berkempen, memancing undi, menabur janji kosong, menang dalam pilihan raya, bercakaran seperti anjing dengan kucing dan kemudian mula berkempen bagi pilihan raya seterusnya; walaupun belum cukup dua tahun memegang jawatan yang “disedekahkan” oleh Rakyat?
.
Selepas pemilihan parti selesai, parti kami kini bersiap untuk menjamin kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang. Demikian kata seorang pemimpin sebuah parti politik.
.
Saya mahu semua ahli dan pemimpin parti bersiap sedia dan mendekati rakyat bagi memastikan kita menang besar dalam pilihan raya umum akan datang. Demikian seruan seorang lagi pemimpin lebih tinggi.
.
Tidak menghairankan bagi saya jika kelompok manusia seperti ini hanya pandai memperkudakan Rakyat. Rakyat yang lupa bahawa merekalah yang sebenarnya berkuasa. Wakil daripada golongan Rakyat yang diangkat menjadi Wakil Rakyat juga mudah lupa diri (harap bukan semua) apabila sudah mula pandai menyalak bersama-sama gerombolan anjing jalanan yang disertai.
.
Wakil Rakyat dipilih (diundi) untuk berkhidmat kepada dan untuk Rakyat; bukan untuk parti politik tempat dia berselindung. Dewan Rakyat bukan tempat untuk mana-mana badut menunjukkan aksi sarkas, tetapi tempat untuk bersuara mewakili Rakyat. Suara Rakyat, bukan suara parti. Suara Rakyat, bukan lawak lucah. Suara Rakyat, bukan bersuara dan melompat seperti katak puru.
.
Selepas segala janji kepada Rakyat (semasa kempen pilihan raya umum yang lalu) diingkari dan dilupai sebaik keputusan pilihan raya diumum, sibuk pula mahu berkempen bagi pilihan raya umum seterusnya sedangkan baru dua tahun menderhaka kepada Rakyat.
.
Umpama seorang lelaki yang baru seminggu berkahwin tetapi sudah mula sibuk menghantar rombongan bagi meminang calon isteri kedua. Siapa termakan cili, dia terasa pedasnya.
..
Nota: Sila KLIK DI SINI untuk Panduan Mengundi Tanpa XKLIK DI SINI untuk maklumat Hak Tidak Mengundi dan KLIK DI SINI untuk Panduan Mengundi Calon Paling Uzur. Topik berkaitan: Bar1san Nas1onal dan Politicians are Clowns. Baca juga: Tolak Politik Perkauman.