Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pulau Cinta sebenarnya masih jauh. PRU-13 berlangsung pada 2013 dan menyaksikan pelbagai kejutan kepada Rakyat dan parti politik di pulau berkenaan; sebagaimana pelbagai kejutan khabarnya disaksikan juga di negara Malaysia.
.
Mengikut peruntukan Perlembagaan Pulau Cinta, masih ada masa hampir tiga tahun sebelum PRU-14 wajib diadakan. Bagaimanapun, bukanlah suatu rahsia bahawa bermula dari pemimpin tertinggi negara hingga tukang angkut tahi politik sibuk bercakap mengenai persiapan menjelang PRU-14.
.
Percakapan mengenai persiapan menghadapi pilihan raya tiada kaitan dengan kematian seorang Ahli Parlimen di Pulau Cinta baru-baru ini yang membawa kepada pilihan raya kecil.
Umum mengetahui bahawa orang politik sibuk bercakap mengenai persiapan bagi PRU-14 jauh sebelum itu. Sibuk menyuruh pemimpin dan anggota parti berusaha menjelaskan kepada Rakyat mengenai hal itu dan hal ini (baca: pancing undi Rakyat). Sibuk menyuruh Rakyat menghargai segala apa yang diberikan pemimpin itu dan pemimpin ini, parti itu dan parti ini; sekali gus meminta Rakyat membuat pilihan bijak pada PRU-14 (baca: pancing undi Rakyat).
.
Orang politik seperti ini sebenarnya adalah puak yang belum mula bekerja untuk Rakyat sejak menang dalam PRU-13. Hanya sibuk berjoli, bermabuk-mabukan, bercakaran dan membazir duit Rakyat.
.
Selepas menderhaka kepada Rakyat dan menipu Rakyat selama hampir dua tahun, puak politik seperti ini sibuk pula membuat persiapan untuk kembali menipu Rakyat pada PRU-14.
.
Kepada Rakyat Pulau Cinta, usah terpengaruh, tertipu dan terpedaya dengan segala janji kosong yang ditaburkan para badut politik sebagai persiapan mereka menjelang PRU-14.
.
Jika Rakyat mahu benar-benar menikmati kemewahan dan pembangunan hasil daripada duit yang sebenarnya adalah milik Rakyat, ada satu cara mudah.
.
Pada PRU-14, jangan mengundi mengikut calon pilihan atau parti politik pilihan. Lagi pun, mana pernah ada dalam sejarah Pulau Cinta di mana calon yang benar-benar layak dan menjadi pilihan Rakyat bertanding di tempat anda?
.
Sebaliknya, sepanjang tempoh berkempen (selepas tarikh penamaan calon dan sehingga tarikh mengundi), anda perhatikan betul-betul kesemua calon yang bertanding di kawasan anda.
.
Ambil perhatian terhadap calon yang paling tua, paling uzur, paling sakit dan paling “berpotensi” untuk kembali kepada Pencipta.
.
Nah! Itulah calon yang sepatutnya Rakyat undi. Dengan izin Tuhan, tidak sampai setahun selepas PRU-14 diadakan di Pulau Cinta, Ahli Parlimen atau Wakil Rakyat itu akan menghembuskan nafas terakhir; sebelum sempat membaham duit Rakyat.
.
Maka, pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan. Semua jentera pilihan raya daripada kesemua parti politik akan tertumpu di tempat anda. Semua sumber kewangan (sebenarnya wang Rakyat) akan disalurkan ke tempat anda tanpa sebarang karenah birokrasi.
.
Kerajaan Pulau Cinta bukan sahaja membuat janji kosong tetapi akan benar-benar membina jalan, jambatan, bangunan, sekolah, pasar, jamban, longkang, tasik dan apa sahaja yang Rakyat minta [CONTOH].
.
Maka, bukankah Rakyat Pulau Cinta perlu membuat pilihan bijak pada PRU-14 dengan mengundi calon yang paling “layak”? Kerana mengundi calon itulah maka pilihan raya kecil mampu diadakan dan Rakyat bakal menikmati pembangunan sebenar yang sebenarnya hanya menjadi pembohongan politik semasa kempen PRU-14.
.
Siapa kata Rakyat tidak ada kuasa? Sila KLIK DI SINI untuk Hak Tidak Mengundi dan KLIK DI SINI untuk maklumat Badut Pilihan Raya.