15 Apr 2010

Boleh Kami Berjumpa Penulis?

Sejak tahun 1992, cerpen saya sering disiarkan di akhbar dan majalah Bahasa Malaysia. Saya menulis cerpen untuk bacaan kanak-kanak, remaja dan dewasa. Setiap kali karya saya tersiar, pasti ada pembaca yang menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah.
.

Pada suatu hari, saya sedang berehat di rumah. Tiba-tiba ada orang mengetuk pintu. Lalu saya melihat ke luar dan ternampak beberapa remaja berpakaian sekolah. Ada beberapa pelajar kaum Melayu, Cina dan India.

.

Saya pun membuka pintu sambil menyangka bahawa mereka tentu datang mengutip derma bagi acara sukan di sekolah.

.

“Ini rumah Encik Uthaya Sankar SB?” tanya salah seorang pelajar.

.

“Ya,” kata saya. “Apa halnya?”

.

“Kami telah membaca cerpen yang ditulis oleh Encik Uthaya dalam majalah Dewan Siswa. Kami telah membincangkan tema dan persoalan cerpen itu dalam kelas Bahasa Malaysia,” jawab seorang pelajar.

.

Saya menjemput mereka masuk dan duduk. Keenam-enam pelajar itu masuk ke ruang tamu dan duduk sambil berbisik-bisik. Mereka melihat beberapa buku saya yang tersusun di rak.

.

“Encik Uthaya memang pandai menulis. Cikgu kami selalu memuji Encik Uthaya,” seorang pelajar menjelaskan kepada saya.

.

“Cikgu kami jugalah yang berikan alamat ini kepada kami. Jadi, kami pun datang untuk bertemu dengan penulis yang kami kagumi,” tambah seorang lagi pelajar.

.

“Apa yang kamu kagum?” Saya cuba mendapatkan pandangan mereka.

.

“Cerpen-cerpen oleh Encik Uthaya sangat mencabar fikiran. Ada banyak ilmu bantu yang sangat berguna kepada pembaca. Tentulah penulis juga seorang yang sangat berpengalaman dalam hidup,” seorang lagi pelajar perempuan menjelaskan.

.

Saya tersenyum bangga. Kemudian para pelajar yang datang itu terdiam sebentar. Mereka mula saling berpandangan dan berbisik. Saya pun mula tertanya-tanya apa yang menjadi masalah.

.

“Err … Ini betul-betul rumah Encik Uthaya Sankar SB?” tanya seorang daripada mereka sejurus kemudian.

.

“Ya, betul.”

.

“Err … Boleh kami berjumpa dengan beliau?”

.

Saya terdiam. Kemudian saya ketawa.

.

“Kamu semua mahu berjumpa dengan Uthaya Sankar SB, bukan? Sayalah orangnya,” kata saya sambil tersenyum.

.

“Oh, maaf! Selama ini kami sangka Encik Uthaya adalah seorang tua berumur lebih 50 tahun. Rupa-rupanya encik masih muda,” kata mereka.

.

Setelah membaca karya saya, mereka menyangka saya mestilah seorang tua. Jadi, mereka terkejut melihat saya begitu muda. Tambahan pula, saya memang kelihatan lebih muda berbanding umur saya yang sebenar.

.

Orang selalu berkata, “Don’t judge a book by its cover”. Agaknya kita juga boleh berkata, “Don’t judge a writer by his book”.

..

Pengalaman ini turut disiarkan dalam majalah Nila (15 Mei 2003), Kavya (Jun 2003) dan ArahKiri (1 Jun 2003).