[Penulis berkongsi pandangan bersama rakan-rakan di Facebook mengenai isu penting menjelang
PRU-13]
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13),
usaha-usaha yang diambil oleh Barisan Nasional (BN) untuk
“mempertahankan” Putrajaya semakin rancak. Begitu juga usaha Pakatan Rakyat
(PR) “merampas” Putrajaya.
Dalam keasyikan kedua-dua pihak merebut
kuasa, kita jangan sesekali lupa bahawa “kuasa” sebenar terletak pada tangan
Rakyat (huruf besar disengajakan). Dalam sistem pemerintah demokrasi, Rakyat
yang berkuasa dan berhak memilih wakil yang akan membentuk kerajaan – BACA DI SINI.
Di tengah-tengah keghairahan BN dan PR
berebut bola di tengah padang, usah kita lupa walau sesaat bahawa keputusan
mutlak sebenarnya terletak di tangan kita sebagai Rakyat; khususnya individu
yang sudah mendaftar sebagai pengundi.
Kita mengikuti pandangan yang dikemukakan
orang ramai dan ramai orang mengenai isu ini di pelbagai media alternatif –
lupakan media konvensional yang ternyata lebih cenderung menjadi lidah salah
satu pihak.
Persoalan utama yang muncul adalah mengenai
“perubahan” yang mahu disaksikan dan mahu dilakukan oleh Rakyat menerusi
PRU-13. Gambaran umum yang disebarkan melalui media alternatif oleh orang ramai
adalah bahawa pengundi perlu berani menukar pemerintah yang terlalu berkuasa
sehingga pemerintah itu beranggapan bahawa kuasa pemerintahan itu adalah hak
mutlak yang dimilikinya.
Benar, saya bersetuju dengan bahagian kedua
pada pandangan ini: pemerintah mengandaikan bahawa kuasa memerintah adalah hak
mutlak yang sudah diberikan sepenuhnya kepadanya sejak Pilihan Raya Umum
pertama.
Bagi saya, jika kerajaan yang ada sekarang
gagal “berubah” maka Rakyat berhak menggunakan kuasa undi untuk melakukan
“perubahan” yang wajar dan sesuai. Itulah makna sebenar demokrasi.
Mampukah kepincangan diatasi?
Namun, persoalannya di sini: jika PR
membentuk Kerajaan Persekutuan, apakah Rakyat boleh berasa yakin bahawa segala
“kepincangan” yang (kononnya) dimiliki kerajaan BN akan dapat diatasi?
Demikian persoalan yang saya kemukakan
menerusi ruangan status pada laman rangkaian sosial Facebook pada 9 November 2012 untuk mendapatkan pandangan, hujah
dan reaksi rakan-rakan.
Pada pendapat Rosihan Pawnstar Amri, PR wajar diberi peluang selama lima tahun.
“Kalau gagal, semasa PRU-14, kita buat keputusan semula,” katanya.
Bagi Sofian
Alias, kepincangan tidak dapat dihapuskan dengan sekelip mata. “Tetapi
rakyat pada waktu itu (lima tahun lagi) akan mudah untuk dididik dengan ilmu
dan kebenaran. Tiada lagi agen untuk menakut-nakutkan Rakyat; serta akhbar yang
memperbodohkan manusia. Jadi, apabila manusia sudah terdidik, maka mudahlah untuk
mereka memilih wakil mereka daripada kalangan politikus yang terdidik pula,”
katanya.
Seorang lagi rakan di Facebook, John Phoon
berkongsi pandangan dengan mengatakan bahawa “jika PR tidak diberi peluang,
bila kita akan tahu sama ada BN adalah sebuah parti pemerintah yang lebih
efektif? Mungkin negara kita akan lebih baik di bawah PR dan jikalau keputusan
tidak seperti yang dikehendaki, maka Rakyat boleh membuat pilihan baru pada
PRU-14.”
Pandangan ini ada logiknya kerana selagi
kita tidak mencuba, selagi itulah kita tidak tahu. Tambahan pula, dalam konteks
negara kita, Rakyat sentiasa berada di bawah Kerajaan Pusat BN.
Perhatikan sahaja dalam kes di Selangor,
misalnya. Setelah sekian lama berada di bawah BN, Rakyat berani melakukan
perubahan. Mereka berani mengambil risiko “menukar” kerajaan kerana mahu
membersihkan segala kepincangan yang (kononnya) wujud di bawah pemerintah
terdahulu.
Selangor sebagai contoh
Lihat sahaja keadaan di Selangor sekarang.
Apakah Rakyat di negeri Selangor merana kerana “menderhaka” kepada BN pada
PRU-12? Dan kalaulah benar mereka – dan saya juga sebagai pengundi di Selangor
– mendapati PR gagal memenuhi tuntutan Rakyat, maka Rakyat pasti akan
menggunakan kuasa undi pada PRU-13 nanti.
Dalam hal ini, pada pandangan John Norafizan, “lima tahun adalah satu
jangka masa yang panjang untuk mengorbankan keamanan”. Mungkin pada pandangan
beliau, “keamanan” akan tergugat sebaik sahaja BN tidak lagi menguasai
Putrajaya. Pada masa sama, jangan kita lupa bahawa “kebimbangan” sama pasti
dikongsi ramai lagi Rakyat di negara ini yang sering dimomokkan dengan pelbagai
cerita.
Hal ini juga tidaklah bermakna saya setuju
agar kuasa “dirampas” daripada BN dan diberikan kepada PR menerusi kuasa undi
pada PRU-13. Perkara ini dihuraikan secara jelas oleh Kumaran Rajamoney yang turut berkongsi pandangan di Facebook.
“Ahli politik yang belum memiliki kuasa
lazimnya ikhlas dalam perjuangan. Malangnya, apabila sudah mempunyai kerusi
empuk, segalanya mungkin berubah. Ada pemimpin yang seakan-akan mahu
menghapuskan apa sahaja legasi kepimpinan terdahulu, akhirnya membebankan
Rakyat,” ulasnya dengan penuh kritikan.
Menurut Kumaran lagi, “Bukannya tiada
perkara baik yang berlaku. Cuma kecenderungan untuk kekal berkuasa
mengakibatkan niat sebenar berpolitik sudah semakin malap. Akhbar milik
Kerajaan Negeri juga dikatakan sudah berkiblatkan pemimpin politik dan bukannya
berorientasikan Rakyat; sekali gus mencerminkan seolah-olah kebebasan media
tidak wujud meski pun pemerintahan berubah.”
Kata-kata pengamal media itu ada benarnya.
Malah, pada penelitiannya, Rakyat kini berada dalam keadaan serba kekeliruan.
“Ramai calon yang ada sekarang sebenarnya tidak layak dan calon yang bakal
dipilih nampaknya masih banyak kepincangan. Inilah dilema bagi Rakyat yang tidak
memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Berbalik kepada pandangan John Norafizan
mengenai “mengorbankan keamanan”, Rosihan kembali berkongsi pandangan bahawa
Amerika Syarikat berpeluang menukar presiden setiap empat tahun, seluruh
kongres setiap dua tahun.
“Tidak pula kelihatan negara itu lumpuh.
Amankah kita sekarang jika kita pergi ke ceramah politik, kita dibaling cat
merah, batu, kasut dan selipar? Adakah dengan menekan golongan minoriti, Malaysia
dianggap aman? Dengan membiarkan penyelewengan berleluasa, adakah kita dianggap
bangsa yang cinta akan keamanan?” Soalnya secara penuh retorik.
Perubahan bawa kelainan, ketidak selesaan
Persoalan sama diperkatakan oleh John
Phoon. Dia tertanya-tanya bagaimana dan mengapa John Norafizan “yakin kita akan
ada kekacauan” jika tampuk pemerintah negara berubah – daripada BN kepada PR.
“Bukankah kita semua orang Malaysia? BN
orang Malaysia dan PR orang Malaysia. Jadi, kenapa mesti Rakyat Malaysia
mengundi BN, baru ada keamanan?” Satu lagi pertanyaan retorik yang wajar
difikirkan.
Seorang lagi rakan, Unus Sabri, melihat segalanya sebagai transformasi. “Selalunya
orang meminta Rakyat menerima perubahan dan perubahan itu adalah perubahan.
Namun, semua yang dilakukan perlu ke arah yang betul iaitu ke arah pembinaan
negara bangsa; satu Malaysia,” katanya.
Pada pandangan Antonie William Augustine, “Segala kejayaan perlu ada pengorbanan
serta perubahan. Perubahan mungkin akan memberikan kelainan dan ketidak
selesaan. Kita perlu mengalami perubahan dan bersedia melakukan sedikit
pengorbanan jika ingin menikmati kelainan.”
Dalam pada itu, Patricia Rose Anne Clement tampil
mengingatkan bahawa apabila seorang politikus mengisi ruang/kerusi dalam
kerajaan (pemerintahan), maka ketamakan, kuasa dan populariti muncul secara
automatik.
“Jadi, isu mengenai kepincangan itu bukan
persoalan utama. Apa yang penting adalah bahawa sebuah negara harus ada
kerajaan (pemerintah) dan pembangkang supaya tidak ada hanya satu pihak yang
mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan. Sekiranya PR membentuk Kerajaan
Persekutuan menerusi PRU-13, BN akan menjadi pembangkang. Maka, tidak menjadi
persoalan besar kerana tetap demokratik. Jangan kita lupa bahawa masih ada
banyak lagi isu penting untuk difikirkan dan diselesaikan berbanding memikirkan
parti mana yang memerintah negara,” katanya.
Hussain
Sajad pula membawa tumpuan kembali kepada pandangan
John Norafizan yang tidak sanggup “mengorbankan keamanan”. Katanya secara penuh
sinis: “Sudah tentu akan ada kekacauan. Pihak yang pernah memerintah lebih 50
tahun tidak akan duduk diam selepas disingkir oleh Rakyat menerusi kuasa undi.”
“Mereka mungkin akan membuat kekacauan
semasa proses peralihan kuasa atau mereka mungkin menjadi pembangkang yang akan
berbuat apa sahaja untuk menang kembali lima tahun kemudian,” katanya tanpa
menafikan bahawa Rakyat tetap berkuasa melakukan perubahan jika Kerajaan PR
juga gagal menepati janji nanti.
Perebutan kuasa bukan isu utama
Pada penelitian Muthannah Marawan, kepincangan akan sentiasa wujud di mana-mana.
“Tetapi perubahan adalah sesuatu yang amat perlu. Idea-idea baru harus didengar
dan dipraktikkan sekiranya ia sesuai dengan keadaan semasa,” katanya dan
membiarkan kita menganalisis makna kata-kata itu.
Harus dinyatakan bahawa persoalan utama di
sini bukan mengenai “perebutan kuasa” antara BN dan PR. Sebaliknya, kuasa dan
hak Rakyat untuk melakukan perubahan serta menuntut sebuah kerajaan yang
benar-benar bekerja untuk Rakyat. Jangan sampai politikus terlalu leka dan
menganggap mereka adalah “bayangan Tuhan” dan perlu disembah oleh Rakyat.
Dalam hal ini, saya bersetuju dengan
kenyataan Amin Ahmad bahawa beliau
tidak mengundi kerana mereka BN atau PR. Ya, Rakyat mahu memilih calon atau
pemimpin yang boleh benar-benar melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Apabila saya berkali-kali mengatakan bahawa
Rakyat adalah pihak yang sebenarnya memiliki kuasa, jangan pula ada pihak yang
mengandaikan bahawa Rakyat boleh menuntut apa sahaja daripada pemerintah.
Perkara sama turut dinyatakan Nordianah Bachok. Beliau secara sinis –
tetapi benar – mengatakan bahawa “Rakyat juga adalah ahli politik yang
menentukan budaya dan gaya politik di Malaysia”.
“Walaupun wujud BN dan PR, ramai yang
terlupa peranan Rakyat. Malah, khabarnya sekarang ada Rakyat yang mengambil
kesempatan daripada Wakil Rakyat dengan menuntut perkara-perkara yang tidak
masuk akal dan membebankan Wakil Rakyat,” katanya.
Apa yang dikemukakan itu ada benarnya.
Pelbagai pihak membuat pelbagai tuntutan yang kadang-kadang melucukan dan
menunjukkan tahap mentaliti mereka. Kita sering mengungkitkan kepincangan dalam
kerajaan. Bagaimana pula dengan kepincangan dalam kalangan Rakyat iaitu satu
lagi komponen penting dalam pemerintahan negara?
Mari kira renungkan bersama: Apakah Rakyat
di negara ini sebenarnya sudah sampai ke tahap benar-benar berani melakukan
transformasi, lonjakan dan perubahan pada pemerintahan negara? Tepuklah dada,
tanyalah selera.
[Makalah
ini ditulis pada 11 November 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 November 2012.
© Uthaya Sankar SB 2012. Baca juga: Menganyam Impian berkaitan impian bagi tahun 2013.]